Monday, April 7, 2008

Pidato perdana pimpinan PR bakal gegar Tasek Gelugor esok 7 April

Mohd Sabri Said
Sun | Apr 06, 08 | 11:52:28 am MYT


TASEK GELUGOR, 6 April (Hrkh) - Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua dalam Parlimen Tasek Gelugor bakal bergegar lagi dan kali ini ia lebih hebat apabila Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dan Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd Fairuz Khairudin dijangka mengadakan pidato perdana bertempat di Dewan Besar Sungai Dua jam 9.00 malam pada 7 April ini.

Semalam buat pertama kalinya dalam sejarah PAS menggunakan dewan tersebut untuk program parti bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Setiausaha PAS Kedah, Saudara Yusuf Husin.

Program pidato perdana yang dijadualkan berlangsung di Stadium Batu Kawan pada peringkat awalnya terpaksa dipindahkan ke dewan berkenaan ekoran kesilapan teknikal.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika mengumumkan program itu berkata, rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama dijemput hadir untuk bersama-sama mendengar amanah yang akan diberikan oleh kepimpinan PAS dan kerajaan negeri pimpinan Lim Guang Eng.

Jelas beliau, sebenarnya program tersebut bukan dirancang sebaliknya kesempatan kedatangan Presiden PAS mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pada hari Selasa pukul 11.00 pagi.

"Sebenarnya program ini bukan dirancang tetapi hasil kunjungan hormat Presiden PAS bertemu Ketua Menteri pada keesokanya. Jadi, PAS Negeri mengambil kesempatan untuk mengadakan pidato perdana untuk memberikan gambaran politik semasa tanah air agar apa yang disuarakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) diketepikan.

Terang Ustaz Saleh seterusnya, pidato perdana ini merupakan pidato pertama setelah Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi parlimen dan menawan lima negeri iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan selangor serta mempertahankan Kelantan dalam pilihan raya umum yang ke-12, 8 Mac lalu. - mns


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: