Friday, April 18, 2008

"Now or Never" Bagi Anwar Ibrahim

"Topeng Perak" poji2ya@gmail.com

Posted on Thursday, April 17 @ 15:56:07 MYT by SongkokPutih
Artikel Oleh Ibrahim Baba

 IB tidak merujukkan tajuk ini kepada lagu Elvis Presley "It's now or never". Tetapi merujuk kepada satu laporan (akhir tahun lepas sebelum IB pulang ke Tanah Air) seorang journalis muda American Broadcasting Corporation (ABC), Jonathan Greenberger, yang mengulas betapa Senator Barrack Obama mesti melayakkan dirinya untuk menjadi calon Presiden parti Demokrat pada tahun ini. Jika tidak Obama boleh lupakan sahaja impian untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat itu.


Walaupun Greenberger memberi beberapa faktor keluarga dan sebab-sebab yang khusus untuk Obama, namun, bagi senario Tanah Air, Anwar Ibrahim juga MESTI melakukan sesuatu untuk menjadi Perdana Menteri atau mengetuai parti (atau Pakatan Rakyat) yang memerintah kerajaan Malaysia dalam masa terdekat jika tidak - lupakan sahaja cita-cita tersebut. It is now or never.


Kenapa IB meletakkan tempoh yang terdekat untuk Anwar berkuasa? Jika Anwar gagal menumbangkan BN dalam masa yang terdekat, peluang selepas ini mungkin mustahil untuk Anwar.


Namun, jika Anwar dapat melakukan sesuatu untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan dalam masa terdekat, maka UMNO akan bakal berkubur - mungkin selama-lamanya.


Kita maklum bahawa kekuatan UMNO dan seluruh jenteranya adalah berasaskan wang. Dan begitulah juga komponen parti BN yang lain. Tanpa wang mereka akan lemah dan tidak mampu bergerak lagi.


Kita juga maklum bahawa sumber kewangan yang menjadi asas untuk segala jentera parti mereka adalah dari penyelewengan dana dan jentera kerajaan. Pelbagai peruntukan untuk rakyat dan pembangunan negara banyak diserapkan ke dalam jentera parti dan poket para pemimpin mereka. Pelbagai program dilaksanakan untuk memberi nama kepada "projek Barisan Nasional". Jentera pentadbiran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan parti dan para pemimpin mereka.


Satu lagi sumber yang diperolehi mereka ialah dari syarikat-syarikat swasta yang menumpang selagi mereka berkuasa. Kita sudah lihat banyak tokoh-tokoh korporat bertukar kem bila kepimpinan parti bertukar. Mana-mana tokoh yang tersilap "kuda", mereka akan tersungkur bila "kuda" lain yang berkuasa.


Cuba bayangkan senario di mana UMNO dan BN tidak berkuasa. Dari manakah sumber yang boleh diperolehi untuk menggerakkan jentera mereka? Apakah mungkin penyokong dan ahli di bawah bersedia untuk berkhidmat tanpa mendapat "pelincir"?


Anwar mesti bertindak segera untuk memutuskan "saluran nyawa UMNO" (akses kepada dana kerajaan tanpa batas) supaya tiada lagi daya untuk UMNO bergerak. Ahli-ahli serta pemimpin mereka hanya setia kepada "wang".


Oleh itu, jika BN dan UMNO tumbang, mereka akan terus berkubur.


Tetapi apa kenanya dengan perlunya Anwar berkuasa sekarang. Kenapa Now or Never?


Kita maklum kesemua parti utama BN sedang bergolak. Tunjang BN ialah UMNO. UMNO adalah antara yang paling teruk bergolak [walaupun prestasi UMNO dalam PRU2008 adalah lebih baik dari PRU1999] . Isu utama pergolakkan dalam UMNO sekarang tertumpu kepada penerimaan ahli terhadap kepimpinan Pak Lah. [walaupun ada banyak lagi isu lain]


Jika dalam masa terdekat masalah ini dapat diselesaikan, sebahagian besar masalah pergolakkan dalam UMNO akan dapat diselesaikan. Orang-orang UMNO mudah lupa.


Dengan kepimpinan baru di bawah Najib [jika Ku Li tidak sempat merampas kuasa] nanti, sebahagian besar rakyat UMNO akan kembali padu di belakang pepimpin baru mereka (Najib, Ku Li atau sesiapapun). Maka kemelut yang berlaku dalam UMNO boleh reda dengan cepat apabila percaturan kepimpinan UMNO selesai dan disepakati dan ahli di"pelincir" kan.


Apabila kestabilan parti diperolehi, jentera diperkemaskan, dana kewangan yang tiada had boleh dibelanjakan, rakyat mula diulikkan kembali dan segala pentadbiran boleh berjalan baik (tidak seperti sekarang), IB yakin jika PRU berikut diadakan, BN mampu menawan kembali sebahagian besar kekalahan yang telah dialami dalam PRU2008 (walapun tidak sebaik PRU2004).


Kita masih ingat kemarahan rakyat kepada Mahathir. Apabila Pak Lah mengambil alih, rakyat rasa puashati bila Mahathir akhirnya berundur. Rakyat diulik dengan pelbagai kempen manis dan agenda "baru" Pak Lah. Dan kita sedia maklum, rakyat memberi mandat besar kepada BN dalam PRU2004.


Jika ini berlaku sekali lagi sebelum sempat Anwar menukar senario politik negara, Anwar boleh lupakan hasratnya menjadi Perdana Menteri untuk selama-lamanya.


Anwar, It is now or never!


Sekian, IB


[maaf kerana posting ini agak sedikit panjangnya dari yang biasa IB cuba kekalkan]

....
http://ibrahimbaba. wordpress. com/2008/ 04/16/now- or-never- bagi-anwar- ibrahim/



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: