Saturday, April 19, 2008

Eksklusif: Parti-parti lawan diperalatkan lagi 'demi kepentingan Melayu'?

"Topeng Perak" poji2ya@gmail.com


Cetak E-mail
Oleh Rustam A. Sani
Jumaat, 18 April 2008

SEWAKTU membaca berita tentang inisiatif untuk mengadakan perbincangan di kalangan "parti-parti Melayu" bagi membincangkan isu-isu perpaduan dan kepentingan Melayu baru-baru ini, entah kerana apa saya sedikitpun tidak merasa terperanjat.


Malah saya memang telah menjangkakan hal yang demikian akan berlaku, memandangkan bahawa telah menjadi suatu pola perlakuan politik di negara ini kini untuk Umno akan mengambil inisiatif (malah berusaha keras) untuk memujuk parti-parti dominan Melayu lainnya supaya bekerjasama bagi "menyelamatkan bangsa Melayu."


Jelaslah, Umno biasanya akan memperalatkan isu "kepentingan Melayu" apabila parti itu menghadapi kemerosotan sokongan – dan untuk itu parti itu atau tokoh-tokoh tertentu parti itu akan sanggup merayu parti-parti lain yang dalam keadaan biasa akan dikutuk, dihina dan dicercanya.


Yang mengambil inisiatif melakukan risikan (overtures) demikian kali ini adalah Norza Zakaria, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno. Dan jika laporan dalam NST boleh dipercayai, beliau tampaknya telah berjaya memancing reaksi yang agak positif dari dua tokoh PAS dan PKR.


Khabarnya, mereka bertiga akan mulai mengadakan perbincangan secara tidak rasmi minggu ini juga.


Saya tidaklah begitu mengenali Norza Zakaria. Sepanjang pengetahuan saya, beliau sejak lama telah memainkan peranan sebagai "pengiring" (atau sidekick) Khairy Jamaluddin.


Dalam kemelut perebutan jawatan yang kini sedang bergelora dalam Pergerakan Pemuda Umno, Norza telah memperlihatkan minatnya untuk menawarkan diri menjadi calon Ketua – sehingga dia baru-baru ini telah menyebarkan bahan kempen dan puisi (ciptaannya? ) kepada bahagian-bahagian parti itu.


Tindak tanduk Norza dalam memperalatkan parti-parti lawan dan gagasan "kepentingan" Melayu ini amat mengingatkan saya akan tindak tanduk Dr Mahathir sekitar tahun 1999-2000 – ketika Umno mengalami pukulan teruk dalam PRU-10 dan Dr Mahathir berusaha memulihkan sokongan terhadap dirinya di kalangan orang Melayu.


Malah puncak kejayaan Dr Mahathir menjebak kerjasama pimpinan PAS – lewat suatu perhimpunan bersama tentang Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka – mempunyai dimensi politik antarabangsa dan hubungan dengan kuasa besar (yakni pertemuan Dr Mahathir dengan Bush yang telah diatur melalui perantara dengan sogokan berjumlah berjuta dolar).


Pada waktu itu, kerana yang kuat hanyalah PAS sedangkan kekuatan PKR dipandang remeh oleh Dr Mahathir, maka hanya PAS yang telah menjadi sasaran overture Umno. Para pemimpin PKR yang menghadiri perhimpunan di DBP itu malah telah diletakkan di suatu pojok yang hampir tidak dipedulikan Dr Mahathir.


Tetapi kini, kerana PKR ternyata lebih kuat berbanding dulu, maka inisiatif Norza itu telah melibatkan PKR pula – malah melibatkan seorang tokoh besarnya, Naib Presiden Azmin Ali.


Risikan Mahathir pada tahun 1999-2000 itu sebenarnya bukanlah risikan terakhir. Telah bertiup kabar-kabar angin bahawa overtures yang sama terhadap PAS telah berlaku sebelum berlangsungnya PRU-12 baru-baru ini.


Malah selepas PRU-12 berakhir, dikatakan memang ada percubaan oleh beberapa pemimpin Umno yang penasaran untuk memikat, menggoda, malah menjebak PAS untuk menyertai Umno dalam membentuk kerajaan campuran di beberapa negeri – dan kononnya pula memang ada tokoh PAS yang dikatakan sudah hampir tergoda.


Oleh kerana pengalaman PAS yang lebih banyak dari segi "digoda" Umno ini, maka memang terdapat beberapa pemimpin PAS yang sering dianggap umum sebagai lebih cenderung untuk tergoda. Dikatakan juga bahawa mungkin sikap Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, yang tegas lagi konsisten dalam hal ini yang telah "menyelamatkan" PAS daripada terjerumus.


Berdasarkan hakikat ini, maka saya tidaklah terperanjat jika di kalangan para pemimpin PAS terdapat beberapa tokoh yang akan menjadi sasaran overtures para pemimpin Umno yang ingin memperalatkan isu kepentingan Melayu itu. Saya juga tidak akan terperanjat jika tokoh-tokoh tersebut akan senantiasa memberikan tindakbalas yang positif terhadap risikan dan bujukan Umno itu.


Namun demikian, sebagai "dara" yang pertama kali coba digoda – sedangkan selama ini dicerca dan dihina – respons yang sama positifnya dari kalangan pemimpin PKR terhadap godaan Umno ini bagi saya amatlah memeranjatkan – malah amat mengecewakan.


Bagi saya, isu yang perlu difahami oleh para pemimpin PKR bukanlah sekadar persoalan menghadiri sebuah mesyuarat bagi membincangkan suatu persoalan yang tidak dianggapnya berbahaya, seperti isu kesepaduan Melayu dan kepentingan Melayu itu.


Sedangkan mesyuarat itu sendiri, samalah seperti persidangan tajaan Abim di DBP pada zaman Mahathir itu, menurut hemat saya secara sedar sudah dijadikan cara untuk memperalatkan parti-parti lawan dan isu Melayu demi kepentingan dan survival Umno sendiri.


Bagi PKR, dalam kerangka "politik baru" dan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia, konsep kepentingan Melayu dalam konteks gagasan masyarakat dan negara adil pelbagai kaum mestilah berlainan – dan kerana itu sukar dijambatani – dengan gagasan kepentingan Melayu yang bersifat perkauman yang diwarisi dan diteruskan Umno dari perspektif masyarakat majmuk ciptaan sejarah kolonial itu.


Jika gagasan kepentingan Melayu Umno yang telah dituangkannya ke dalam acuan dan kerangka pemikiran dan amalan DEB yang tidak adil itu sebenarnya dapat dijambatani dengan pemikiran baru yang sedang digubal dan dibentuk dalam PKR, maka apakah perlunya pemimpin besar PKR, Anwar Ibrahim, bermati-matian berusaha melahirkan gagasan Pakatan Rakyat yang menjanjikan suatu kelainan asasi daripada Umno dan BN?


Dengan membiarkan dirinya terjebak dalam overtures yang kononnya sekadar tertumpu kepada usaha mengadakan sebuah mesyuarat informal itu, PKR – dan malah PAS juga – sebenarnya telah membiarkan dirinya terjebak untuk menerima acuan pemikiran Umno yang dangkal lagi ketinggalan zaman dalam memperkatakan dan memahami isu-isu keadilan sosial dan pembinaan negarabangsa.


Sejak dulu lagi, saya sebenarnya selalu merasa hairan dan kaget mendapati sesetengah para pemimpin parti pembangkang di negara ini yang menjadi begitu excited setiap kali mereka didatangi maupun dihubungi oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno untuk membincangkan isu-isu seperti "kepentingan Melayu" ini.


Excitement itu sekurang-kurangnya dapat saya fahami dalam keadaan Umno/BN amat kuat sedangkan kita sendiri lemah dan tertindas. Tetapi dalam keadaan seperti sekarang – ketika kita mendapat sokongan rakyat banyak dan Umno sedang kucar kacir, maka apakah penjelasannya? Mungkinkah kedangkalan dan kecetekan cendekia kita sendiri?


Rustam A Sani merupakan penganalisis politik terkenal tanahair. Rencana ini ditulis untuk tatapan pembaca KLpos.com. Bagi pihak pembaca, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Rustam A Sani.- Pengarang


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: