Friday, April 18, 2008

Melayu Tidak, Umno Yang Tercabar

"SHAHZADAH SHAMSHEALAM" shahzadah.s@ych.com

Melayu Tidak, Umno Yang Tercabar

Malaysiakini. com

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu ketuanan Melayu semakin dimainkan oleh Umno bagi mengalih perhatian umum daripada masalah dalaman ekoran prestasi buruknya dalam pilihanraya umum lalu.


Beliau, yang juga mantan timbalan presiden Umno, menegaskan demikian ketika ditanya mengenai berita muka depan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Ketuanan Melayu tercabar’ hari ini.


Ketika bertitah dalam Perhimpunan Perpaduan Melayu semalam, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail berkata, tidak wajar bagi kaum bukan Melayu yang mendapat kerakyatan, menuntut persamaan hak dan keistimewaan yang sama dengan orang Melayu.


“Kita tidak mendengar mengenai isu (hak Melayu) ini bulan lalu atau sebelum pilihanraya umum. Saya percaya niat mereka adalah untuk mengalih pandangan umum,” kata Anwar.


Katanya, apa yang lebih penting ialah memperjuangkan ‘ketuanan rakyat’.


“Dan apabila kita sebut ‘rakyat’, ia termasuklah orang Melayu… terutama yang yang tertindas dan bukannya yang kaya,” kata Anwar, yang juga bekas menteri kewangan.


“Pendekatan kita seharusnya untuk membantu rakyat yang dipinggirkan, yang dinafikan peluang dan hak mereka. Oleh itu, ia termasuklah orang Melayu, Cina, India dan rakyat Malaysia yang lain,” katanya.


Anwar berkata, beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat akan terbukti lebih berkesan dalam membantu rakyat, berbanding dengan Umno ataupun BN sebelum ini.


Jawab kritikan Dr M

Mengulas mengenai kritikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan beliau dengan Yahudi, Anwar menolak dakwaan itu sebagai “tidak masuk akal”.


Bercakap kepada pemberita pada forum kepimpinan Melayu di Kajang semalam, Dr Mahathir berkata hanya orang Israel yang akan mengundi Anwar jika beliau mahukan jawatan Perdana Menteri.


“Beliau (Dr Mahathir) nampaknya semakin letih dan keliru. Saya tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel, tetapi beliau ada berjumpa… secara diam-diam, ketika beliau menjadi perdana menteri,” katanya.


Anwar berkata, Dr Mahathir berurusan dengan pihak Yahudi, membabitkan AS$1.2 juta yang didakwa telah dibayar kepada pelobi Amerika Syarikat, Abramoff untuk mengatur pertemuan beliau (Dr Mahathir) dengan presiden negara kuasa besar itu George W Bush pada 2002.


Anwar menasihati Dr Mahathir supaya memberikan tumpuan menjaga kesihatan dirinya dan memohon maaf kepada rakyat atas kezaliman yang telah dilakukannya.


Dr Mahathir juga, tambah Anwar, perlu menjelaskan tentang bagaimana beliau telah memusnahkan badan kehakiman, mengawal media, bagaimana beliau menahan beratus-ratus orang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk ketika Operasi Lalang 1987.


Di samping itu, katanya, Dr Mahathir juga perlu menjelaskan pembabitannya dalam pelbagai amalan rasuah, salah urus, mencuri dana kerajaan melalui banyak syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian seperti Perwaja Steel.


“Saya fikir lebih baik beliau menjawab isu-isu berkenaan,” tegas Anwar.


Hadiri perhimpunan esok

Mengenai desakan Dr Mahathir supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur, Anwar berkata:


“Sejak dulu lagi saya tidak pernah mengambil serius pandangan Dr Mahathir.”


“Sudah tentulah perdana menteri tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab terhadap kekalahan BN, tetapi beliau mengetuai kempen pilihanraya bersama dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata Anwar.


“Najib yang menerajui kempen dan Abdullah adalah perdana menteri, jadi kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk mereka,” katanya.


Mengenai rancangannya untuk bertanding kerusi parlimen, Anwar sekali lagi berkata, ia tidak penting sekarang kerana beliau mahu menumpukan kepada usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat.


“Kerjaya (politik) peribadi saya bukan satu keutamaan kerana saya masih ada masa,” tambahnya.


Ditanya mengenai pelan peralihan kuasa Abdullah kepada timbalannya, Anwar berkata:


“Umno dan parti-parti komponen utama (BN) dalam keadaan huru-hara sekarang. Pilihan terbaik untuk mereka ialah menyertai Pakatan Rakyat.”


Tai Ci Master


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: