Friday, April 25, 2008

Royalti Minyak 20 Peratus: Hak Sabah yang telah lama dinafikan

Posted on Thursday, April 24 @ 14:24:32 MYT by greenboc
Fikir Sejenak Oleh lambunau

"
a
Membaca kenyataan ini bagi anak-anak Sabah, Sarawak, dan Terengganu yang telah lama memperjuangkan tuntutan menaikkan royalti minyak, sudah pasti berasa sedikit gembira kalaupun tidak sangat gembira. Berita yang sudah lama dinanti-nantikan ini pastinya suatu perkhabaran yang indah untuk menjadi halwa telinga mereka yang telah lama merasa tertindas di tanahair sendiri.


"Anwar memberitahu, antara agenda pakatan pembangkang yang akan dijelaskan ialah mengenai royalti minyak yang perlu dinaikkan kepada 20 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Terengganu memandangkan semua negeri tersebut kebetulan merupakan negeri termiskin."

Jika hendak mengharapkan kerajaan sekarang ini, bolehlah dikata bagaikan bermimpi di siang hari, 5% pun kalau boleh ada yang hendak cilok. Adalah sangat tidak patut Negeri Sabah dan Terengganu yang kaya dengan hasil minyak jadi negeri termiskin di Malaysia..

Kami tidak mengharap untuk jadi negeri terkaya tetapi memadailah sekiranya rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan di tempat sendiri dengan gaji yang mampu untuk menyara diri dan keluarga. Tidak perlulah anak-anak Sabah berhijrah beramai-ramai ke Semenanjung seperti yang berlaku pada hari ini demi untuk mencari peluang rezeki yang lebih baik tetapi belum tentu terjamin (apakah jaminan bagi majoriti anak Sabah yang berkerja di kilang?). Kehidupan anak-anak Sabah sekadar untuk hidup sahaja kerana walaupun pendapatan lebih lumayan sekiranya bekerja di semenanjung, wang yang dikumpul bertahun apabila dibawa balik ke Sabah paling lama pun akan bertahan hanya sebulan sahaja. Dengan kos tambang pergi balik sahaja menyamai gaji 2,3 bulan yang diperolehi di semenanjung bagi yang telah berkeluarga. Bukankah perkara ini boleh menjejaskan hubungan dalam institusi kekeluargaan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Memadaikah bagi orang tua di kampung berhubung dengan anak-anak yang jauh di mata dengan hanya menggunakan telefon? Itu pun sekiranya di kampung tersebut ada talian telefon, bagaimana pula mereka yang jauh di pedalaman, jangankan telefon, jalanraya perhubungan untuk ke pekan terdekat pun susah sangat! Payah betul bah mau pigi pakan (pergi pekan)!!

Bagi mereka yang pernah ke Sabah pastinya tahu bagaimanakah keadaannya di sana, betapa jauhnya Sabah tertinggal dari arus pembangunan yang deras memacu ekonomi di semenanjung, dan pastinya anda bersetuju dengan apa yang saya perkatakan ini. Tidak perlu jauh meneroka ke pedalaman, di pinggir bandaraya pun tidak semua tempat memiliki jaringan perhubungan jalanraya yang baik, tidak jauh bezanya dengan keadaan di pedalaman.

Simpati juga saya hulurkan kepada rakyat Terengganu yang mengalami nasib sama tak serupa dengan rakyat Sabah. Sudahlah royalti hanya lima peratus, itu pun hendak dinafikan oleh kerajaan Persekutuan dengan pembayaran wang ehsan kononnya. Saya tidak tahu, siapa yang lebih malang antara Sabah dan Terengganu, tetapi yang pastinya kedua-dua negeri ini memang malang kerana mempunyai hasil bumi yang kurang dinikmati oleh anak-anak negerinya. Perkara ini boleh diumpamakan seperti 'itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan'.

Tuntutan untuk menaikkan royalti minyak ini bukanlah sesuatu yang baru bagi parti-parti politik Sabah. Inilah yang menjadi modal setiap kali pilihanraya tetapi malangnya tidak pernah mendapat jawapan yang menggembirakan dari pihak kerajaan persekutuan.

Dahulu kita dikejutkan dengan berita penahanan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di bawah ISA atas tuduhan hendak membawa Sabah keluar dari Malaysia. Kenapa timbul soal begitu sekiranya Sabah hidup aman makmur di dalam Malaysia. Rakyat mana yang akan berpuas hati sekiranya terasa negeri mereka dijajah, apa bezanya di bawah penjajahan British dahulu, hasil bumi dibawa balik ke England walaupun British mendakwa akan memajukan tanah jajahannya, bandingkan dengan situasi yang berlaku sekarang. Kemanakah perginya hasil bumi Sabah yang kaya itu? Saya tidak sanggup pula andainya wujud Gerakan Sabah Merdeka seperti Gerakan Acheh Merdeka kerana tindakan sebegitu bukanlah jalan penyelesaian yang baik untuk rakyat. Tetapi siapakah dapat menghalang andainya kesedaran membela tanahair semakin membara di jiwa kami anak-anak Sabah andainya jalan diplomatik tertutup rapat pintunya.

Apa-apa pun bagi saya Anak Sabah Anak Malaysia, maju mundur biarlah bersama. Tiadalah namanya Malaysia andai tiada penyertaan Sabah dan Sarawak.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: