Tuesday, April 29, 2008

Balkis: Kera dihutan disusukan...

Ahmad Tajdid
Mon | Apr 28, 08 | 2:32:22 pm MYT


Apa sebenarnya yang mendorong Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) dibubarkan jika bukan kerana dendam politik.

Dan jika mentaliti rendah ini sukar difahami, lihat sahaja kes rampasan royalti petroleum Terengganu ketika pentadbiran negeri itu diambil-alih oleh PAS selepas pilihan raya umum 1999.

Tindakan Kerajaan Pusat BN merampas hak royalti petroleum negeri Terengganu berpunca daripada hasutan pemimpin-pemimpin Umno negeri yang mahu melempiaskan dendam politik mereka ekoran tumbangnya pemerintahan BN Terengganu pada 1999.

Ia tidak langsung dibuat atas kepentingan rakyat malah dilakukan dengan tujuan menyukarkan pentadbiran kerajaan baru PAS. Tanpa sumber kewangan yang cukup, Umno Terengganu yakin kerajaan negeri pimpinan PAS tidak akan kekal lama kerana menghadapi masalah kewangan yang serius.

Bagaimanapun, seperti dijelaskan bekas Exco Kerajaan Negeri, Tun Salleh Abbas, langkah berjimat cermat kerajaan negeri pimpinan PAS membolehkannya merentasi halangan tersebut. Malah, kerajaan negeri pimpinan BN yang berjaya merampas kembali Terengganu daripada PAS pada PRU 2004 telah mewarisi lebih RM200 juta wang royalti petroleum yang disimpan kerajaan negeri pimpinan PAS!

Berbalik kepada insiden pembubaran Balkis, kita tidak dapat membayangkan mengapakan sebuah badan kebajikan isteri-isteri wakil rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri boleh dibubarkan secara senyap-senyap.

Lebih menimbulkan tanda-tanya, wang tabungan Balkis berjumlah RM9 juta dipindahkan pula ke akaun Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri (Bakti) Kerajaan Pusat.

Apakah hak isteri bekas Menteri Besar, Datin Seri Zaharah Kechik untuk berbuat demikian walaupun mendakwa tindakan itu dilaksanakan atas persetujuan dua pertiga ahlinya dalam mesyuarat agung pada 11 Mac lalu.

Pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan pada 9 Mac 2008. Sehubungan itu, usaha Zahrah menggerakkan mesyuarat agung Balkis tiga hari selepas PRU 12 membuktikan bagaimana gundah gulananya Zahrah dan isteri-isteri wakil rakyat BN berhadapan realiti bahawa mereka kini bukan lagi isteri-isteri kepada peneraju kerajaan negeri.

Sebagai isteri-isteri wakil rakyat parti pembangkang, Zahrah dan rakan-rakannya pasti maklum tentang objektif penubuhan Balkis yang diasaskan sejak 20 tahun lalu.

Jika Zahrah dan rakan-rakannya masih dipagari kewarasan, tentu beliau lebih bersedia untuk menyerahkan tampuk jawatannya kepada isteri Menteri Besar yang baru.

Zaharah juga dilapor mempertahankan tindakan mempengerusikan mesyuarat agung Balkis pada 11 Mac lalu kerana ketika itu beliau "masih Yang Dipertua dan masih belum meletakkan jawatan".

Sedangkan dalam kenyataan yang sama beliau menyebut bahawa "sebelum isteri seorang Menteri Besar dilantik menjadi Yang Dipertua Balkis," ia hendaklah disahkan dahulu dalam satu mesyuarat agung serta mendapat persetujuan daripada isteri Menteri Besar itu sendiri iaitu selaras dengan peruntukan Fasal 9.3 (a) Perlembagaan Balkis.

"Saya menegaskan di sini pada tarikh 11 Mac lalu, Menteri Besar Selangor yang baru masih belum dilantik. Oleh itu isterinya juga masih belum boleh dilantik menjadi Yang Dipertua Balkis.

"Ini bermakna saya masih Yang Dipertua Balkis ketika itu kerana saya juga belum meletakkan jawatan. Jadi tidak timbul soal saya tidak mempunyai kuasa mempengerusikan mesyuarat agung untuk membubarkan Balkis ketika itu," kata Zahrah.

Persoalannya, walaupun Zahrah mengetahui bahawa beliau bukan lagi isteri kepada Menteri Besar dan peluangnya untuk menjadi isteri ketua pembangkang Dun Selangor lebih cerah; mengapakah beliau masih mahu memanggil satu mesyuarat agung ketika status dirinya sebagai Yang Dipertua Balkis tidak jelas di sisi perlembagaan badan itu?

Dan sebagaimana amalan biasa dalam sebuah badan berciri demokrasi, Zaharah sepatutnya bertindak sebagai 'caretaker' (penjaga) kepada badan tersebut memandangkan statusnya yang kurang jelas sebagai Yang Dipertua.

Dan sebagai sifat seoang 'caretaker', adalah amat ganjil untuk beliau bertindak memanggil mesyuarat agung, membubarkan badan itu dan seterusnya membuat keputusan mendermakan jutaan ringgit wang persatuan kepada sebuah badan yang tiada kena mengena langsung dengan negeri Selangor dan rakyat Selangor!

Seperti komen Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembubaran Balkis sememangnya tidak dapat diterima dan difahami terutama oleh penderma-penderma kerana ia tidak mengambil kira tata susila pertubuhan itu.

Zahrah juga dilaporkan berkata bahawa tindakan memindahkan baki wang Balkis berjumlah RM9.9 juta kepada Bakti adalah selaras dengan peruntukan Fasal 15 (2) Perlembagaan Balkis iaitu segala baki wang yang ada akan didermakan kepada kerajaan atau tabung lain yang serupa yang diluluskan oleh Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Soalnya, tidak adakah badan-badan kebajikan lain di Selangor yang boleh disalurkan sumbangan itu memandangkan Bakti pastinya lebih kukuh kewangannya berbanding badan kebajikan negeri kerana dianggotai isteri-isteri Menteri Kabinet Kerajaan Pusat.

Mengapakah sikap 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' diamalkan Balkis jika bukan kerana dendam politik.

Dan adakah tindakan menyalurkan wang ke akaun Bakti itu telah diluluskan Pengarah Hasil Dalam Negeri?

Tindakan Balkis pimpinan Zahrah ini secara jelas mengetepikan kepentingan negeri dan rakyat Selangor dan dibuat tanpa sebarang kewarasan dan rasional akal.

Sehubungan itu, rakyat Selangor khususnya pasti menyokong kenyataan Abdul Khalid untuk menyeret Zahrah ke muka pengadilan atas dakwaan pecah amanah.

Abdul Khalid juga memberi kata dua kepada Zaharah sama ada menarik balik pembubaran Balkis atau menghadapi tindakan undang-undang kerana beliau telah dimaklumkan oleh Majlis Peguam bahawa pembubaran dan pemindahan dana Balkis boleh dikaitkan dengan tindakan pecah amanah.

Kita mahu kerajaan negeri bertegas dalam isu ini memandangkan pasti wujud tangan-tangan ghaib yang mendorong Zahrah dan rakan-rakannya untuk bertindak sedemikian.

Insiden ini juga menggambarkan bagaimana keegoan, ketamakan kuasa dan dendam politik sudah semakin membarah dalam Umno sehingga menghinggapi isteri-isteri pemimpin parti itu.

Saranan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo supaya kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan isu ini merujuk kepada peguam pertubuhan itu tidak wajar dilayan.

Penyeleweng dan pelaku pecah amanah perlu diajar dan dibawa ke muka pengadilan. Tidak kiralah sama ada ia isteri atau teman hidup mana-mana bekas Menteri Besar.

Source: Harakahdaily.net

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: