Wednesday, April 9, 2008

PRU12 BUKAN TSUNAMI POLITIK!

"Topeng Perak" poji2ya@gmail.com

PRU12
BUKAN TSUNAMI POLITIK!

Bukan tsunami politik. Tetapi lebih merupakan letusan gunung berapi. Saya katakan demikian kerana letusan gunung berapi didahului oleh petanda yang boleh dikesan berdasarkan pemerhatian dan pengamatan biasa. Justeru, amaran selalunya dikeluarkan agar penduduk berhampiran berpindah. Berbeza dengan Tsunami yang hanya dapat dikesan oleh kaedah yang lebih saintifik. Begitulah tamsilan kemerosotan BN pada beberapa negeri dalam PRU12. Kemerosotan dan kekalahan ini sudah dapat ditebak kerana terlalu banyak tanda-tandanya. Luahan rasa kecewa rakyat terhadap kenaikan harga barang yang tidak menentu � gula, tepung, minyak masak, petrol, bawang dan lain-lain naik 'gila-gila'- institusi kehakiman yang tercalar, kadar jenayah yang meresahkan, kadar Tol yang terus naik, keseriusan memerangi rasuah yang 'suam-suam kuku' � adalah 'asap' dan 'lahar' yang menunjukkan akan berlaku 'letusan gunung berapi' di peti undi.

Terlalu banyak bisikan yang tidak didengar, menyebabkan BN terpaksa mendengar jeritan. Mengapa begitu? Apakah bisikan rakyat tidak jelas? Atau 'telinga' BN yang mula hilang kepekaan? Mustahil, suara rakyat di peringkat akar umbi tidak didengari oleh ADUN dan Ahli Parlimen BN yang terpilih pada PRU11, 2004 yang lalu. Apakah suara itu telah disampaikan ke pihak atasan? Jika disampaikan apakah 'orang atas' mendengarnya? Alangkah baiknya bisikan dan rintihan itu didengar sejak dahulu, tidaklah BN terpaksa mendengar jeritan dan bentakan seperti sekarang�

Bukan semata-mata kerana lawannya kuat, tetapi terdapat kelemahan pada diri sendiri. Itu hakikat yang harus disedari oleh BN. Empat tahun yang lalu, BN pada kedudukan selesa. Persempadanan baru pilihan raya, meletakkan pembangkang dalam keadaan 'keliru'. Ditambah pula oleh harapan rakyat kepada PM yang baru masih menggunung tinggi. Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama. Persempadanan baru kawasan pilihan raya sudah mula dibaca oleh pihak lawan. Dan harapan kepada PM mula ditimbang di dacing realiti terkini. BN sepatutnya telah mendengar 'wisel' kecemasan yang telah ditiup rakyat � kamu berubah, atau kami berubah!

Bahaya Rasa Selesa

Ironinya BN terus merasa selesa dengan 'dendangan' palsu para juak yang kononnya setia. Tanpa menyedari bahawa agenda pembangunan walaupun masih relevan tetapi perlu diberi nafas baru. Yang tempang, bukan perancangan, tapi pelaksanaan. Bukan pada capaian bertahap makro tetapi jangkauan menyeluruh ke peringkat mikro. Buruh, pesawah, nelayan tidak memahami erti indeks komposit yang terus melonjak di Bursa Saham utama� tetapi apa yang mereka fikirkan ialah bagaimana harga gula, beras dan tepung untuk dapur keluarga?

Sementara, golongan sederhana di bandar-bandar, tidak lagi inginkan pembangunan yang 'gitu-gitu' sahaja. Sebaliknya mereka inginkan pakej pembangunan baru 'tiga dalam satu' � pembangunan, moral dan keselamatan. Golkar Di Indonesia, Kongres di India, Parti Koumintang di Taiwan dan LDP di Jepun menjadi lemah bukan kerana usia. Tetapi akibat terlalu lama berada dalam zon selesa. Mereka alpa bahawa pemikiran rakyat semakin matang dan meningkat.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: