Sunday, May 4, 2008

Anwar lulus ujian, tapi terus dihentam

"isjGmail" isj2809@gmail.com

Dilulus terbit pada Saturday, May 03 @ 16:29:45 MYT oleh SongkokPutih

Artikel Oleh othimbra

" Ternyata sentuhan DSAI dalam PRU- 12 berjaya meranapkan BN di beberapa buah negeri. Ini realiti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Jika tidak kerana usaha beliau menyelaraskan pakatan pembangkang dan masing-masing dibiar menyertai pilihan raya seperti mana yang lepas, tidak mungkin BN dapat ditewaskan seteruk itu.

Hakikatnya, bukan mudah memujuk DAP dan PAS untuk menerima konsep muafakat ‘satu lawan satu’ bagi menghadapi BN yang memang perkasa itu jika tidak kerana peranan yang dimainkan oleh DSAI. Ini adalah kerana selain dari perbezaan dasar yang jaraknya langit dan bumi bagi kedua parti tersebut, masing-masing mempunyai penyokong di peringkat agar umbi yang fanatik terhadap parti mereka dan agak sukar untuk dijinakkan.

Kini, miski pun ramai yang mengkagumi kejayaan DSAI termasuk pemerhati luar, tetapi tidak kurang juga yang cemburu dan dengki terhadapnya. Sebab itu terdapat usaha-usaha untuk memburukkan persepsi terhadap beliau yang bukan sahaja datang dari musuhnya, malahan datang dari kalangan pembangkang sendiri yang bersama-sama berjuang menumbangkan BN dalam PRU baru-baru ini.

Mereka menggunakan berbagai cara dan strategi termasuk menggunakan laman blog untuk menghentam DSAI. Tindakan tersebut sebenarnya menabur bibit keraguan dalam minda rakyat agar keyakinan mereka terhadap karisma DSAI akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika anda rajin, cuba perhatikan tulisan-tulisan yang dimuat pada laman blog yang meremehkan ketokohan beliau dan sekali gus lupa terhadap peranan beliau sebelum ini.

Agak menyedihkan, ada yang mula mempertikaikan kelayakan DSAI untuk merebut tampuk pemerintahan negara dengan alasan beliau meneruskan dasar sekular, tidak Islamik, membunuh nasib masa depan Melayu, agen Yahudi dan sebagainya. Sebaliknya mereka menyarankan jawatan utama itu layak diberi kepada tokoh sanjungan mereka yang dianggap lebih berwibawa berbanding dengan DSAI.
Soalnya, kenapa perbincangan ini baru ditimbul sekarang dan tidak sebelum pilihan raya? Tidakkah terlalu awal membincang sesuatu yang masih belum tiba masanya?

Janganlah hendaknya terjadi seperti kisah dua beradik yang tamak harta. Mereka sanggup berkelahi dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri kerana berebut harta pesaka, padahal waktu kejadian berlaku, harta yang diimpikan itu masih dalam penguasaan bapanya yang merupakan seorang jutawan tersohor. Akhirnya setelah bapa mereka meninggal dunia sepuluh tahun kemudian, harta tersebut jatuh kepada baitulmal kerana tiada lagi waris yang berhak ke atas harta pesaka tersebut. Ini suatu peristiwa malang yang patut dijadikan iktibar.

Kita percaya DSAI tidak mudah kecewa dan lemah semangat dengan serangan ke atas peribadinya menerusi blog kerana beliau lebih matang serta tahu sepak terajang dalam perjuangan. Demikian juga penyokong-penyokong beliau diharap tidak terkilan dengan serangan tersebut kerana ianya pasti dilakukan oleh orang yang mencemburui kejayaan DSAI.

Bagi DSAI, serangan menerusi penulisan adalah terlalu kerdil buat dirinya lantaran beliau pernah berdepan dengan fitnah terbesar yang menggemparkan negara. Mana ada seorang pemimpin negara di abad ini yang mengalami ujian yang cukup hebat seperti DSAI.

Beliau ditangkap, dicedera oleh Ketua Polis Negara sampai sepauh mati, dimalukan menerusi tuduhan seksual di luar tabii dengan pendedahan tanpa tapisan tentang perilaku yang tak bermoral itu menerusi semua saluran informasi milik negara dan swasta yang pro kerajaan, diracun dengan racun arsenik semasa dalam tahanan, menanggung penderitaan sakit yang boleh membawa lumpuh tanpa dibenar menjalani rawatan pakar di luar negara dan banyak lagi.

Untuk melengkapkan kezaliman ke atas dirinya oleh sang penguasa yang dianggap gila kuasa, pertuduhan dirancang dengan sedemikian rupa di bawah kendalian pihak berkuasa dan fakta tuduhan boleh dipinda dari semasa ke semasa bagi mewajarkan kes tersebut dirujuk ke mahkamah. Kemudian, beliau dibicarakan dalam mahkamah di bawah kendalian hakim yang penuh kontraversi sehingga akhirnya hukuman dijatuhkan sebagai tanda beliau seorang penjenayah yang benar melakukan kejahatan yang patut menerima hukuman.

Rakyat dan pemimpin seluruh dunia memerhatikan apa yang berlaku di Malaysia ketika itu dengan penuh sangsi. Sementara pemimpin dan penyokong UMNO menyaksikan penzaliman ke atas DSAI dengan penuh ketakutan, seolah-olah mereka sedang menyaksi kerbau yang sedang dibaham harimau tanpa seorang pun berani menghalang. Walau pun mereka tahu DSAI menjadi mangsa kekejaman, namun mereka lebih rela mengambil sikap membisu dan membutakan mata, demi untuk menyelamatkan diri.

Terdapat segelintir rakan setia yang bersimpati dan cuba membela keadilan DSAI, namun dengan senang mereka disumbat ke dalam penjara atas berbagai tuduhan yang memungkinkan mereka disabitkan kesalahan. Ini senario yang wujud di Malaysia pada akhir tahun 90 an, seolah-olah negara berada di zaman otokrasi pemerintahan Athen di abad sebelum Masehi.

Ternyata DSAI telah lulus ujian besar bermula dari tarikh beliau disingkir dari jawatan penting negara pada tahun 1998 hingga dibebas dari penjara Sungai Buloh pada tahun 2004. Beliau lulus dengan cemerlang peringkat master, di mana ilmu politik dan ketatanegaraan yang dialaminya itu cukup layak untuk ke jawatan tertinggi negara sebagaimana pemimpin besar dunia seperti Nelson Mandela dan lain-lain tokoh negarawan yang pernah merengkok dalam penjara sebelum dinobat oleh rakyat sebagai penguasa tertinggi negara.

Namun, akibat irihati atas kelulusan tersebut dan mungkin dengki dengan kejayaan menyatukan beberapa parti pembangkang yang kini menguasai lima negeri, ada yang cuba memadamkan imej beliau di mata rakyat dengan harapan kebangkitanya terbantut dan kelantangan suara reformasinya terus lenyap. Usaha tersebut tentunya dilakukan oleh musuh beliau yang kadang-kadang meyamar sebagai penyokong parti pembagkang.

Walau apa pun, penyokong dan pendokong PR tidak wajar bertindak mengeruhkan suasana dan membiarkan diri mereka diperalat oleh tali barut BN tanpa mereka sedari. Mereka tidak harus menggunakan kebebasan berkarya semata-mata untuk menghentam tokoh karisma tanpa mempedulikan implikasinya kepada PR serta barisan pimpinan atasannya yang sentiasa bekerja keras bagi mengukuh dan memantapkan perkungsian PR yang masih terlalu rapuh itu.

Sebaliknya para menyokong PR seeloknya membentuk muafakat di peringkat akar umbi yang lebih dinamik bagi mempertahankan momentum PR agar tidak mudah dimusnahkan oleh musuh bersama mereka. Mereka harus sedar jika benteng PR berjaya dirobohhan dalam jangka masa terdekat ini, maka keupayaan untuk bangkit kembali hanya tinggal angan-angan sahaja. Percayalah.

Wallahu a’lam.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: