Sunday, April 13, 2008

Tiada lagi tender secara rundingan terus: Khalid

"onn abubakar" onnabubakar@gmail.com

12-04-2008 05:10:16 PM

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menghapuskan pemberian tender yang dijalankan secara rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera bagi mengelakkan tender terbabit dimonopoli oleh satu pihak tertentu sahaja.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan itu dibuat selepas mendapati sebanyak 98 peratus projek di bawah biayaan kerajaan negeri Selangor ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, diperoleh dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu.

"Saya menganalisa semua dan ada projek di negeri ini tertumpu kepada kumpulan tertentu. Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke22 Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS), di sini, Sabtu.

Katanya senarai nama kontraktor yang telah diberikan projek kerajaan negeri itu akan dihebahkan tetapi memerlukan masa kerana perlu mendapat izin daripada pihak tertentu terlebih dahulu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemberian tender itu.

Beliau turut memberi jaminan syarikat kontraktor yang banyak mendapat kontrak kerajaan negeri menerusi kaedah rundingan terus itu tidak akan disenaraihitamkan kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Kita hanya akan senarai hitamkan mereka sekiranya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Kita kena ada alasan yang rasional untuk bertindak demikian. Kita juga akan lihat dan kaji nilai projek yang telah diberikan kepada kontraktor terbabit," katanya.

Ketika berucap, Abdul Khalid berkata beliau tidak akan menggunakan 'pena sakti' yang dikatakan menjadi milik Menteri Besar untuk memberi kebenaran dan kelulusan kepada mana-mana kontraktor mendapatkan projek.
"Saya tidak ada lagi 'pena sakti' kerana saya sudah buang. Tidak boleh lagi (kontraktor datang) ke pejabat Menteri Besar untuk dapatkan 'pena sakti' ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri tetap memberi bantuan kepada kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek tetapi berdasarkan kepada kemampuan, keupayaan dan pengalaman yang ada pada syarikat kontraktor terbabit.

Katanya segala urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan bersama oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat, bukannya bergantung kepada 'pena sakti' Menteri Besar.

"Saya mahu mereka bersama-sama saya menyediakan segala bentuk keputusan. Saya tidak mahu hanya Menteri Besar menjadi pembuat keputusan tapi mahu semua Exco dan pegawai kerajaan juga terlibat sebagai pembuat keputusan," katanya. BERNAMA



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: