Wednesday, April 30, 2008

Penipu dari Seberang

"Info Terkini" m_mjj@yahoo.com

Penipu dari Seberang

PUTRAJAYA: Hanya dengan membalas mesej dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan disertai nombor akaun bank, anda berpeluang memperoleh RM14,000!

Lebih menarik lagi, anda antara tiga daripada berjuta pengguna telefon bimbit di negara ini yang dipilih sebagai pemenang melalui peraduan yang didakwa dianjurkan Petronas.

SMS dihantar itu amat mudah iaitu 'TAHNIAH Sim Card anda memenangi Peraduan dari Petronas' for Information sila hubungi Call Centre: 006285888291666 Terima Kasih- +628159740614.

Seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Arifin, dari Bangi, berkata dia terkejut apabila menerima SMS itu awal pagi semalam yang menyatakannya memenangi satu peraduan anjuran Petronas.

"Berikutan sangsi dengan mesej diterima, saya menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera itu melalui bantuan operator telefon.
"Bagaimanapun, saya dinasihatkan operator itu berhati-hati berikutan peraduan itu satu helah semata-mata untuk menipu orang ramai," katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Arifin berkata, dia mengesyaki perbuatan itu penipuan berikutan nombor tertera pada mesej yang diterimanya adalah nombor yang didaftarkan di negara jiran.

"Kalau peraduan itu anjuran Petronas, mengapa nombor telefon bimbit itu menggunakan nombor pendaftaran dari negara berkenaan?" katanya.

Berikutan itu, wartawan Harian Metro menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera dengan bantuan operator telefon dan dimaklumkan nombor yang tertera itu didaftarkan di Indonesia.

Bagaimanapun, untuk mendapat maklumat lanjut mengenai peraduan itu, wartawan Harian Metro meminta supaya operator berkenaan menyambungkan ke nombor telefon bimbit yang tertera pada mesej diperoleh Arifin.

Sebaik disambungkan, wartawan yang menyamar sebagai Arifin bertanya lanjut mengenai peraduan itu.

Ikuti sebahagian perbualan dengan seorang lelaki yang menyambut panggilan itu dan dipercayai warga negara jiran berdasarkan loghat percakapannya.

WARTAWAN: Encik, saya nak tahu pasal SMS yang saya menang peraduan Petronas.

LELAKI: Encik dari mana?

WARTAWAN: Saya dari Kuala Lumpur. Pejabat encik di mana?

LELAKI: Saya di Menara Petronas, KLCC.

WARTAWAN: Jadi, macam mana peraduan ni encik?

LELAKI: Nombor telefon encik dipilih sebagai pemenang peraduan ini dan kami akan memberi encik wang tunai RM14,000. Encik ada akaun bank?

WARTAWAN: Ada. Kenapa?

LELAKI: Encik kena bagi kami nombor akaun bank untuk kami pindahkan wang itu ke dalam akaun encik.

WARTAWAN: Kalau saya bagi nombor akaun, bila saya boleh dapat duit tu?

LELAKI: Petang ni jugak encik boleh dapat.

WARTAWAN: Saya nak tau...ramai lagi tak yang menang?

LELAKI: Ada dua orang lagi. Tiap hari kami pilih tiga pemenang dari Celcom, Maxis, DiGi. Boleh encik bagi nombor akaun sekarang?

WARTAWAN: Saya ada kena bayar apa-apa tak?

LELAKI: Tak perlu. Kami cuma mahu encik bagi nombor akaun bank. Lepas tu kami pindahkan wang RM14,000.

WARTAWAN: Dari mana dapat nombor telefon bimbit saya?

LELAKI: Kan nombor telefon semuanya didaftar. Kami ambil dari situ. Bagi nombor akaun encik?

WARTAWAN: Saya nak tau memang Petronas yang anjur peraduan ini?

LELAKI: Memang Petronas encik. Bagi nombor akaun encik. Lagi cepat, lagi senang encik dapat duit.

Perbualan itu diputuskan apabila wartawan membuat pertanyaan lanjut.

Berita mengenai sindiket yang cuba menipu pengguna telefon bimbit negara ini menerusi SMS yang menyatakan mereka memenangi wang tunai apabila terpilih sebagai pemenang satu peraduan anjuran Petronas, Akademi Fantasia (AF) dan beberapa syarikat lain pernah disiarkan akhbar ini tidak lama dulu.
Sumber : Harian Metro online


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: