Thursday, May 8, 2008

UMNO MENGKIANATI BANGSA DAN AGAMA

"jaga jaga" jagajagala@yahoo.com.my

Melalui tulisan ini saya akan memfokus kepada tiga isu utama. Pertama, pengkianatan UMNO terhadap bangsa seagamanya sendiri yang berlainan fahaman politik dengannya. Kedua, menghancurkan kedudukan politik orang Melayu dan ketiga, gagal memertabatkan bangsa Melayu.

Pertama, pengkianatan UMNO terhadap bangsa seagama. Mari kita sama-sama selak balik rakaman sejarah. Apabila PAS dapat menawan Kelantan dengan kerjasama Parti Melayu Semangat 46 [PSM46] pada tahun 1990, UMNO semacam dirasuk hantu. Fikirannya sudah tidak menjadi siuman lagi. UMNO lupa bahawa PAS memerintah sebuah negeri yang penduduknya 99 peratus adalah orang Melayu beragama Islam.

Berbagai tindakan jahat dan zalim dilakukan terhadap PAS yang memerintah Kelantan. Pelbagai dakyah dan propaganda memburuk-burukkan kerajaan PAS dilakukan setiap detik dan waktu sehinggalah ke PRU ke-12 lalu. Menerusi media massa miliknya, saban waktu dan ketika meracuni fikiran rakyat. PAS digambarkan sebuah parti yang dipimpin oleh ulama yang mencipta perpecahan ummah. PAS itu jahat, ganas, militan, tidak bertamadun, kolot tidak tahu memerintah dan berbagai tuduhan lagi dibuat oleh UMNO terhadap PAS. Tujuanya untuk menakut-nakutkan rakyat khususnya orang bukan Melayu supaya tidak mendekati dan menyokong PAS. Negeri Kelantan digambarkan paling mundur dan rakyatnya pula paling miskin di Malaysia, seolah-olah negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO semuanya kaya raya, tidak ada rakyat yang miskin dan menderita.

UMNO menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan [JPP] di negeri Kelantan menjadikan kerajaan dalam kerajaan. Semua peruntukan pembangunan disalurkan melalui Jabatan ini untuk kepentingan para pemimpin UMNO dan kroni-kroninya. UMNO menyekat pembanguan dengan menghalang pelabur-pelabur masuk melaburkan modal di Kelantan. Pemberian perkapita dilambat-lambatkan supaya PAS tidak sempat berbelanja mengakibatkan segala projek pembangunan yang dirancang akan menemui kegagalan kerana ketiadakecukupan kewangan. PAS terpaksa mencari sumbernya sendiri. Tindakan ini dilakukan untuk memiskinkan PAS dengan harapan rakyat Kelantan menolak PAS dan memilih UMNO yang kononnya mampu membawa pembangunan. UMNO menyekat pergerakkan PAS dengan pelbagai cara dan kaedah untuk mematikan pengaruh PAS. UMNO sangat bimbang dengan pengaruh PAS. Apa yang tidak UMNO lakukan terhadap PAS di Kelantan. Semua tindakan politik diambil bagi menghancurkan PAS yang memakan belanja berbillion ringgit.

Kenapa golongan yang sekarang ini sibuk menyebut ‘perpaduan Melayu’ tidak bangkit menentang perbuatan zalim UMNO itu? Bukankah rakyat Kelantan itu orang Melayu dan beragama Islam?

Begitu juga, apabila PAS berjaya menawan Terangganu pada tahun 1999, royalti 5 peratus petroleum yang dinikmati selama 25 tahun [1975-1999] dengan sewenang-wenangnya UMNO merampas daripada tangan kerajaan negeri pimpinan PAS ketika itu dan diganti Dana Khas Kerajaan Persekutuan [DKKP] atau disebut "Wang Ehsan". Dana ini diuruskan terus oleh kerajaan pusat melalui UMNO negeri. Semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian melalui JPP yang melaksanakannya tanpa merujuk kerajaan negeri pimpinan PAS menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi kesan besar akibat tidak mengambil kira keperluan rakyat.

UMNO mempunyai strateginya tersendiri. Apabila projek-projek ini menghadapi masalah dan gagal, maka ia akan menuding jari kepada PAS, menghasut rakyat bangkit menentang PAS yang kononnya gagal membawa pembangunan kepada rakyat sepertimana UMNO lakukan terhadap PAS yang memerintah Kelantan. Sedangkan terlalu banyak pihak dalam UMNO yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang tersebut sesuka hati dan memfaraidkan sesama mereka dengan meminggirkan rakyat. Wang Ehsan ini disalahgunan, pemimpin dan kroni-kroninya menjadi kaya raya dan untuk kepentingan politik UMNO untuk merampas balik Terangganu daripada tangan PAS.

Situasi ini juga amat menghairankan, kenapa golongan yang kononnya amat prihatin terhadap perpaduan Melayu sekarang ini tidak menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh UMNO terhadap kerajaan PAS dan rakyat Terangganu ketika itu? Dalam masa yang sama, Sabah juga pernah diperintah oleh parti pembangkang, iaitu Parti Bersatu Sabah yang dipimpin oleh Pairin Katinggan, tetapi tidak pernah royalti petroleum 5 peratus tidak ditarik balik. Apakah golongan ini merestui tindakan zalim UMNO terhadap sebangsa dan seagama, tetapi tidak kepada orang bukan sebangsa dan seagama? Nampak sangat hipokritnya golongan ini yang sedang melakonkan sandiwara untuk menyelamatkan kapal UMNO yang hampir tenggelam itu.

Tetapi Allah s.w.t itu maha berkuasa. Sekarang kedudukan kewangan Terangganu amat meruncingkan sekali. MB yang penuh kontroversi, Ahmad Said memohon Kerajaan Persekutuan mengembalikan royalti petroleum 5 peratus itu. Senjata telah makan tuan. Bagaimana bijak sekali pun perancangan manusia, perancangan daripada Allah s.w.t lebih hebat dan lebih perkasa. Rasalah sekarang ini hasil dengki dan kianat sesama bangsa dan seagama.

Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 telah mengorbankan empat belas nyawa orang Melayu-Islam sampai kini yang masuk tahun ke-28 dengan 14 kali penangguhan perbicaraan, tidak nampak tanda-tanda kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini oleh kerajaan pimpinan UMNO. Pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan di bawah “Operasi Hapus” oleh pasukan polis bersenjatakan canggih dan berkereta kebal merempuh dan membunuh Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutny a yang hanya bersenjatakan parang panjang. Apa golongan haprak ini buat untuk menyelesaikan kemelut yang berlarutan begitu lama?

Ke mana menghilangnya rasa keprihatinan golongan ini bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat menerima sedikit ganti rugi atau pampasan daripada tindakan UMNO yang zalim itu. Setakat ini, kerajaan UMNO belum pernah menghulurkan sesen pun bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh isteri, anak-anak dan keluarga yang ditanggalkan oleh mangsa yang meninggal dunia akibat tindakan pihak polis yang menurut perintah pemimpin yang kurop itu.

Kes ini menjadi semakin kompleks untuk diselesaikan kerana ramai waris dan saksi-saksi yang terlibat telah meninggal dunia. Kerajaan UMNO sering menangguh perbicaraan ini kerana UMNO telah diberitahu bahawa ia akan mengalami kekalahan dan terpaksa mengeluarkan jutaan ringgit sebagai bayaran ganti rugi kepada waris-waris yang terlibat. Difahamkan bahawa pasukan polis tidak mematuhi prosedur-prosedur asas keselamatan semasa mengempor perkampungan Ibrahim Libya. Jadi, terpaksalah UMNO menggunakan mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan ini buat selama-lamanya.

Berlainan sekali apabila penternak-penternak babi di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka diserang wabak Japanese Encephalitis [JE] dan virus Nipah di sekitar tahun 1998 hingga 2000 yang mengakibatkan lebih 100 orang terkorban termasuk kira-kira 30 kanak-kanak. Abdullah Ahmad Badawi ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan masalah babi ini dan menjadi bahan gurauan daripada Allahyarham Dato’ Mohd.Fadzil Noor, Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia ketika itu.

Gurauan Ustaz Fadzil ini menimbulkan kemarahan para pimpinan UMNO kerana beliau membidas sikap kerajaan UMNO yang tidak ada keprihatinan sesama bangsa dan seagama. Kerajaan UMNO bertindak lambat dan tidak memberi peruntukan sesen pun sebagai bayaran ganti rugi kepada penternak-penternak lembu-kerbau yang terdiri daripada orang Melayu yang diserang penyakit kuku dan mulut. Banyak lembu-kerbau yang terkena penyakit ini ditembak mati dan ditimbus begitu sahaja. Penternak-penternak ini mengalami kerugian berjuta ringgit.

Berlainan dalam masalah babi ini, sikap kerajaan UMNO cukup prihatin, bertindak pantas menembak mati semua babi-babi yang diserang virus ini. Setiap orang penternak yang babinya dimusnahkan dibayar ganti rugi berdasarkan seekor babi yang dimusnahkan dibayar sebanyak RM60.00. Berjuta ringgit kerajaan UMNO peruntukan sebagai kos pembiayaan pemusnahan babi-babi tersebut. Kenapa ketika itu tidak ada sebuah pertubuhan yang Melayu yang bangkit menuntut keadilan sepertimana mereka bangkit menyuarakan penyatuan Melayu sekarang ini? Hanya kedengaran suara-suara dikalangan pemimpin PAS dan KeADILan yang menuntut haq itu, tetapi tidak diendahkan oleh pemimpin UMNO yang angkoh dan sombong itu.

Para pemimpin UMNO bertindak sebagai broker menjual tanah Melayu kepada bangsa asing dan mereka mendapat komisen yang lebih tinggi, berbanding tuan tanah. UMNO telah bertindak mengambil tanah-tanah rezab Melayu tanpa digantibalik sepertimana yang diperuntukan perkara 153 Perlembagaan. Melalui Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1992, memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan negeri mengambil tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan untuk pembangunan. Dua perkara besar menyebabkan menyebabkan hak milik tanah rakyat tidak terjamin selagi UMNO terus kuasa untuk memerintah.

Pertama, melalui undang-undang tanah yang baru dipinda pada tahun 1992 dulu, kerajaan berkuasa mengambil tanah rakyat tanpa halangan dan rakyat tidak berhak mendakwa kerajaan di mana-manan mahkamah. Kedua, tanah rakyat boleh dijual kepada warga asing. Harus diingat sebelum akta ini dipinda, kerajaan tidak sewenang-wenangnya boleh mengambil tanah-tanah ini, tanah-tanah ini hanya boleh diambil untuk kemudahan awam, sekolah dan hospital. Keluasan Tanah Rizab Melayu [TRM] di negara ini sepeninggalan penjajah British mencapai 3 juta hektar. Kini tanah tersebut hanya tinggal 1.7 juta hektar.

Kes Kerajaan Negeri Kedah merampas tanah sawah 2,000 ekar di Kerpan dan diserahkan kepada Syarikat Benladin Group untuk projek udang harimau. Tindakan kebinatangan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO sangat menyayatkan hati. Tanah itu kini menjadi rang, tidak boleh diusahakan lagi. Untuk membaikpukih tanah tersebut memerlukan kos yang mahal. Projek itu gagal dan petani-petani di Kerpan sekarang hilang hak mereka ke atas tanah-tanah sawah tersebut. Proses mahkamah masih berjalan, petani-petani di Kerpan mengalami nasib yang malang sepertimana yang dialami oleh mangsa-mangsa Memali. Persoalannya, mana perginya NGO-NGO Melayu yang berlagak baik dan prihatin untuk membela nasib bangsa Melayu itu?

Penduduk di sekitar daerah Yan dan di Kuala Kedah masih bernasib baik kerana dengan kehendak Allah s.w.t, PAS dan PKR menang dalam PRU ke-12 lalu dan dapat membentuk kerajaan negeri pula, kalau tidak tanah sawah yang amat subur yang kedudukannya ditengah-tengah perkampungan Melayu seluas 6,000 hektar akan musnah dengan pembinaan Zon Industri Petrolium. Ustaz Azizan Abdul Razak yang mengambilalih pentadbiran Negeri Kedah bertindak bijak, beliau telah mendapat kerjasama yang amat baik dengan syarikat terbabit dengan menawarkan kawasan berhampiran pantai Kuala Kedah. Projek itu telah dipindahkan dan kerja-kerja menambak laut sekarang ini giat dilaksanakan.

Itu belum lagi kita membincang budaya rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan pecah amanah yang menjadi darah daging para pemimpin UMNO dulu, kini dan selama-lamanya.

Untuk Osman Bakar dan Ismail Hussein, hentikanlah perbincangan mengenai isu penyatuan Melayu. Betulkan akhlak dan moral para pemimpin UMNO terlebih dahulu, kemudian baharu boleh bercakap mengenai penyatuan Melayu. Kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada kekuatan akhlak dan moral para pemimpin dan rakyatnya.
Luangkan masa jenguk-jeguklah blog saya : http://tuntelanai. blogspot. com/
Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi: http://demang. blogmas.com/
"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”
- Tun Telanai


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: