Wednesday, May 7, 2008

Suami mati dipukul, hidup mereka semakin susah

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Dilulus terbit pada Tuesday, May 06 @ 10:07:49 MYT oleh greenboc
Artikel Oleh pemudawilayah

"Oleh HermanSamsudeen
Berita 1 : Suami dipukul sampai mati
Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com. my


a

FAZILAH Muhammad, isteri Hatib Leman yang maut dipukul kerana dituduh mengintai anak dara, duduk bersama anak-anaknya merenung masa depan di depan rumah yang daif di Kampung Belakang Kilang dekat Kuala Perlis



KUALA PERLIS: �Walaupun masih berpantang selepas melahirkan anak perempuan sebulan lalu, saya bertekad menyelamatkan suami yang dipukul sekumpulan lelaki kerana dituduh mengintai anak dara jiran.


�Mereka mengheret suami saya keluar dari rumah ketika kami anak-beranak sedang asyik menonton televisyen dan memukulnya bertalu-talu sehingga dia tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, awal pagi tadi (semalam),� kata Fazilah Muhammad, 31, isteri kepada Hatib Leman yang mati dibelasah sekumpulan lelaki kerana didakwa mengintai budak perempuan berusia 12 tahun, semalam.

Fazilah yang ditemui di rumahnya di Kampung Belakang Kilang di sini, semalam berkata suaminya yang parah di bahagian dalaman badan serta patah beberapa tulang, disahkan meninggal dunia selepas empat jam dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, kira-kira jam 3.45 pagi.

Fazilah turut ditumbuk kumpulan penyerang seramai kira-kira 20 orang itu ketika cuba menyelamat Hatib selepas seorang penduduk mendakwa suaminya cuba mengintai dan mencabul anak jiran di kampung itu.

Hatib, 35, bapa kepada lima anak yang bekerja sebagai buruh binaan, dibelasah sekumpulan penduduk kampung di depan mata isterinya yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak kelima hanya kerana disyaki cuba mengintai seorang anak jiran.

Kumpulan lelaki terbabit mengheret mangsa keluar dari rumah sebelum memukulnya beramai-ramai sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri.

�Saya menjerit dan merayu kumpulan lelaki terbabit supaya tidak memukul dan menyerahkan Hatib kepada polis jika benar dia melakukan kesalahan tetapi rayuan saya tidak diendahkan,� katanya.

Beliau berkata, kumpulan lelaki terbabit berlagak samseng apabila menghalang jiran berdekatan daripada masuk campur dan mereka meninggalkan mangsa di bangunan kedai berdekatan selepas mendapati dia sudah tidak bermaya.

�Kumpulan lelaki terbabit kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa kira-kira 20 meter dari rumah selepas beberapa jiran bersebelahan menghubungi polis,� katanya.

Fazilah berkata, suaminya dipukul selepas dituduh memanjat rumah jiran untuk mengintai dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sehari sebelum itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar kerana suaminya berada di rumah bersama dia dan anak-anak pada masa dia dituduh melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

�Saya turut mendengar perbualan kumpulan lelaki yang memukulnya bahawa mereka tersalah orang.

�Malah, budak perempuan yang dibawa untuk membuat pengecaman selepas kejadian itu juga mengaku Hatib bukan orangnya dan mengakui mereka sudah tersilap memukul suami saya,� katanya.

Fazilah yang tidak bekerja dan baru dua bulan menyewa rumah di situ hilang tempat bergantung dan sumber pendapatan untuk membesarkan lima anaknya berusia sebulan hingga 18 tahun berikutan kematian Hatib.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, berkata setakat ini polis sudah menahan enam lelaki kerana disyaki terbabit dalam kejadian memukul hingga mati buruh kontrak itu.

Katanya, semua lelaki berusia 30-an dan 40-an yang ditahan itu ialah penduduk kampung berkenaan dan polis memburu beberapa lagi lelaki yang disyaki turut terbabit dalam kejadian itu.

�Mangsa dibawa ke hospital selepas ditemui anggota polis dalam keadaan tidak sedarkan diri di belakang sebuah bank di Kuala Perlis dan polis turut menyiasat dakwaan yang dilemparkan kepada mangsa.

�Setakat ini, kami tidak tahu sama ada perbuatan yang tidak disenangi ini dilakukan mangsa atau orang lain kerana dia hanya disyaki,� katanya.

Beliau berkata, enam lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Berita 2 : Orang awam dilarang bertindak terhadap suspek penjenayah
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta orang ramai tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri apabila menahan seseorang disyaki penjenayah.

Katanya, orang awam hanya boleh menahan dan selepas itu membiarkan polis mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Syed Hamid berkata, peranan untuk menguatkuasakan undang-undang dilaksanakan ialah polis, justeru orang awam tidak harus meletakkan undang-undang di tangan mereka bagi mengelakkan masalah lebih besar.

�Ada beberapa proses sebenarnya penjenayah perlu ditahan, didakwa di mahkamah, (bukan) orang ramai yang kuatkuasakan undang-undang, mereka tak ada kuasa.

�Kita faham perasaan dan kemarahan keluarga mangsa tapi kena bersabar dan biar polis ambil tindakan. Ini penganiayaan dan kejadian tak sepatutnya berlaku,� katanya ditemui di lobi Parlimen.

Beliau mengulas kejadian di Kangar, Perlis, seorang buruh mati dipukul sekumpulan 20 penduduk di depan isteri dan lima anaknya kerana disalah sangka suspek yang mengintai anak jirannya di Kampung Belakang Kilang.

Dalam kejadian itu jam 10 malam itu, Hatib Leman, 35, yang menonton televisyen bersama isteri dan anaknya dikatakan diheret kumpulan itu ke bangunan kedai berdekatan sebelum dibelasah sehingga tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, polis perlu menyiasat kes di Perlis itu dan membuat keputusan sama ada kejadian ia kes pembunuhan. Sementara itu, polis akan melipatgandakan usaha memburu ketua sindiket dadah dan mengambil tindakan undang-undang serta membawa mereka ke muka pengadilan berikutan ramai wanita negara ini yang dijadikan mangsa sindiket pengedaran dadah di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata gerakan memburu akan digiatkan di dalam negara bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan menyekat sindiket daripada terus menjadikan wanita tempatan sebagai mangsa.


Berita 3 : Isteri mangsa pukul tertekan
Oleh Rashidi Karim

KANGAR: Isteri Hatib Leman, buruh yang mati dipukul sekumpulan 20 penduduk kerana tersilap menyangka beliau mengintai anak jirannya di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, malam Ahad lalu, bingung memikirkan masa depan keluarganya yang hilang tempat bergantung.

Fazilah Muhamad, 31, yang baru sebulan lebih melahirkan anak kelimanya, berkata dia tertekan dan hilang pedoman dengan pemergian suami yang menjadi tempat mereka enam beranak bergantung hidup.

Malah, tiga daripada lima anak mereka tidak pernah bersekolah kerana masalah kemiskinan.

Mereka kini berusia 11 hingga 17 tahun, manakala seorang lagi anak pasangan itu yang berusia lima tahun, mungkin mengikut jejak langkah abang dan kakaknya jika tiada bantuan sewajarnya diberikan.

Fazilah berkata, dia khuatir memikirkan soal pendidikan lima anaknya itu kerana tumpuannya kini lebih kepada mencari sumber pendapatan untuk menyara kehidupan keluarga.

�Saya bingung memikirkan soal makan minum anak dan wang untuk membayar sewa rumah, apatah lagi orang tempat kami bergantung sudah meninggal dunia.

�Saya difahamkan Allahyarham suami tidak menjelaskan sewa rumah sejak dua bulan lalu dan saya akan cuba meminjam daripada keluarga untuk menjelaskannya,� katanya ketika ditemui di rumahnya yang serba daif di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati rumah sewa yang diduduki enam beranak itu serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air paip, manakala struktur rumah kayu itu menunggu masa menyembah bumi.

Fazilah berkata, selepas kematian suami, dia kini bergantung kepada anak sulungnya, Hayati, 17, yang bekerja di sebuah restoran dan anak keduanya, Mohd Asri, yang bekerja sebagai nelayan di Kuala Perlis.

Katanya, anak ketiganya, Haliza, 11, yang juga tidak pernah bersekolah, menetap bersama keluarganya di Langkawi. Bagaimanapun, dia berjanji untuk memberi pendidikan kepada anak keempatnya, Ismail yang berusia lima tahun serta anak bongsunya, Nurul.

�Sebagai buruh kontrak, Allahyarham memperoleh pendapatan RM800 sebulan dan cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga, termasuk membayar sewa rumah.

�Saya akan memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban kami,� katanya.

Mengikut laporan akhbar semalam, Hatib mati dipukul sekumpulan 20 penduduk di depan isteri dan lima anaknya kerana disangka mengintai anak jirannya di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, malam Ahad lalu.

Hatib diheret keluar dari rumahnya ke bangunan kedai berdekatan sebelum dibelasah sehingga tidak sedarkan diri.

Mangsa mati kira-kira empat jam selepas dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Fazilah turut dipukul ketika cuba menyelamatkan suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, berkata polis menahan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an di sekitar Kuala Perlis, lewat petang kelmarin bagi membantu siasatan kes

Katanya, polis menahan lelaki itu selepas mendapat maklumat dia dipercayai turut terbabit dengan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, semua lelaki terbabit yang berusia antara 30-an dan 40-an itu sudah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Herman - Kesian pada keluarga ini. apa-apa hal pun siasat dulu. biar maklumat tu sahih, kesian pada anak bini mangsa. sekarang siapa nak sara mereka? Kalau ada sesiapa yang tahu maklumat perhubungan keluarga ini harap boleh sebarkan agar kita boleh membantu meringankan beban mereka. (Harap PAS Perlis boleh membantu mereka)
"

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: