Sunday, May 11, 2008

Surat dari Mongolia

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

Subky Abdul Latif
Thu | May 08, 08 | 3:58:37 pm MYT

Setelah lebih seratus hari mahkamah mengenai Altantuya bersidang, maka bapanya yang juga seorang saksi datang sekali lagi ke Kuala Lumpur; kali ini membawa surat dari Perdana Menteri Mongolia untuk Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Badawi.


Sudah tentu surat itu tidak terlepas dari spekulasi. Ia tentu ada kaitnya dengan kes Altantuya itu.


Apa kandungan surat itu?


Sudah tentu surat itu mendatangkan sakit lagi kepala Perdana Menteri Malaysia yang sudah banyak masalah yang tidak terpikul sekarang.


Perdana Menteri sudah dibebani dengan beban kegagalannya mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, hilang lagi kuasa di empat negeri menjadikan lima semuanya, tekanan bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir supaya berhenti, tekanan dalam rumah tangga Umno yang berkecamuk, tekanan dari semua komponen Barisan Nasional, pembentukan kabinet yang tidak stabil, tuntutan penyokong Tengku Razaligh supaya sistem kuota pemilihan pimpinan Umno dimasuhkan dan gangguan acah-acah Anwar Ibrahim untuk menggantikan kerajaannya dalam waktu terdekat.


Semua ini menjadikan Abdullah sebagai seorang Perdana Menteri yang penuh dengan masalah.


Sekarang datang pula surat dari Perdana Menteri Mongolia yang dipercayai menyentuh hubungan dua hala ekoran dari kes pembunuhan Altantuya yang dari mulanya sudah dilihat bermasalah dan tiada integriti.


Kerana yang dituduh semuanya ada kaitan dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib, maka nama baik beliau pula sudah terseret. Sehingga kini mahkamah tidak langsung melibatkan Najib, sedang pandangan umum merasakan dia patut dikaitkan dalam perbicaraan itu.


Seorang dari peguam yang dituduh, Zulkifli Nordin menarik diri sebelum perbicaraan bermula. Dia ada membuat kenyataan yang menimbulkan tanda tanya tentang ketelusan pengendalian kes itu. Kenyataannya seperti memberi tahu bahawa keadilan yang dicari adalah bermasalah.


Sistem kejaksaan negara yang amat kacau itu terdedah dengan isu klip video Lingam. Isu ini bukan sekadar mengadili Ketua Hakim Negara yang dipersoal pada masa itu tetapi ikut mengadili Ketua Hakim Negara masa lalu. Semua Ketua Hakim itu sudah hilang integriti sekarang.


Dan akhirnya bangkit semula isu Tun Salleh Abbas dan hakim-hakim yang teraniaya bersamanya dulu. Perdana Menteri dicadangkan supaya minta maaf kepada sekalian hakim itu. Perdana Menteri sanggup bagi apa saja kepada hakim-hakim itu tetapi pantang minta maaf.


Ekorannya disetujui membentuk suruhanjaya pemilihan hakim-hakim. Tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai kejaksaan, Dato' Zaid Ibrahim belum ada pandangan tentang pengendalian pengadilan isu Altantuya ini.


Adalah benar kes ini masih berjalan, tetapi urusan kes ini termasuk dalam isu gangguan kejaksaan yang cuba dibaiki itu.


Kerana timbalan perdana menteri yang dirasakan mesti tidak terlepas dari sebarang tanggung jawab memberikan keterangan dalam kes itu telah tidak dibabitkan langsung, maka persoalan itu terus pergi kepada Perdana Menteri untuk menjawabnya.


Oleh sebab timbalan perdana menteri tidak disuruh memberi jawapan dan perdana menteri pun mahu pula memberi jawapan, maka perdana menteri memikul segala kekeliruan dalam masalah ini.


Najib tetap diminta tanggung jawab membersihkan nama baiknya. Sekadar mengatakan tidak tahu menahu, tidak dapat menyelesaikan masalah dan ia tidak dapat dipakai dalam memuaskan hati pihak yang prihatin.


Dan Abdullah pula tetap diminta tanggung jawab memberikan penjelasan mengapa dibiarkan Najib membisu dalam isu ini.


Dengan membiarkan isu itu begitu, memburuk dan membusukkan lagi tanggung jawab Perdana Menteri sebagai orang yang bermoral dan bermaruah.


Keadilan di Malaysia tidak dapat menyelesaikan isu itu. Walaupun suruhanjaya tentang kehakiman dibentuk, membiarkan Najib begitu dan Abdullah Badawi juga begitu dalam isu Altantuya, keadilan dan integriti yang dicari daripada suruhanjaya itu masih menjadi cacat.


Harapan kepada Malaysia keluar dari kelam-kabut masih jadi tanda tanya, maka ayah Altantuya datang membawa surat Perdana Menteri Mongolia kepada Perdana Menteri Malaysia. Insiden ini mungkin boleh mengajar kita, negara kita dan Perdana Menteri kita bagaimana hendak mewujudkan keadilan mahkamah, kebebasan berhakim dan integriti kejaksaan.


Perdana Menteri Malaysia baru saja melepaskan teraju pimpinan negara NAM dan pimpinan negara OIC. Dia masih dikira pemimpin dunia yang menonjol. Tetapi surat Perdana Menteri Mongolia yang masih misteri kepada orang ramai di Malaysia, maka wibawa pimpinan Malaysia itu seperti sudah disoal.


Banyak persoalan dalam isu Altantuya tidak berjawab, maka surat Perdana Menteri Mongolia itu pula janganlah tidak berjawab juga. Perdana Menteri mesti menjelaskan sebelum Perdana Menteri Mongolia terpaksa menjelaskan.


Atau apakah ia hanya boleh dijelaskan 25 tahun selepas bersara atau selepas mati?- tajdid



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: