Monday, April 7, 2008

MB Selangor nafi kosongkan Parlimen Bandar Tun Razak untuk Anwar

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Oleh Bernama
Ahad, 06 April 2008


KL: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Katanya adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang perkara berkenaan kerana penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya dan sekiranya Anwar membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, beliau boleh bertanding di mana-mana 31 kawasan Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum bulan lepas.

Daripada segi undang-undang, Anwar boleh kembali aktif dalam politik mulai 15 April ini, setelah berakhirnya tempoh larangan selama lima tahun bagi beliau untuk berbuat demikian berikutan pensabitan kesalahannya dalam kes rasuah.

Bagaimanapun peraturan pilihan raya menetapkan bahawa pilihan raya kecil hanya boleh diadakan enam bulan selepas tarikh sesuatu pilihan raya sebelumnya.

"Adalah menjadi hak beliau untuk membuat keputusan bila dan di mana beliau hendak bertanding. Bagi (Parti) Keadilan (Rakyat), kami ada 31 kerusi.

"Bagaimanapun, sekarang saya tak mahu buat sebarang spekulasi kerana kami tak mahu menyusahkan sesiapa, termasuk penentang kami, supaya membuat persiapan yang tidak diperlukan," kata Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok, kepada pemberita apabila diminta mengulas spekulasi tentang perkara itu selepas menghadiri majlis jamuan bersama pengundi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di sini.

Khalid berkata PKR sedang mengambil langkah cukup berhati-hati, termasuk menganalisis keadaan di peringkat akar umbi serta faktor masa sebelum mengambil tindakan yang boleh membawa kepada diadakan pilihan raya kecil.

"Kami amat berhati-hati tentang masa dan keperluannya. Kami mahu memastikan keperluan diadakan pilihan raya kecil dan kemampuan kami untuk memenanginya, " kata beliau.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga isteri Anwar berkata suami beliau tidak tergesa-gesa untuk bertanding pada pilihan raya kecil.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: