Sunday, May 11, 2008

Janji tidak naikkan harga beras, Najib tipu rakyat?

"perawi iszma" perawi2205@yahoo.com


Gembira benar bunyinya nada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, ketika mengulas kemungkinan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak akan menurunkan cukai taksiran, sebagaimana dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum lalu.


"Kegagalan PR tunai janji telah dijangka", baca tajuk akhbar Sinar Harian semalam, memetik kenyataan Najib.


"Ambil iktibar kegagalan kerajaan Selangor: Najib", itu pula tajuk dipilih Berita Harian di hari sama.


Melaporkan kenyataan sama, akhbar Utusan Malaysia pula memilih tajuk "Pengajaran kepada rakyat".


Kesemua laporan itu memetik kenyataan Najib yang menyeru rakyat membuka mata terhadap kemampuan sebenar kerajaan PR.


"Kita sudah jangka apabila sampai pada masanya mereka (PR) akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Pada waktu pilihan raya sesiapa pun boleh membuat janji tetapi untuk menunaikannya bukan satu perkara mudah," kata Najib, cukup sinis.


Isnin (5 Mei) lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, memberitahu media kerajaan negeri pimpinannya tidak dapat memberi jaminan akan melaksanakan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus pada tahun ini. Kedua-dua perkara itu dikatakan menjadi janji dalam manifesto pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.


Sebaliknya, kata Abdul Khalid, kerajaan campuran PKR, PAS dan DAP perlu melihat kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan belanjawan 2009 yang akan dibentangkan akhir tahun ini.


"Kita belum dapat turun cukai pintu kerana pembangunan ekonomi negara belum sampai tahapnya lagi. Saya tak nak bajet kita tidak cukup (jika melaksanakan pengurangan cukai pintu)," katanya.


Kenyataan itu disambut bagaikan "pucuk dicita, ulam mendatang" oleh para pemimpin Barisan Nasional. Mereka bagaikan bersorak-sorai dan bertempik kepada rakyat Selangor yang telah menolak pemerintahan BN dalam pilihan raya lalu, "sudah kami katakan, jangan percaya sangat janji-janji mereka itu (PR)".


Tidak mustahil juga ada antara para pemimpin BN yang merasakan mereka telah mendapat modal untuk berkata "padan muka" kepada para pengundi negeri itu yang mereka anggap telah tertipu oleh janji-janji pilihan raya PKR.


Tambah menggembirakan BN ialah apabila ada di kalangan rakyat dan pengundi Selangor telah tampil membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri semalam. Orang berkenaan pula bukan jenis tak sekolah punya orang, tetapi lulusan institusi pengajian tinggi.


Beliau mendakwa terdorong membuat laporan polis kerana merasa tertipu dengan janji-janji parti pemerintah negeri menerusi manifesto PKR dalam pilihan raya umum lalu.


"Saya harap pengundi kita selepas ini lebih tahu menilai. Adakah janji itu hanya sekadar menjadi sebutan sebelum pilihan raya atau ia akan ditunaikan sebaik sahaja berakhir pilihan raya," tambah Najib.


Menurutnya lagi, pengundi haruslah mempunyai pemikiran lebih matang dan menilai sesuatu janji yang mungkin disuarakan hanya sebagai percakapan politik sahaja, sedangkan janji tersebut tidak mungkin dapat ditunaikan.


Wah! Syabas Najib dan juga para pemimpin BN. Mereka nampaknya dapat bernafas lega dan bertepuk tangan di atas "kegagalan" kerajaan PR Selangor itu. Mungkin sudah ada antara mereka yang mula tersenyum puas dan mengharapkan kes ini akan menyedarkan rakyat Selangor atas "penipuan" PKR.


Mereka sudah mula membayangkan masa depan yang cerah kembali untuk BN di negeri itu.


Semuanya kerana janji, bukan? Maka apakah hanya PKR yang membuat janji kepada rakyat sebelum ini? Apakah BN tidak menaburkan janji-janjinya sepanjang kempen pilihan raya lalu atau sepanjang pemerintahannya penggal lalu?


Kebetulan pula, antara isu paling hangat diperkatakan kini ialah soal kenaikan harga beras di pasaran tempatan. Beras adalah makanan ruji dan menjadi keperluan setiap rumahtangga. Kenaikan harganya memang memberi kesan sangat besar kepada hampir setiap rakyat negara ini.


Ingat lagi apa janji atau ikrar para pemimpin BN beberapa bulan sebelum pilihan raya lalu mengenai kenaikan harga beras? Harganya djamin tidak akan dinaikkan.


Kebetulan lagi, orang yang menjanjikan perkara ini ialah Najib sendiri. Berikut dipetik kenyataan beliau mengenai isu kenaikan harga beras, sebagaimana disiarkan Utusan Malaysia, 9 Julai 2007 (tanpa sebarang pindaan):


("BUKIT MERTAJAM 8 Julai � Dato' Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak berhasrat membenarkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menaikkan harga beras memandangkan rakyat sangat sensitif dengan kenaikan harga bahan makanan itu.


"Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kadar harga beras akan ditentukan oleh kerajaan berdasarkan fakta dan keadaan semasa supaya ia tidak membebankan rakyat.


"Kita akan tentukan (harga) bila kita dapat fakta-fakta mengenainya sebab tidak ada keinginan bagi kerajaan untuk menaikkan harga beras," kata Najib.")


Nah! Itu petikan ikrar atau janji Najib sepuluh bulan lalu. Kononnya tidak ada keinginan bagi kerajaan untuk menaikkan harga beras. Sekarang apa sudah jadi dengan janji itu?


Ke mana perginya keprihatinan kerajaan bahawa rakyat sangat sensitif dengan kenaikan harga bahan makanan itu? Ataukah kerajaan sebenarnya yang sudah tidak sensitif dengan bebanan ditanggung rakyat sekarang ini?


Apa yang jelas, nada ikrar dan janji Najib sendiri sudah berbeza antara sebelum pilihan raya dulu dengan selepas pilihan raya. Beliau mungkin bernasib baik kerana tidak ada rakyat Malaysia, walau secerdik mana sekali pun mereka, yang akan membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana merasa tertipu dengan ikrar dan janjinya tidak akan menaikkan harga beras itu.


Bahkan, orang lebih wajar disaman atau dikutuk atas kenaikan harga beras ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad. Kenyataan beliau mengenai harga beras semasa sangat tidak munasabah dan terang-terang menipu rakyat.


Di saat dia berkata kepada media bahawa harga beras tidak naik, di masa itu juga rakyat di bawah sana sedang dibebankan dengan kenaikan mendadak harga makanan ruji itu. Apakah itu bukan suatu penipuan?


Barangkali jika semua rakyat berfikir macam seorang hamba Allah di Selangor semalam, sepatutnya sudah ramai rakyat yang merasa tertipu dengan kenyataan menteri itu tampil membuat laporan polis terhadap beliau.


Dengan apa yang berlaku terhadap harga beras itu, para pemimpin BN, khususnya Najib tidak sepatutnya bergembira sangat dengan tindakan kerajaan PR Selangor menangguhkan penurunan cukai taksiran sebagaimana dijanjikan mereka sebelum ini. Janji Najib sendiri mengenai harga beras masih ditagih rakyat negara ini. - mr



Probable Source: Either Harakahdaily.net or KLpos
*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: