Wednesday, April 16, 2008

Mufti Perlis: Hentikan Islam Hadhari! / Pulau Pinang akan bantu SAR

(Pimpinan PR, PAStikan Rakyat DAPat KeAdilan!)
(Rakyat, Teruskan Lonjakkan Minda!)

husammusa.com

Mufti Perlis: Hentikan Islam Hadhari!
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin lantang menegur agar Islam Hadhari dihentikan segera. Beliau sifatkan jenama Islam Hadhari sebagai salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional baru-baru ini.

"Saya sudah banyak kali menegur tentang Islam Hadhari sebelum ini tetapi kurang mendapat perhatian," kata beliau yang menyuarakan ketidakpuasan hati di dalam ruangan Pena Mufti semalam di bawah tajuk...'Jika pemerintah bertaubat dengan taubat nasuha'.

Artikel beliau yang disiarkan di dalam akhbar perdana semalam mendapat banyak reaksi dari beberapa pihak di mana rata-rata menyokong keberanian beliau menegur kepimpinan dan isu politik yang sedang berantakan dewasa ini.

"Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan.

"Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah."

Dr Asri turut memetik satu rangkap di dalam artikel beliau semalam yang jelas memperkatakan isu pasca politik yang 'bercelaru' sekarang.

"Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana.

"Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”. (Surah al-Anfal: 33).

Kata Dr Asri, "Ramai yang tidak berani berterus terang tentang isu 'Islam Hadhari' ini. Ini adalah kewajipan saya."

Menurutnya, istilah atau jenama 'Islam Hadhari' itu menakutkan orang kampung.

"Ada yang berfikiran ia satu agama baru sedangkan itu tidak benar. Ada juga yang keliru mengatakan pakaian separuh bogel adalah fahaman dari Islam Hadhari. Jadi saya syor hentikan saja uar-uar pasal Islam Hadhari kerana ia mengelirukan. '

Katanya, hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas.

"Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka.

"Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai," kata tokoh agama yang berfikiran kritis ini.

Katanya lagi, "Apa yang berlaku dalam politik hari ini adalah dosa-dosa semalam yang terpaksa dipikul oleh kepimpinan hari ini dicampur dengan kelemahan yang ada. Janganlah orang semalam hanya pandai menuding juri kepada pemimpin hari ini seolah-olah mereka begitu bersih.

"Keadaan yang teruk ini adalah dosa warisan dan semasa. Apa yang kita bimbang jika kita merebahkan pemerintah yang lemah tiba-tiba diganti dengan yang lebih buruk hati budinya," kata Dr Asri.

//tranungkite. net

artikel asal: http://www.drmaza. com/?p=232




Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bantu SAR
Mohd Sabri Said
Mon | Apr 14, 08 | 7:21:51 am MYT
TASEK GELUGOR, 14 April (Hrkh) - Bagi memartabatkan Islam di samping menjamin kesucian Islam berkembang maju Kerajaan Pulau Pinang berhasrat membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri yang dinafikan hak perkapita oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) beberapa tahun lalu.

ImageTimbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohd Fairuz Khairudin dalam kenyataannya selepas berucap di majlis Pidato Perdana di Dewan Besar Sungai Dua baru-baru ini menambah, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan kata putus akan dibuat dalam masa terdekat.

Namun beliau tidak memberitahu jumlah yang bakal disalurkan dan sekolah mana yang akan menerima bantuan berkapita terawal sejurus ianya ditarik balik oleh kerajaan BN di era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Siapa kata Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengabaikan tanggungjawab terhadap Islam. Sejak dua minggu memerintah kita telah memberikan bantuan elaun tambahan sebayak RM863 ribu melibatkan 1, 450 orang guru dan 11 penyelia Kelas Fardhu Ain (KAFA). Tidak lama lagi sumbangan kapita akan disalurkan semula pada SAR. Itupun bergantung pada ekonomi negeri, " tegasnya.

Beliau kesal masih terdengar kata-kata kesat kononnya beliau hanya Timbalan Ketua Menteri boneka yang diguna pakai oleh kerajaan pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk berhadapan dengan masyarakat Melayu.

Ujar beliau seterusnya, semua kenyataan itu bernada kecewa daripada bekas kepimpinan Umno atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tewas dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Rakyat jangan terpengaruh dengan kenyataan sebegitu sebaliknya mendengar daripada saluran maklumat yang betul, " katanya yang juga Adun Penanti, Bukit Mertajam.

Penyerahan bantuan itu kelak sekali lagi menghakis 'kenyataan basi' Umno terhadap barisan kepimpinan yang sedang memerintah pulau yang bergelar Mutiara Timur.

Justeru itu, beliau berharap rakyat terutamanya masyarakat Islam jangan sangsi dengan pemerintahan sekarang kerana ianya diperintah oleh kepimpinan yang membenci rasuah, anti korupsi dan tidak mengamalkan kroni dalam sesuatu projek yang dimiliki kerajaan.

"Masyarakat Islam di Pulau Pinang kena bekerja kuat membantu kerajaan negeri yang sedang dan akan melakar beberapa tindakan yang dianggap pelik untuk rakyat kerana selama ini semuanya melabelkan kerajaan BN kuat rasuah dan menindas, " tambahnya.

Berucap sama dalam program anjuran PAS Negeri Pulau Pinang itu ialah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu, Exco Kerajaan Negeri, Haji Malek Kasim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - mks.



HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: