Monday, May 5, 2008

Selangor bakal alami gangguan bekalan air

"Info Terkini" m_mjj@yahoo.com

Selangor bakal alami gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor dijangka berlaku selama tiga hari mulai Selasa ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur dan menaik taraf perkhidmatan bekalan itu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan hari ini berkata bekalan air di kawasan Kuala Selangor akan terganggu selama tujuh jam mulai 11 malam Selasa ini berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal di Jalan Raja Musa 1 dan 2.

Kawasan yang terbabit termasuk Kampung Rantau Panjang, seluruh Sungai Darah Kanan dan Kiri, Kampung Hang Tuah, Kampung Sri Makmur, Estet Raja Musa, Taman Manikavasagam, zon Sungai Gulang-gulang dan zon Sungai Tengi Kanan.

Kawasan lain yang terbabit berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal di simpang Bukit Belimbing ke Batu 2 di sepanjang Jalan Ujung Permatang ialah Taman Sri Belimbing, Jalan Tok Empat Majid dan Kampung Lubuk Bukit Belimbing.

Gangguan selama tujuh jam mulai 11 malam Rabu ini juga membabitkan kawasan di Kuala Selangor berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal Rantau Panjang Panjang ke Kuala Selangor di sepanjang Jalan Rawang 3, menurut kenyataan itu.

Kawasan terbabit termasuk Bukit Badong, Pekan Batang Berjuntai, Kampung Jawa Selangor, Taman Sri Indah, seluruh Batu 8 Asahan, Kampung Kuantan dan Taman Bentara.

Pada hari yang sama, gangguan bekalan air selama 10 jam mulai 8 malam akan berlaku di kawasan Gombak berikutan kerja-kerja pemasangan flow meter di Pam Utara AU3 Baru.

Kawasan terbabit ialah seluruh kawasan AU1 hingga AU3, kawasan Perusahaan bebas Hulu Klang, Keramat Wangsa dan Taman Warisan.

Gangguan bekalan air selama 10 jam mulai 8 malam dijangka berlaku di kawasan Sri Rampai, Setapak Jaya, Kawasan AU3, Desa Setapak dan Kampung Kemensah di Gombak berikutan kerjakerja pemasangan flow meter di Pam Utara AU3 Lama.

Kenyataan itu turut menyebut gangguan bekalan air selama tujuh jam mulai 11 malam Khamis ini juga dijangka berlaku di Pekan Kuala Selangor, Sungai Buloh, Jeram, kawasan industri Sungai Sembilang, sempadan Klang/Kampung Suara, Zon Bukit Melawati, Zon Bandar Baru, Assam Jawa Kiri dan Assam Jawa Kanan.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh itu.

Pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1800885252 atau melalui khidmat pesanan ringkas dan hantar ke 39222.
BERNAMA


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: