Friday, May 9, 2008

Saranan berjimat cermat - Abdullah Badawi patut contohi Nik Aziz

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

Adnan Ibrahim
Thu | May 08, 08 | 9:10:29 am MYT

Mulia sungguh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bila mengingatkan rakyat supaya mengubah cara hidup dengan berbelanja mengikut kemampuan dan berjimat.


Teringat juga bagaimana Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nit Mat yang juga Mursyidul Am PAS menasihatkan rakyatnya dan umat Islam supaya berjimat apabila menggunakan air semasa mengambil wuduk.


Kedua pemimpin memberi nasihat atas nilai kebaikan yang sama supaya berjimat. Bagaimanapun ia satu perbezaan yang amat ketara dari segi keterampilan kedua pemimpin tersebut.


Tuan Guru Abdul Aziz mengingatkan rakyatnya berdasarkan keilmuannya serta pengalaman sebagai orang yang sering melakukan ibadah solat. Beliau berkata, Nabi Muhamad saw mengambil wuduk dengan air hanya secupak Bagdad iaitu lebih kecil sedikit daripada ukuran cupak Malaysia.


"Kalau kita hendak tahu banyak mana kita menggunakan air ketika ambil wuduk, cuba tadoh baldi dibawah paip tempat kita ambil wuduk. Tengok banyak mana kita guna air?" ujarnya ketika memberi kuliah di sebuah surau di Taman Samudra, Gombak.


Nik Aziz juga tidak mempunyai rumah selain daripada yang diduduki di Pulau Melaka. Rumah sebuah itulah yang tidak ditambah pembesaran melibatkan berjuta ringgit sejak 20 tahun lalu menjadi pemimpin kerajaan Kelantan. Sebanyak 30 peratus gajinya disumbang untuk perjuangan Islam.


Beliau juga orang yang mudah ditemui rakyat pada hari Jumaat. Tidak ada protokol dan skurity yang menghalang untuk menemui beliau. Dia pemimpin dan dia juga rakyat. Tidak ada kasta membezakan golongan pemimpin dan kumpulan rakyat.


Kedudukan dan pergaulan beliau sama dengan penduduk kampung berlainan pemimpin di Putrajaya yang amat ketara wujud jurang perbezaan antara golongan elit dan orang awam, pemimpin dan rakyat. Ia lebih mengwujudkan kasta daripada penempatan yang harmoni.


Sebaliknya kesederhanaan ini tidak wujud pada pemimpin negara dan negeri yang dikuasai Umnoi. Renovation rumah sahaja melibatkan wang berjuta ringgit. Gaya hidup mewah, keluar negara dan membeli belah boleh menghabiskan beratus ribu ringgit.


Mereka membeli jet beratus juta ringgit inilah yang menyeru rakyat supaya berjimat. Hidup di rumah berharga lebih RM200 juta inilah yang menyeru rakyat berbelanja mengikut kemampuan.


Dalam keadaan inflasi yang makin meningkat rakyat secara tidak langsung terpaksa mengawal perbelanjaan.


Kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi selepas pilihan raya umum lalu telah mengubah kehidupan mereka malah berlaku defisit. Perbelanjaan yang hanya cukup makan seumpama `kais pagi makan pagi kais petang makan petang' sebaliknya sekarang kais pagi pun tidak cukup untuk pagi.


Menteri yang hidup diselubungi kemewahan bercakap dan mengajar rakyat miskin yang sudah berjimat diminta supaya berjimat.


Rakyat miskin mahukan menteri membela mereka bukan yang miskin diseru berjimat. Rakyat mahukan gaji dan kos sara hidup minima RM1,200 sebulan sebaliknya apa pembelaan pemimpin kepada mereka.


Dalam keadaan inflasi yang semakin mencengkam rakyat sepatutnya golongan pemimpin dan kaya diseru berjimat. Mereka sepatutnya mencontohi Nik Abdul Aziz memotong gaji mereka untuk rakyat.


Jangan jadi seumpama kerajaan Mamalik meminta supaya ulama iaitu Imam Nawawi mengeluarkan fatwa supaya rakyat membayar cukai membantu kerajaan untuk digunakan wang tersebut di medan perang.


Sebaliknya Imam Nawawi kata tidak harus (haram) berbuat demikian iaitu meminta rakyat membayar cukai melainkan setelah kerajaan menjual seluruh harta kekayaan istana milik sultan untuk menampung perbelanjaan tersebut. Sekiranya ia masih lagi tidak mencukupi barulah rakyat boleh diminta membayar cukai.


Dalam paqda itu Abdullah juga mengingatkan rakyat memainkan peranan membantu penguatkuasa mengawasi harga barang-barang.


Daripada pengalaman politik Malaysia iaitu setiap kali selepas pilihan raya umum sentiasa berlaku kenaikan harga barang. Ini berdasarkan pengalaman lalu bahawa Barisan Nasional (BN) mendapat sumbangan besar daripada golongan konglomorat setiap kali pilihan raya umum.


Selepas pilihan raya golongan ini seperti biasa akan menaik harga barang bagi mengaut keuntungan lebih setelah menghabiskan wang kepada BN.


Boleh dikatakan kebanyakan barangan naik mendadak bukan sahaja barang keperluan perumahan bahkan barangan elektrik. Soket elektrik yang boleh didapati dengan harga RM1.90 di Maydin sebaliknya selepas pilihan raya mencecah RM8.90.


Bagi mengaburi pandangan, Abdullah meminta rakyat bantu penguatkuasa. Apa yang boleh rakyat bantu? Sedangkan kenaikan harga berlaku daripada pembekal dan pemborong.


Kenapa sukar sangat kerajaan mahu bertindak keatas golongan tersebut? Kenapa peruncit dan peniaga kecil yang diugut jangan menaikan harga barang?


Konglomerat boleh dibilang dengan jari dan tidak sukar untuk kerajaan bertindak. Sebaliknya menyuruh rakyat membantu penguatkuasa lebih menambah penganiayaan kepada kepada kecil dan peruncit.


Ikhlaslah kerajaan, kalau betul-betul mahu membela rakyat. Bukan hanya sedap pada suara sebaliknya menyembunyikan tindakan pemimpin negara yang lebih membela golongan kaya daripada rakyat miskin. - mr



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: