Saturday, April 19, 2008

Selangor FM Ke Udara dari Wisma Radio@Angkasapuri

"Sulaiman Masri" suli306@gmail.com

18 April 2008: 11 Rabiul Akhir 1429.

Assalamualaikum, salam sejahtera;

Hari ini Radio Selangor FM ke udara di studio Wisma Radio@Angkasapuri,
Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Disahkan, bilik operasi Selangor FM di Tingkat 4 Bangunan Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah @SUK, Shah Alam, dikosongkan mulai pagi
ini, dan selesai Isnin, 14 April.

Datuk Ahmad Shabery Cheek, peneraju kementerian penerangan pasca Datuk
Zainuddin Maidin, pasti lega kerana antara arahan sulungnya lewat
'kuasa seorang menteri', dipatuhi staf "didikan" Shah Alam agar
berpindah ke ruang baharu WR@Angkapuri, tepat waktunya.

"Kita akan dapatkan tempat lain yang sesuai untuk menempatkan Radio
Selangor FM. Yang pasti kita akan terus menghampiri hati rakyat
Selangor menerusi Radio Selangor FM", antara ungkapan autoritatif
Ahmad Shabery ketika acara di Nilai, 12 April.

Yang kita maklum, tindakan Selangor FM segera dipindah ke Kuala
Lumpur, ekoran surat YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, 3 April,
yang "...memohon diwujudkan satu slot khas supaya YAB Dato' Menteri
Besar dan YB. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat memberi
penerangan mengenai program, polisi dan pembangunan kepada masyarakat
negeri Selangor.."

Surat Tan Sri Khalid ringkas dan jelas. Tiada penjelasan atau
justifikasi lanjut mengenai keperluan "ke udara" setiap hari ke?
seminggu beberapa kali ke?, atau liputan khas ke udara semasa
mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
(Ahmas) ke?

Sehubungan itu, kita tidak berhasrat memperkatakan andaian siapa
untung siapa rugi. Yang pasti, Tan Sri Khalid sudah memohon slot
berkenaan menerusi surat dan lisan.

Tan Sri Khalid kini "ketua" kerajaan negeri Selangor. Mungkin,
kerajaan pusat menerusi Datuk Shabery "buat-buat" tidak mengenal
beliau?

Tempat operasi Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar, dan semua Ahmas
pun di bangunan yang menempatkan bilik Selangor FM. Cuma berlainan
tingkat.

Sebagai "tuan ampunya kerajaan negeri" yang baharu, Tan Sri Khalid
sedia memberi "ihsan" kepada Selangor FM untuk beroperasi di bangunan
SUK. Hal sama diberi oleh "tuan ampunya kerajaan negeri Selangor" yang
terdahulu hingga "penamatan kuasa secara luar jangka" menjelang fajar
awal 9 Mac.

Jika kerajaan Datuk Seri Khir diberi slot atau liputan oleh Selangor
FM, maka sewajarnya kerajaan Tan Sri Khalid pun mendapat hak yang
sama.

Dua ketua kerajaan negeri Selangor sama-sama dipilih menerusi pilihan
raya. Bezanya, cuma berlainan parti dukungan.

Mungkin kerana berlainan parti dukungan, menyebabkan Datuk Ahmad
Shabery "dipaksa" menafikan hak ketua kerajaan Selangor daripada Parti
Keadilan Rakyat/PKR, manakala ketua kerajaan negeri sebelumnya ahli
parti yang menguasai kerajaan pusat.

Atau, Datuk Ahmad Shabery tersinggung kerana Tan Sri Abdul Khalid
pernah tercakap, jika Selangor FM tidak memberi slot khas, maka
Selangor FM wajarlah beroperasi di premis berasingan.

Memang kurang sopan jika Selangor FM, yang sebumbung dengan operasi
kerajaan negeri sekarang, tidak membalas ihsan dengan pemberian slot
yang diminta. Tentu pakatan PKR, PAS, DAP ikhlas untuk menyebar dasar
dan maklumat demi faedah rakyat Selangor yang memilih kerajaan
sekarang, dan diterajui Tan Sri Khalid.

Jika diteliti ruang lingkup persoalan, ternyata Datuk Shabery kurang
matang membuat keputusan, dengan mendadak memindahkan operasi Selangor
FM ke Kuala Lumpur.

Dalam suasana parti dukungan beliau tuduh menuduh mencari punca
kemerosotan sokongan pada PRU-12, di samping kerancakan badan bukan
kerajaan Melayu (NGO) membahas soal perpaduan dan ketuanan Melayu,
Ahmad Shabery sepatutnya bijak menggunakan suasana agar "bulu ayam
yang tercarik dapat dicantum semula".

Walhal jika beliau bertemu dan berbincang dengan Tan Sri Khalid,
mungkin hasilnya "sama-sama menang", dan keikhlasan bekerjasama
mewujudkan perpaduan Melayu berjaya dirintis antara dua tokoh Melayu
daripada dua parti yang berbeza..

Malang, Datuk Shabery, pemimpin muda parti kerajaan pusat, walaupun
sebelumnya pendukung PAS yang setia, namun kerana sudah terpaut dengan
budaya "tunjuk kuasa" maka, lantas YB kelahiran Terengganu ini
terlupa konsep "budi bicara" dalam pentadbiran politik mahupun
pentadbiran awam.

Nota>>>Terlanjur menyentuh perpaduan Melayu, perlu diingat, dalam
keadaan sekarang, perpaduan Melayu kemungkinan dapat 'pulihkan'
menerusi dua pilihan sahaja: satu, ajakan "bersatu dalam Islam
sebenar" bukan Islam hadhari; atau, kedua, bukan ajakan kembali
bersatu untuk mengukuhkan Umno.

Konsep "ketuanan" Melayu pula, sebenarnya sudah wujud kukuh dalam
institusi kesulatanan Melayu. Raja atau sultan merupakan "tuan"
Melayu. Kaum-kaum lain yang menjadi warga Malaysia, termasuk daripada
komponen Pakatan Rakyat dan parti komponen dalam BN, sudah akur dengan
kedudukan institusi kesulatanan Melayu yang tercatat dalam
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia.

Amat jelik jika ada pemimpin Umno yang mahu dianggap mereka "tuan" Melayu!

Wallahualam.

Dr. Sulaiman

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: