Tuesday, April 8, 2008

Arkitektur atasi pemanasan global

"Topeng Perak" poji2ya@gmail.com



AMALAN pembinaan bangunan hijau di negara ini mungkin masih terlalu asing, malah jarang didengar walaupun banyak bangunan dibina tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Dalam kerancakan pelbagai pihak membina bangunan sambil berlumba kononnya untuk membina bangunan pencakar langit, moden, canggih, reka bentuk unik dan sebagainya itu, adakah mereka sedar bahawa sebahagian besarnya menyumbang kepada perubahan iklim di muka bumi ini.


Sejak kebelakangan ini banyak pihak menguar-uarkan mengenai peningkatan kepanasan global. Ia sebenarnya banyak berpunca daripada manusia sendiri yang rakus dengan pembangunan, sedangkan faktor alam sekitar terus diabaikan.

Kajian menunjukkan tahap air laut kini meningkat satu meter akibat pencairan air batu di kutub utara dan selatan untuk memungkinkan sebahagian besar negara berpantai akan mengecil saiz daratannya, lebih teruk lagi ada pulau dijangka terus lenyap dari dunia ini.

Fenomena bencana alam pula semakin ganas dengan ribut, banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan, gempa bumi, tsunami dan sebagainya lagi, hinggakan Malaysia yang sebelum ini dikategorikan sebagai negara bebas bencana turut terjejas dengan tsunami dan gempa bumi yang kian dirasai.

Walaupun begitu, sudah ada pihak tertentu dari kalangan pemain industri berkaitan mula menyedarinya, lalu mencari jalan penyelesaian mengatasi pelbagai pemasalahan sebagai amalan terbaik membina bangunan.

Bangunan Hijau adalah satu daripada amalan meningkatkan kecekapan dalam penggunaan pelbagai sumber seperti tenaga, air dan bahan binaan, di samping mengurangkan kesan pembinaannya ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar menerusi peletakan, reka bentuk, operasi, penyelenggaraan dan pemindahan dalam satu kitar hayat bangunan yang lengkap.

Ia membawa bersama amalan serta teknik untuk mengurang dan mengelakkan kesan sampingan ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.

Bangunan Hijau yang efektif lebih cenderung kepada usaha menghimpunkan teknologi yang mesra persekitaran.

Ia memerlukan pemuliharaan berhati-hati dan sistematik ke atas kesan kitar hayat penuh sumber yang dirangkumkan ke dalam bangunan dan juga terhadap penggunaan sumber serta penyebaran bahan pencemaran kepada keseluruhan kitaran hayat bangunan.

Falsafah arkitektur Bangunan Hijau adalah harmoni dengan alam semula jadi dan sumber di sekelilingnya.

Beberapa langkah utama pembangunannya ialah bahan binaan dari sumber tempatan, kurang bebanan, mengoptimumkan sistem dan menjana semula tenaga di lokasi yang sama.

Bahan binaan seharusnya dibeli dari kilang tempatan untuk meminimumkan penggunaan tenaga dan tahap pencemaran yang dilepaskan ketika proses mengangkut.

Paling utama mungkin dari segi konsep kitar semula tenaga, air dan guna semula perkakasan termasuk unsur dari besi atau batu.

Mungkin juga bangunan terbabit menggunakan tenaga solar, angin, hidro (air) dan biomass untuk menjana tenaga sambil mengharapkan pencahayaan semula jadi dari luar.

Bagaimanakah sesebuah bangunan itu menyerupai sifat alam semula jadi? Ia membawa masuk air untuk digunakan dan dibuang, sama seperti kitaran hidup tumbuhan dan haiwan.

Menurut Pengarah Serantau, Autodesk ASEAN, Denis Branthonne perubahan iklim sedunia mewujudkan satu fenomena baru dalam industri reka bentuk bangunan yang Bangunan Hijau menjadi pemacu utamanya.

"Kebanyakan bangunan tinggi dan moden di seluruh dunia juga semakin mengamalkan penggunaan sumber semula jadi itu termasuk mengumpulkan air hujan, kitar semula dan menggunakan semula air buangan sebagaimana proses yang berlaku di 'wetland' atau kawasan paya yang mengitar semula air secara semulajadi," katanya.

Bangunan itu akan mengumpulkan air hujan lalu ditapis, manakala tumbuhan yang ditanam akan meningkatkan sistem pengudaraan melalui proses fotosintesis dengan menyedut gas karbon dioksida sambil melepaskan gas oksigen.

"Kebanyakan pereka bentuk bangunan atau arkitek di Asia Tenggara kini mencari penyelesaian untuk mendapatkan sesuatu bagi menghasilkan produktiviti tinggi terutamanya dalam reka bentuk bangunan yang mesra alam ini," katanya lagi.

Menurut beliau, Autodesk menggambarkan bagaimana pereka bentuk menggunakan teknologi inovasi rekaan bertenaga untuk mencipta model digital dan aliran kerja yang berkaitan bagi membolehkan mereka melihat idea terbabit dan bagaimana ia berfungsi.

"Mereka boleh meneroka alternatif, membuat pembaikan dan mencari idea baru dengan pantas, murah dan kurang memberi kesan ke atas alam sekitar," katanya.

Beberapa negara Asia Tenggara sudah memperkenalkan inisiatif untuk menggalakkan pembinaan bangunan berasaskan konsep Bangunan Hijau.

Di Singapura, kerajaan negara jiran itu memperkenalkan konsep Green Mark, sementara kerajaan Filipina mewujudkan Majlis Bangunan Hijau dan Perdana Menteri kita sudah melancarkan Gerakan Bangunan Hijau pada Mac tahun lalu.

Semua inisiatif kerajaan itu semata-mata untuk menggalakkan pembinaan bangunan yang mesra alam agar pelbagai gejala yang akan memusnahkan ekosistem alam ini dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan di tahap sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan kempen membina Bangunan Hijau pada Mac 2007 sebagai antara inisiatif untuk menggalakkan pembinaan yang lebih mesra alam.

Menerusi Gerakan Bangunan Hijau itu, terdapat enam kriteria untuk diguna pakai ke atas pembangunan sedia ada sama ada pengubahsuaian bangunan atau projek baru.

Kriteria itu adalah mengekalkan perancangan tapak; memulihara dan meningkatkan kecekapan penggunaan air; memperbaharui dan meningkatkan kecekapan menggunakan tenaga; pengabadian bahan dan sumber; kualiti persekitaran dalaman; dan inovasi dalam rekaan.

Ketika melancarkan kempen itu, Abdullah ada mengatakan alam sekitar adalah harta yang semua orang bertanggungjawab melindunginya, sambil meluahkan rasa sedih apabila semua anugerah Tuhan itu dirosakkan manusia sendiri.

Bangunan Hijau direka bentuk untuk mengelak pembaziran tenaga dan sumber semula jadi, di samping menyediakan satu persekitaran yang sihat kepada masyarakat untuk hidup atau bekerja di dalamnya.

Contoh logik paling mudah bagi sebuah tempat kerja yang mantap atau 'sustainable workplace' ialah jika ia dibina berhampiran dengan stesen kereta api atau bas untuk membolehkan pengurangan penggunaan tenaga dan bahan api.

Kawasan pembinaan pula seharusnya mengamalkan perlindungan seperti membuat kawasan takungan berproses bagi menghalang air tercemar dari terus mengalir atau menyerap ke dalam sungai berhampiran.

Satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bangunannya menggunakan tenaga antara 40 hingga 49 peratus daripada keseluruhan tenaga yang digunakan; menggunakan 25 peratus air; 70 peratus tenaga elektrik dan melepaskan 38 peratus karbon dioksida.

Bagaimanapun, kesannya ke atas alam sekitar sering diremehkan dan tidak diambil kisah oleh sesetengah pihak, sementara pembinaan Bangunan Hijau didakwa meningkatkan kos sehingga 17 peratus.

Oleh yang demikian, arkitektur terbaik ke arah pembinaan Bangunan Hijau ialah yang mengitar semula, mengurangkan bahan buangan, tenaga, air dan sebagainya. Sementara reka bentuk terbaik pula mengurangkan jumlah bahan buangan oleh penghuni di dalamnya.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: