Monday, April 14, 2008

Hutang oh Hutang

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Posted on Saturday, April 12 @ 23:45:50 MYT by SongkokPutih
Coretan @ Luahan Oleh Wamad

"
 Saya berasa amat kecewa dengan pentadbiran Yayasan Negeri Terengganu sekarang ini terutama setelah memasuki penggal kedua kerajaan negeri diterajui oleh BN. Saya telah mengambil hutang dengan Yayasan Terengganu untuk pendidikan di peringkat Sarjana Muda di Universiti Malaya beberapa tahun lalu. Alhamdulillah saya memperolehi CGPA 3 pointer semasa tamat pengajian saya di dalam bidang Teknologi Maklumat (Pengurusan) itu atau dengan ukuran lain dicatatkan Second Upper.


Pertama adalah disesalkan bahawa dengan keputusan sedemikian, tidak ada sebarang potongan diberikan terhadap jumlah hutang yang perlu dibayar balik. Perkara ini jelas berbeza dengan intitusi pemberi pinjaman lain seperti MARA atau JPA yang terdapat antaranya diberikan potongan sehingga 75% dan 100%.

Setelah PRU ke 11 pada 21 Mac 2004 yang menyaksikan pertukaran kerajaan negeri kepada BN, maka saya adalah salah seorang dari 9 TCS yang ditarik balik jawatan. Serta merta saya menjadi penganggur di negeri Terengganu yang digemburkan sebagai 'membangun' dengan pesatnya. Justeru itu juga maka terpaksalah saya memohon kepada Yayasan untuk membayar balik hutang tersebut dengan kadar RM50 sahaja sebulan. Syukur Alhamdulillah, saya dibenarkan membayar dengan jumlah tersebut.

Setelah peristiwa penarikan balik kerja oleh kerajaan BN Terengganu yang menurut sumber mengatakan diarahkan oleh MB sendiri pada ketika itu. Maka susahlah saya hendak mendapat pekerjaan. Alhamdulillah mudah bagi saya menerima surat/panggilan temuduga. Tetapi sukar melepaskan tapisan semasa temuduga terutama berkait pengalaman kerja yang berakhir dengan penarikan balik jawatan TCS pada 2004. Sehingga ada seorang penemuduga di sebuah institusi/badan gomen terus menjawab spontannya (lebih kurang bunyinya) "kuat sangat pembangkang kut". Saya seolah-olah dilabelkan pembangkang yang tidak ada peluang untuk diterima bekerja lagi dengan mereka.

Saya ada melaporkan kes tersebut di dalam WarkahUntukPM. com.my yang dibuka sebelum PRU12 baru-baru ini, namun sekadar menerim maklumbalas bahawa laporan itu akan diteliti. Sampai kini, tidak nampak apa-apa hasil pun. (tipu lagi ke?)

Kini, setelah melakukan beberapa perkara untuk mencari rezki, saya menumpang di Subang Jaya, Selangor yang elit dan serba mahal. Ini berikutan isteri saya bertugas di sekitar sini. Dan saya kini cuma mengambil upah mengajar mengaji Quran, tajwid, fardu ain, jawi dan pendidikan Islam. Pendapatan yang diperolehi tidak tetap bergantung kepada jumlah mengajar. Lebih sempit lagi apabila musim cuti panjang, yang kebanyakan anak murid mungkin bercuti samada dalam atau luar negara. Pendek kata hidup saya di sini ibarat kais sebulan makan sebulan. Alhamdulillah, kadang-kadang ada insan menghulurkan bantuan seperti adik-beradik, ibubapa, mertua dan lain-lain lagi. Hanya Allah yang membalas jasa baik mereka dengan sebesar-besar kebaikan.

Kedua sesalan timbul lagi apabila baru-baru ini pihak Yayasan menghantar surat menaikkan kadar bayaran balik. Saya merasa tersempit dengan kenaikan tersebut. Yang saya ingat, Allah ada berfirman yang menggalakkan pemberi hutang tatkala melihat keadaan si penghutang berada di dalam kesusahan untuk membayar hutang, sedekahkanlah hutang itu kerana itu adalah lebih baik bagi si pemberi hutang. Namun jelas di sini konsep At-Ta`awun (tolong menolong) belum mengambil tempat sepenuhnya di dalam sistem pergaulan dan ekonomi masyarakat kita yang dilabelkan Islam hadhari Terengganu bestari.

Saya merayu kepada yayasan untuk mengekalkan kadar bayaran balik hutang saya pada tahap RM50 sebulan kerana itulah yang saya rasakan mampu setakat ini, namun inilah balasan mereka: (dilampirkan salinan)

> Date: Mon, 7 Apr 2008 12:51:24 +0800
> Subject: Re: kenaikkan kadar bayaran
>
>
> Untuk makluman tuan, dukacita rayuan tuan untuk mengekalkan bayaran pinjaman sebanyak RM 50.00 tidak dapat dipertimbangkan. Justeru itu,Lembaga dengan budi bicaranya bersetuju menaikkan kadar bayaran tuan dari RM 50.00 kepada RM 100.00 sebulan mulai April 2008 memandangkan bayaran RM 50.00 sebulan telah lama diberi. Ini kerana baki pinjaman tuan masih berbaki sebanyak RM 8,925.00 dan tuan telah lama dikuatkuasakan tuntutan bayaran. Terima kasih.

> > ------------ --------- --------- ---

Nampak sangat macam menindas golongan tidak berkemampuan, saya memang ingin melangsaikan hutang tersebut, tetapi buat masa kini, saya rasa saya hanya mampu membayar dengan kadar RM50 sahaja sebulan. Kalau ditakdirkan Allah saya berubah jadi jutawan atau hartawan, insyaAllah saya akan melangsaikan semua hutang secepat mungkin.

Namun, pihak yayasan di bawah MB baru negeri Terengganu pun tidak mengerti keluhan dan penderitaan rakyat, bahkan sanggup menindas dengan lebih teruk lagi. Sekian, wallahua`lam.

"

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: