Monday, May 4, 2009

KEPUTUSAN YANG MEMBIMBANGKAN SEMUA PIHAK

From:

KEPUTUSAN YANG MEMBIMBANGKAN SEMUA PIHAK


Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibubapanya berkahwin walaupun salah seorang pasangan itu menukar agama.
Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali malah menimbulkan lebih banyak persoalan atau lebih tepat mengundang kontroversi!
Manifestasi kekesalan ini dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam dari seluruh negara berkumpul menyatakan bantahan mereka semalam (Jumaat).
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan kekesalan mereka.

Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak. Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan Anak.

Pembubaran Perkahwinan
Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecahbelah dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut. Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam, pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk agama Islam sahaja.

Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Jelaslah di sini ketidakadilan begitu ketara berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai locus standi (hak untuk mengambil tindakan atau mencabar keputusan) untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.

Namun Mahkamah Syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut.

Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah syariah).
Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai bidangkuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas ditiadakan bagi menyelesaikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama di negeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Namun lazimnya ia mungkin satu jalan yang tidak mudah untuk digapai.

Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat (perkahwinan). Tindakan mengheret mualaf ini ke Mahkamah Sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf ini.

Seorang yang sudah mendapat hidayah daripada Allah s.w.t sudah tentu tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke Mahkamah Syariah pula bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke Mahkamah Syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Sedangkan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah hanyalah membuat perisytiharan di sisi hukum syarak, mengenai apakah kedudukan perkahwinan tersebut sahaja.

Lalu amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini. Hakikatnya ialah sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung kewujudan Mahkamah Syariah ini. Mereka tidak mahu membantu Mahkamah Syariah memberi keputusan yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari system perundangan negara yang sah. Tidak ada seorangpun terutama atas nama “1 Malaysia” boleh memperlekehkan mahkamah Syariah.

Agama Anak
Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan.
Di mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya telah disepakati di kalangan ulamak bahawa apabila salah seorang ibubapa bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai Islam.
Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah di sini bermaksud Islam.

Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada Al Maqasid Al Syariah. Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (hifz al din), nyawa (hifz al nafs), keturunan (hifz an nasab), akal (hifz al aql) dan harta (hifz al mal).
Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan. Oleh yang demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibubapa yang Islam. Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya al maqasid al syariah ini tidak dapat dicapai.

Alasan Nazri agar mengikut 'common sense' (logik akal) adalah terlalu dangkal. Dalam undang-undang kita tidak boleh berdasarkan logik akal semata kerana dikhuatiri akan lebih menjerumus kepada kepentingan yang berpihak. Ada asas dan falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika kita menggunakan ‘common sense’ tersebut, adakah kita boleh dianggap tidak melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah atas alasan tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita? Walaupun pada “common sense” pemandu itu tidak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya tersendiri bagi mengawal kemaslahatan (kebaikan) sejagat. Apatah lagi 'common sense' yang dicetuskan oleh keputusan tersebut itu melanggar hukum syarak.

Keputusan jemaah menteri ini, tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes Subahsini.

Jemaah menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (sama ada sivil ataupun syariah) apatah lagi mengganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah.

Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permasalahan ini dan bukan melalui campur tangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

Pemeliharaan Anak
Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Di dalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan anak ini di titikberatkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan akidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Namun apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab tertentu terlalu takutkan Mahkamah Syariah dan menganggap Mahkamah Syariah hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam beberapa kes di Mahkamah Syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim Syarie tidak memihak kepada orang Islam semata-mata tetapi memihak kepada keadilan.

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri seperti yang dilaporkan oleh kebanyakan media hari ini, amat jelas keputusan tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan tersebut menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu langsung tidak mengambil kira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas.

Tiada usaha untuk mendapatkan pandangan NGO Islam (yang berjumlah hampir 100 pertubuhan) dilakukan bagi mendapat pandangan mereka sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan kepimpinan kerajaan tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (audi alteram partem) oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Dimanakah audi alteram partem itu?

Justeru untuk memberikan kebaikan kepada semua pihak adalah lebih baik kepada kerajaan supaya menarik keputusan berhubung kes Mohd. Ridzuan ini. Lebih-lebih lagi bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama ini.

Ini kerana jika dilaksanakan juga, diyakini ia akan berlarutan dan tidak menemukan jalan penyelesaian secara tuntas apabila secara terang keputusan itu begitu bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak selaras dengan keputusan kes Subahsini sebelum ini.

Malah jika bercakap soal kemanusiaan, pastinya si ibu yang masih beragama Hindu itu akan lebih menikmati keadilan dan haknya sebagai seorang ibu tidak akan dinafikan. Ini kerana sesuai dengan Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 256 yang bermaksud;

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Malah jika kerajaan mengambil pendekatan untuk berbincang dan berkerjasama dengan para ulama, pakar perundangan Islam sehinggalah termasuk NGO-NGO berkaitan pasti kerajaan tidak perlu bersusah payah sehingga perlu melakukan sebarang pindaan terhadap undang-undang apa tah lagi membabitkan Undang-undang Syarie.

Ditulis oleh Zainul Rijal Abu Bakar, penulis adalah Setiausaha Agong Peguam Pembela Islam.

***.***.***

* Bekas Mufti Perak, Dr Asri Zainul Abidin, turut memberi pandangnya di sini.

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: