Tuesday, April 29, 2008

Juruaudit Balkis nafi terlibat RM9.9 juta

"Topeng Perak" poji2ya@gmail.com

Apr 28, 08 7:11pm Juruaudit luar Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) menafikan firma itu pernah dirujuk sebelum pemindahan wang RM9.9 juta seperti dilaporkan.

Akauntan bertauliah Yee Choon Kong & Co berkata yang dipertuanya Zahrah Kechik dan suaminya, yang juga bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo atau sebarang ahli Balkis tidak pernah merujuk firma itu seperti didakwa dalam laporan The Star hari ini.

"Ia juga dapat dibuktikan dengan kenyataan Dr Mohamad Khir seperti dilaporkan oleh New Straits Times bahawa 'tidak perlu merujuk atau memaklumkan kepada juruaudit Balkis sebelum badan kebajikan itu dibubarkan dan dananya dipindahkan," kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, firma itu beberapa kali menghubungi bendahari Balkis, Suraimi Sapuan, agar beliau menyerahkan rekod-rekod kewangan seperti penyata bank, buku resit rasmi, baucer pembayaran, dokumen sokongan, resit deposit tetap, minit mesyuarat, butiran keahlian dan senarai langganan untuk membolehkannya mengaudit kewangan tahunan Balkis bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 1997.

"Panggilan telefon kepada bendahari (Balkis) tidak dijawab pada tarikh tersebut dan mengesahkan bahawa penyata kewangan Balkis masih kekal tanpa audit dan saya juga tidak pernah mengeluarkan Laporan Audit yang sah berhubung urusan kewangan Balkis bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 kepada anggota-anggotanya dan tidak pernah pula saya 'mengesahkan akaun tersebut sebelum dana itu dipindahkan' seperti laporan New Straits Times," kata pemilik firma itu Yee Choon Kong.

Zaharah, yang memimpin Balkis atas sifatnya isteri menteri besar Selangor sebelum pilihanraya umum 8 Mac, dilaporkan cuba membubarkan badan itu pada 11 Mac dan menubuhkan sebuah badan lain, nama dicadangkan antaranya "Balkis-BN".

Balkis juga dilaporkan memindahkan wang RM9.9 juta kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) selepas akaunnya ditutup sehari selepas mesyuarat tergemparnya itu.

Khamis lalu, menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis," katanya dalam satu kenyataan.

Selain Zaharah dan Surami, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua dan Pon Ishak (setiausaha) .

Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.

Mempertahankan tindakannya semalam, Zaharah dilaporkan berkata semuanya itu dilakukan "mengikut perlembagaan dan peraturan Balkis".

Dalam sidang akhbar, Zahrah berkata sebelum seorang isteri menteri besar dilantik menjadi yang dipertua badan itu, ia hendaklah disahkan oleh satu mesyuarat agung.

"Ini bermakna saya masih memegang jawatan yang dipertua pada ketika itu dan saya juga masih belum meletakkan jawatan yang dipertua.

"Oleh itu tidak timbul saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat agung yang dipanggil untuk tujuan pembubaran Balkis," beliau dipetik sebagai berkata.

Pada waktu isteri memanggil mesyuarat tersebut, Abdul Khalid belum mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Selangor. Beliau mengangkat sumpah pada 13 Mac.

Zaharah berkata badan itu dibubarkan dengan sokongan lebih daripada dua pertiga ahli.

Yee juga menyatakan firmanya satu-satunya juruaudit bertauliah yang dilantik oleh Balkis pada 30 Jun tahun lalu dan tidak tahu-menahu jika ada juruaudit lain yang dilantik bagi menggantikan firmanya.

Yee juga berkata, jika wujud penggantian juruaudit, firmanya harus dimaklumkan oleh firma baru itu kepadanya seperti disyaratkan oleh peraturan kecil bidang profesional itu.

"Setakat tanggal itu, kami tidak menerima sebarang pertanyaan daripada sebarang firma audit yang baru," katanya lagi.

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: