Monday, May 5, 2008

Pendedahan medan elektromagnetik

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

SM Mohamed Idris
Wed | Apr 30, 08 | 5:06:58 pm MYT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat laporan akhbar baru-baru ini yang merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh pensyarah Fakulti Perubatan UiTM, Profesor Madya Dr Adlina Suleiman. Kajian itu mendapati lebih daripada 8% penduduk yang ditemu bual di Taman Subang di Kelana Jaya didapati mengalami kanser. Menurut Dr Adlina, kebanyakan kes muncul selepas menara telekomunikasi didirikan di kawasan kediaman mereka 10 tahun lalu.


Pada umumnya, sudah pun terdapat bukti global yang mencukupi menunjukkan kemungkinan kesan berbahaya kepada manusia terutama sekali kanak-kanak hasil daripada pendedahan kepada medan elektromagnetik (EMF). Ini sudah cukup bagi penggubal dasar supaya mengambil langkah mencegah untuk melindungi kesihatan manusia.


Di beberapa negara, undang-undang mengawal kehadiran wayar penghantaran sumber lain radiasi bukan ion di kawasan kediaman dan kawasan lain yang mudah terjejas memandangkan kepada keprihatinan terhadap kesihatan.


Pada Jun 2001, International Agency for Research on Cancer (IARC), cawangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah mengumumkan bahawa medan magnetik frekuensi rendah boleh menyebabkan kanser dalam kalangan manusia, berdasarkan kaitan yang didapati antara pendedahan EMF kediaman dan leukemia kanak-kanak dan dua jenis kanser kalangan orang dewasa.


CAP menggesa Kementerian Kesihatan dan kementerian berkaitan yang lain supaya bertindak tanpa sebarang penangguhan lagi untuk menggubal undang-undang dan langkah lain bagi melindungi rakyat Malaysia daripada pendedahan kepada radiasi elektromagnetik daripada sumber seperti talian tenaga, sub-stesen, dan menara telekomunikasi. Ini termasuklah memindahkan menara telekomunikasi daripada kawasan yang terjejas dan tidak meluluskan pembinaan kawasan kediaman atau tempat kerja berdekatan talian penghantaran tenaga dan sumber lain EMF.


Daripada menunggu bagi semua bukti saintifik diperolehi, tindak balas kerajaan perlu berdasarkan Prinsip Pencegahan yang antara lain menyatakan bahawa "apabila terdapat aktiviti yang menimbulkan bahaya kepada kesihatan manusia atau alam sekitar, langkah pencegahan perlu diambil malah jika hubungan kesan dan sebab tidak sepenuhnya wujud secara saintifik." - lanh


Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: