Monday, April 14, 2008

Warkah buat DYTM Tengku Mahkota Kelantan

"Eddy Izwan Musa" eddy.izwan@yahoo.com

Warkah buat DYTM Tengku Mahkota Kelantan
Tengku Muhammad Faris Petra

Ampun Tuanku beribu ampun sembah patik harap diampun.

Patik menumpang gembira diatas keprihatinan Tuanku terhadap prinsip ketuanan Melayu sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku di PWTC semalam. Siapalah lagi yang sewajarnya bimbang dan prihatin terhadap isu ini jika tidak Tuanku dan Raja-raja Melayu sekalian.

Ampun Tuanku

Rakyat Melayu yang menerima dan menganut Islam, disamping rakyat Malaysia keseluruhannya patik yakin akan terus menerus taat dan menjujung institusi Raja-raja Melayu sebagai simbol keadilan dan payung negara. Sesungguhnya kebijaksanaan dan keberanian Raja-raja Melayu mutakhir ini menggunakan kuasa Duli-duli Tuanku sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri masing-masing, jelas disokong dan dijunjung rakyat jelata khasnya di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor.

Ampun Tuanku

Perpaduan Melayu rentetan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu ternyata kelihatan rapuh namun hakikatnya ia tidak pernah mengakibatkan runtuh dan robohnya ketuanan Melayu sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu khasnya yang telah hilang kuasa di negeri-negeri tertentu. Orang Melayu pada hakikatnya masih menguasai lebih separuh dari kerusi-kerusi di Dewan Rakyat dan di Dewan-dewan Undangan Negeri. Cumanya perbezaan politik mengakibatkan mereka terpisah namun tidaklah ia mengakibatkan kurang atau hilangya kuasa politik bangsa kita itu.

Ampun Tuanku

Perbezaan politik orang Melayu tidak boleh dielakkan, malah sistem demokrasi yang kita amalkan dalam negara meraikan perbezaan sihat ini. Orang Melayu telah berbeza politik sejak sebelum Merdeka lagi, tetapi sejarah telah membuktikan walaupun demikian mereka tidak pernah menggadaikan agama dan bangsa hasil dari perbezaan itu. Orang Melayu di Kelantan contohnya juga demikian sehingga ke hari ini namun Institusi Raja-raja Melayu dan konsep ketuanan Melayu terus mereka junjung dan pelihara.

Ampun Tuanku

Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, adalah perubahan kecenderungan politik orang Melayu yang selama ini taat dan setia pada Umno. Setelah 50 tahun orang Melayu mula menyedari bahawa amanah yang telah mereka berikan kepada Umno telah dikhianati sehingga umat Melayu tidak lagi menjadi agenda utama perjuangan Umno tetapi yang dipenting dan diperjuangkan adalah nasib dan masa depan para pemimpin dan kroni mereka belaka dari peringkat tertinggi sehinggalah kepimpinan akar umbi.

Ampun Tuanku

Umat Melayu terganggu apabila ada dikalangan mereka masih miskin dan kais pagi makan pagi kais petang makan petang sedangkan pimpinan Umno yang mereka amanahkan untuk membela nasib mereka beratapkan mahligai mewah, berkenderaan mahal dan berharta dari harta yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaganya.

Ampun Tuanku

Umat Melayu menghukum Umno melalui proses demokrasi dalam Pilihan Raya Umum lalu. Mereka menjatuhkan pemimpin-pemimpin Umno yang korap dan kotor ini dan menggantikannya bukan dengan pemimpin bukan Melayu tetapi pemimpin Melayu jua dari PAS dan PKR. Perubahan ini bukannya durhaka terhadap agama dan bangsa tetapi hakikatnya membersih umat Melayu dari pemimpin yang durhaka.

Ampun Tuanku

Rakyat jelata mengharapkan Tuanku Raja-raja Melayu akan terus menjadi payung bagi rakyat berteduh memperoleh keadilan dan kesaksamaan. Rakyat khasnya umat Melayu siapa sahaja patik sekalian termasuklah samada PAS atau PKR tidak sekali-kali akan bertindak menghakis kuasa Tuanku atau konsep ketuanan Melayu kerana sesungguhnya Islam dan Melayu itu tetap dan terus bangsa dan agama patik-patik jua. Yang patik-patik benci dan kesalkan adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang menggadai dan memperjudikan nasib dan kepentingan umat angkara amalan rasuah yang merupakan amalan puaka dalam parti mereka.

Ampun Tuanku

Insyallah bangsa dan umat Melayu akan terus mulia dan dipandang tinggi kiranya mereka terus taat dan menjunjung perintah Allah swt. Pemimpin Melayu yang baik adalah pemimpin yang taat berpegang kepada al Quran dan Sunnah. Pemimpin Melayu seperti inilah patik yakin akan mempertahan dan mendaulatkan terus institusi Raja-raja Melayu, memelihara bangsa dan agama serta memeprtahankan kemerdekaan negara.

Ampun Tuanku

Patik menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku kerana berkenan menatap warkah ini. Semoga Allah swt melanjustkan usia Tuanku dan memberi taufik dan hidayah tidak putus-putus kepada Tuanku dan Raja-raja Melayu sekalian.




*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: