Thursday, April 10, 2008

Lagi Kisah Ladang Ternakan Babi Di Selangor

"Eddy Izwan Musa" eddy.izwan@yahoo.com

Lagi Kisah Ladang Ternakan Babi Di Selangor
Oleh: Anak Bapa- Laman M@RHAEN



Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pengunjung blog saya di atas segala komen dan nasihat mereka. Hari ini begitu ramai yang terpanggil untuk menulis sesuatu kerana topiknya yang agak panas dan kontroversial.

Sememangnya diakui bahawa isu babi adalah perkara yang amat sensitif kepada umat Islam. Dan PAS sebagai salah satu daripada komponen Pakatan Rakyat tentu tidak akan membuta tuli menyokong projek ini jika ia bercanggah dengan agama atau membawa musibah kepada rakyat. Sebahagian besar yang memberi komen terdiri dari mereka-mereka yang faham isu sebenar di sebalik penerimaan projek ini manakala selebihnya menolak atas dasar kekeliruan atau sememangnya penyangak siber UMNO.

Isu di sini bukan cerita buat ladang supaya orang Islam mudah dapat makan daging babi. Ia berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan di dalam menjaga kebajikan rakyat. Ada di kalangan rakyat yang memerlukan makanan ini sementara ada juga rakyat yang mahu alam sekitar dan air dijaga supaya tidak berlaku pencemaran. Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang mesra rakyat (bukan macam UMNO dan BN) untuk mencari jalan yang dapat memuaskan semua pihak. Dan sebagaimana yang saya nyatakan di dalam tulisan saya sebelum ini bahawa kedapatan satu teknologi yang amat bersih dan moden yang berupaya menyelesaikan permasaalahan yang dah bertahun-tahun mengugat kehidupan kita. Persoalannya, adakah kita tolak mentah-mentah begitu saja peluang ini sedangkan isu sebenar berkaitan pencemaran terus menerus berlaku? Walaupun projek ini diluluskan oleh kerajaan Khir Toyo (walaupun dinafikannya, kita ada bukti bertulis) kita tetap menyokongnya kerana manfaatnya jauh mengatasi keburukannya.

Tuduhan daripada sesetengah pihak bahawa PAS sanggup mengadai prinsip kerana nakkan sokongan adalah tidak berasas. Sokongan apa lagi kerana kita telah pun menerima sokongan. Kalau tidak masakan kita boleh bersama PKR dan DAP memerintah 5 negeri! Lagipun tunjukkan pada saya dalil yang menyatakan bahawa membina ladang ternakan babi yang bersih daripada pencemaran demi memenuhi kehendak rakyat bukan Islam di dalam negara adalah haram. Jikalau ada saya yakin Tok Guru Nik Aziz akan terlebih dulu memberi komen kerana di Kelantan pun kerajaan negeri membenarkan ladang penternakan babi.

Seperkara lagi, ingin saya maklumkan di sini bahawa antara syarat kelulusan projek ini ialah semua para penternak babi di Selangor akan memindahkan babi-babi mereka ke pusat ternakan ini. Perkara ini telah dirundingkan dan sepakat dipersetujui oleh semua penternak kerana pertama kos mereka lebih rendah dan kedua kerana ia bersih dan mesra alam. Tentang cadangan supaya dibuat ladang ternakan di depan rumah saya dan sebagainya itu ide kebudak-budakkan. Mereka mungkin tak tahu bahawa kawasan-kawasan pembangunan digazetkan mengikut kegunaan seperti kawasan kilang, kawasan perumahan, kawasan perdagangan dan juga kawasan ladang dan ternakan. Takkan pula ladang ternakan dibina pula di kawasan perumahan. Mungkin semasa pemerintahan UMNO dan BN mereka buat begitu.

Saya menyokong projek ini dan meminta kerajaan PR di Selangor meneruskan lagi agenda mesra rakyat mereka. Mulai bulan Jun nanti kita akan mendapat 20 meter padu air percuma setiap bulan. Dan hari ini mesyuarat EXCO telah bersetuju supaya segala saman rakyat yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dihapuskan dan jika ada kes mahkamah supaya ditarik balik untuk tujuan rundingan luar mahkamah. Syabas PR!

Anak Bapa: Sebagai seorang jurutera, saya sangat yakin dengan keberkesanan projek ini selepas mengkajinya dengan terperinci. Jika tak ada tempat lain lagi untuk melaksanakannya, saya rela dibuat di belakang rumah saya. Ini kerana saya yakin dengan teknologinya dan dalam masa yang sama dapat membantu kerajaan PR di dalam menjalankan amanah mereka. Dengan izin Allah tidak akan kurang Islam saya jika saya berbuat demikian.

TUMBANGKAN BN!
MENANGKAN PAKATAN RAKYAT (PAS, PKR, DAP etc.) - Alhamdulillah. .. sebahagian sudah tercapai
dan ke mana menghilangnya kawan kita si RaSHIT?

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: