Wednesday, April 9, 2008

Sufiah - contoh produk dari sistem Kapitalis

"Caring Mommy" caring.mommy@gmail.com

Sufiah - contoh produk dari sistem Kapitalis (www.myKhilafah. com)

Sufiah tak kesal jadi pelacur

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai 'wanita penuh berahi' yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000).

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

"Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya," katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya.

Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan. Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa.

Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli. Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.
Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya.

"Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak.

"Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia. Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan," katanya.

Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur.

"Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi.

"Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri.

"Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok," katanya.

Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan.

"Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka.

"Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan.

"Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman." � Agensi

Sumber: Berita Harian 08/04/08

Ulasan:

Jika apa yang dilaporkan di atas adalah benar, maka sungguh keji, jijik dan hina sekali apa yang dilakukan oleh Sufiah. Walau bagaimana susah sekali pun hidup seseorang itu, ini langsung tidak memberi 'lesen' kepadanya untuk melanggar hukum Allah. Seseorang itu mesti keluar dari kesusahan hidupnya dengan cara yang sah, yang dibenarkan oleh syarak, bukan dengan cara memaksiati Allah, malah berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Jika benar Sufiah mengaku telah berzina dan pengakuan ini dibuat olehnya dengan kesedaran, maka hanya orang-orang sekular dan jahil sahaja yang akan mengadakan kempen 'Selamatkan Sufiah'. Menurut hukum Allah, apa yang sepatutnya dilakukan ke atas Sufiah adalah rejam sampai mati. Ini kerana dia merupakan seorang penzina muhsan (telah berkahwin). Hanya ini sahajalah satu-satunya hukum Allah ke atas penzina yang keji ini dan hanya dengan pelaksanaan hukum rejam ini sahajalah yang akan membebaskan dosa zinanya di akhirat kelak, jika dikehendaki oleh Allah.

Kes Sufiah adalah satu kes yang merupakan simptom dari sistem kapitalis yang memperjuangkan sistem kebebasan, iaitu kebebasan individu (bertingkah laku). Dalam dunia kapitalis selama mana seorang individu itu 'suka-sama-suka' untuk melakukan sesuatu perbuatan, maka perbuatan itu dikira sah, yang menjadi ukuran utama ialah kebebasan individu itu tidak digugat dan merupakan perkara suci, maka apa sahaja yang ingin dilakukannya terserah kepada mereka. Negara di sisi sistem kapitalis adalah sarana untuk memastikan kebebasan ini tidak dinodai. Dalam Islam perkara ini adalah amat berbeza sekali kerana Islam datang untuk mengatur sistem kehidupan berumah-tangga manusia, begitu juga dengan sexual instict manusia turut di atur oleh Islam melalui hubungan perkahwinan yang mulia.

Setelah muncul kes Sufiah ini, kelab UMNO UK terus sibuk ingin menjadi hero, sehingga 4,000 orang anggota dikerah untuk mencari dan menyelamatkan Sufiah. Tidak ketinggalan, heroin UMNO, Dr Mashitah juga turut menjayakan kempen 'Selamatkan Sufiah' di bawah arahan bosnya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Banyak tenaga telah dibuang untuk menyelamatkan seorang manusia yang muncul kerana dicetak oleh sistem kapitalis ini. Padahal, alangkah baiknya jika wang dan tenaga itu digunakan untuk menerapkan sistem Islam dalam kehidupan umat ini. Yang mana jika sistem kehidupan sosial bernegara diterapkan, kehormatan wanita dijaga dengan undang-undang negara, pakaian yang menjolok mata diharamkan, penzina muhsan (yang telah berkahwin direjam) dan yang belum berkahwin dilakukan 'public canning' (sebatan di tempat terbuka). Pendekatan individu yang cuba dilakukan dalam kancah sistem kapitalis terlalu kabur kesannya dan inilah yang bakal diambil oleh Dr Mashitah nanti.

Sebagai contoh mudah, kalau ada satu kawasan yang mempunyai bekalan air yang kotor yang menyebabkan penduduk kawasan tersebut menderita cirit-birit. Sudah pasti langkah yang bijak oleh pemerintah adalah memproses air bersih untuk rakyatnya, ini memerlukan 'perubahan sistem' untuk menyelamatkan penduduk itu secara keseluruhan. Bukannya membiarkan air kotor dan memikirkan berapa ramai doktor yang diperlukan oleh penduduk. Bukan juga dengan menyelamatkan salah seorang penduduk yang paling pandai matematik di kampung tersebut, manakala yang tidak pandai matematik dibiarkan terus meminum air kotor tersebut! Jika 'sistem pengairan' tersebut berjaya ditukar kepada sistem yang lebih baik, maka nescaya semua penduduk kampung dapat diselamatkan.

Jadi dalam kes 'Selamatkan Sufiah' ini, maka kita perlu melihat dari segi yang lebih objektif, apakah di dalam negara sendiri kita tidak ada kes pelacuran sebegini? Kenapa kes Sufiah ini perlu diperbesarkan dan diselamatkan oleh kerana emaknya orang Malaysia, sedangkan ramai lagi anak-anak orang Islam yang maruahnya tergadai dan badannya terjual sekarang ini? Yang kita khuatiri nanti Sufiah akan berkata, "Saya melacur kerana darurat sesuai dengan fatwa Dr Mashitah sendiri." [sila rujuk Harian Metro 19 Jun 2005 tetang fatwa Dr Mashitah yang membolehkan melacur dalam keadaan terdesak]. Jika demikianlah jawapan Sufiah, apa pula agaknya jawapan Dr. Mashitah kepada Sufiah?

Justeru, sebelum menyelamatkan orang lain, Dr Mashitah kena bertanya dirinya sendiri terlebih dahulu, 'Selamatkah diriku dari dosa terhadap Allah dengan fatwa sesat yang aku keluarkan dan selamatkah diriku dengan penghinaan yang aku lakukan terhadap hudud Allah?' Dr Mashitah juga perlu bertanya dan memuhasabah diri, 'Selamatkah diriku di akhirat kelak dari azab Allah dengan aku bersekongkol dengan pemerintah sekular sekarang dan aku membenarkan pemerintahannya yang jelas-jelas bertentangan dengan hukum Allah?


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: