Sunday, April 6, 2008

Jawatan Speaker Dewan Rakyat, pembangkang wajar diberi peluang

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata jawatan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat di kalangan pembangkang perlu kerana sekurang-kurangnya perbezaan pendapat dan hasrat pihak pembangkang dapat disampaikan.


Katanya, berdasarkan pengalamannya menjadi Ahli Parlimen sejak 1982, beliau melihat sepanjang perdebatan di Dewan Rakyat, pihak pembangkang seringkali diketepikan terutama sewaktu mengemukakan usul tergempar.


Beliau berkata demikian sebagai respons Pakatan Rakyat mengemukakan calon bagi melantik Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang DiPertua di kalangan Pakatan Rakyat.


"Seringkali apabila unsur tergempar dikemukakan pembangkang dan pihak kerajaan menganggap suatu perkara mungkin tidak sesuai dibentangkan, mereka akan menolak. Jadi pihak speaker akan mengikut kehendak kerajaan.


"Apa yang penting adalah seseorang speaker mestilah bersikap berkecuali dalam menjalankan tugas. Beliau juga harus memelihara kehormatan negara. Jika sesuatu perkara dibangkitkan dan akan membawa mudarat kepada negara serta menyinggung sesuatu kaum, beliau mesti mengelak dan menolak perkara tersebut sama ada usul tersebut datang daripada pihak kerajaan atau pembangkang, " katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.


Beliau memberi contoh tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang dilihat menyiarkan sebuah filem yang menghina agama, seorang speaker tidak harus membenarkan perkara tersebut berlaku.


Mengenai cadangan Pakatan Rakyat yang mengemukakan namanya sebagai salah seoarang calon Yang DiPertua Dewan Rakyat, katanya beliau akan mengikut kehendak majoriti berhubung cadangan tersebut.


Tambahnya bagi pelantikan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, proses tersebut harus diikuti secara demokrasi. Selain perlu mendapat persetujuan serta sokongan 88 orang Ahli Parlimen di kalangan Pakatan Rakyat, pelantikan tersebut juga harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen di kalangan pihak kerajaan bagi mendapat sokongan majoriti. - mks.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: