Thursday, April 10, 2008

sumber makanan makin berkurangan ...

"Muhammad Sabri Bin Muhammad Salleh"

Salam

Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
Al An'am 6:141

Dunia hadapi ancaman krisis makanan serius



RASA MARAH: : Penunjuk perasaan di Haiti membantah kenaikan harga barang, membakar tayar ketika mengadakan hadangan di bandar Les Cayes, kelmarin.

Kenaikan harga, bekalan kurang boleh gugat kestabilan: PBB

DUBAI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia.

Pemimpin Bank Dunia pula mengingatkan kenaikan harga barangan itu bukan satu fenomena biasa malah boleh berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya.


Amaran PBB itu dinyatakan oleh John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana PBB di sidang bantuan kemanusiaan di Dubai. Harga purata makanan meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007, katanya.

"Harga makanan dunia meningkat dengan ketara. Kesan krisis makanan ke atas keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana rusuhan sudah meletus di beberapa negara.

"Aliran harga makanan itu dijangka terus meningkat mendadak yang hanya memburukkan lagi keadaan," katanya.

KECOH: Penduduk miskin berebut-berebut mengambil bungkusan derma beras daripada sekumpulan pelajar di Jakarta, semalam.

Sementara itu di WASHINGTON, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, berkata permintaan besar terhadap makanan, perubahan diet dan penggunaan biofuel sebagai sumber tenaga alternatif, mengurangkan bekalan makanan sedunia ke tahap menghampiri paras kecemasan.

Zoellick meminta 185 negara anggota dan pertubuhan lain sama-sama menangani masalah itu termasuk mencari jalan membantu petani khususnya di Afrika serta meningkatkan produktiviti dan kemudahan mendapatkan makanan menerusi sekolah dan tempat kerja.

"Satu penilaian di Indonesia baru-baru ini menunjukkan tiga perempat penduduk miskinnya adalah pembeli tetap beras dan peningkatan harga sebanyak 10 peratus pun boleh mewujudkan tambahan dua juta penduduk miskin iaitu kira-kira satu peratus jumlah keseluruhan penduduk negara itu."

Di PORT-AU-PRINCE, Haiti, seorang lelaki mati ditembak dalam tunjuk perasaan di bandar Les Cayes, selatan Haiti, menjadikan jumlah kematian akibat protes kenaikan harga barang meningkat kepada lima orang.

Penunjuk perasaan di kalangan pelajar yang meluahkan kemarahan terhadap kenaikan harga makanan bergaduh dengan polis di luar universiti awam di Port-au-Prince. Haiti memiliki hampir sembilan juta penduduk.

Empat penduduk terbunuh dan 20 lagi cedera dalam rusuhan di Les Cayes, minggu lalu. Kenderaan PBB dibakar, pengaman diserang dan gudang makanan dipecah masuk penduduk pada Khamis dan Jumaat lalu.

Rusuhan itu menyebabkan Perdana Menteri, Jacques Edouard Alexis mengumumkan pelaburan berjuta dolar terhadap program yang mensasarkan usaha mengurangkan kos sara hidup penduduk.

Di Les Cayes, ketegangan terus memuncak dengan tembakan dilepaskan selepas penunjuk perasaan menyerang rumah Senator Gabriel Fortune menyebabkan dua lelaki cedera, kelmarin.

Seorang penduduk, Maxon Benoit, berkata kerajaan menjadi dalang terhadap ketegangan yang berlaku kerana mereka gagal menguruskan masalah kenaikan harga barang itu dengan berkesan. "Kenapa mereka tidak menghapuskan cukai produk makanan dan membantu rakyat?" katanya. - Reuters/AP



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: