Tuesday, May 6, 2008

Hubungan Istana Perak dan MB baik, media cuba polemikkan

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

Azamin Amin
Tue | May 06, 08 | 12:25:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sekali lagi diuji dengan 'asakan' dan 'cabaran' pihak tertentu yang dilihat cuba menghebahkan kepada rakyat.


Kini kerajaan pakatan sengaja dipertontonkan kepada rakyat seolah-olah wujud ketegangan antara pihak Istana dengan Menteri Besar Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.


Walhal isu itu berkaitan formaliti dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi oleh Nizar dalam perkara membabitkan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato' Jamry Sury.


Mengulas lanjut hal itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi berkata isu 'kesilapan' teknikal itu cuba diperbesar-besarkan dan dipolemikkan oleh sesetengah media milik kerajaan yang mahu mempamerkan seolah-olah Nizar membelakangi kuasa Istana.


Sedangkan pertukaran Jamry telah dimaklumkan Menteri Besar Perak kepada Sultan Perak sewaktu perasmian Mahkamah Syariah Ipoh pada 30 Mac lalu.


"Cuma Tuanku minta rujuk kepada Yang Dipertua Majlis Agama Perak iaitu Raja Muda Raja Nazrin Shah.


"Dan Raja Muda menegur Nizar dari sudut formaliti dan perlu mengikut prosedur yang betul. Itu sahaja dan hubungan Istana amat baik sama ada dari segi tugasan mahupun peribadi tidak menghadapi sebarang masalah seperti yang cuba digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," katanya yang juga seorang peguam.


Beliau turut mendakwa bahawa pertukaran Jamry iaitu merupakan proses pertukaran biasa yang dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri kepada para pegawainya.


Ianya tidak melibatkan soal turun pangkat mahupun pemecatan daripada jawatan, katanya.


"Pada awal penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak memang berlaku beberapa pegawai yang enggan bekerjasama dengan Menteri Besar malah mahu meletakkan jawatan ataupun ditukar ke tempat lain.


"Justeru kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik menangani masalah-masalah individu yang tidak mahu memberikan komitmen kepada kerajaan yang baru," katanya.


Berhubung dengan kenyataan ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, beliau sekadar menyatakan bahawa itu merupakan hak beliau untuk memberi pendapat dan enggan mengulas lanjut.


"Kita tidak mahu melatah setiap isu yang dimainkan oleh pihak media atau pihak-pihak tertentu kerana ianya akan mensensasi perkara yang tidak pun seperti yang digambarkan, " katanya yang juga merupakan AJK PAS Pusat./wann



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: