Monday, March 17, 2008

Untuk Perhatian Wakil Pembangkang PAS di DUN Johor

"Pas Johor Bahru" pasjohorbahru@yahoo.com


Untuk Perhatian Wak
il Pembangkang PAS di DUN Johor
E-mail ini kami terima,dari pelayar web kami dan isunya ialah Dana Johor. Isu ini sudahpun
dibangkitkan pada sidang Dun yang lepas oleh wakil rakyat PAS dari Senggarang Dr Mohd
Ramli Md Kari. InsyaAllah pada sesi PRU ke11 yang lalu PAS Johor melakar sejarah dengan
lahirnya anak sulung PAS secara menang percuma dan Alhamdulillah untuk PRU ke12 PAS
Johor melahirkan kembar secara anak jantan dari Sg Abong dan Maharani.
InsyaAllah isu ini akan dibawakan sekali lagi dalam Dun Johor....AllahuAkbar....
Untuk perhatian wakil pembangkang di Johor, Saya ingin menarik perhatian kepada isu
kejatuhan harga saham amanah negeri khususnya Dana Johor, yang diuruskan Perbadanan
Johor (Jcorp) milik kerajaan negeri Johor Pada 22 Jun 2006, Menteri Besar Johor, Datuk
Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Jcorp menyatakan bahawa beliau berpuas hati
dengan pencapaian JCorp yang berjaya membawa kekayaan kepada kerajaan negeri. Menurut
beliau, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1970, syarikat milik penuh kerajaan negeri itu juga
telah membawa kejayaan kepada orang Melayu dalam perniagaan. Ketika krisis ekonomi pada
1997 dan 1998, harta JCorp ialah RM7 bilion. Menurutnya, kini ia semakin kukuh dengan jumlah
harta mencapai RM10 bilion. Bagaimanapun, pada pendapat saya, kejayaan ini dicacatkan
oleh kelemahan Jcorp dalam menangani kejatuhan harga saham Amanah Saham Johor (ASJ)
dan Dana Johor (DJ). Pada 8 Disember 2005, ketika
menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) mengenai nilai ASJ dan DJ pada persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjelaskan bahawa satu skim
pemulihan sedang dirangka oleh JCorp bagi mencari penyelesaian terhadap harga pelaburan ASJ
dan DJ. Menurutnya lagi \"Skim tersebut merupakan penyelesaian muktamad bagi mengurangkan
beban pelabur untuk membayar balik kepada bank mengikut kemampuan masing-masing\ ".
Bagaimanapun, sehingga hari ini, belum ada sebarang pengumuman mengenai \"penyelesaian
muktamad\" tersebut. Sebelum ini, JCorp melaksanakan Skim Belian Balik Bersyarat unit ASJ
dan DJ sejak Februari 2004 dengan harga RM1 seunit bagi ASJ manakala 50 sen seunit bagi DJ.
Melalui skim tersebut pelabur diperuntukkan kelayakan unit yang boleh dijual balik sebanyak 10
peratus setahun pada setiap tahun selama 10 tahun. Syarat ini menyukarkan pelabur kerana
terpaksa menunggu sehingga 2014 untuk melangsaikan semua saham tersebut.

Selain itu, terdapat diskrimanasi jelas antara harga belian balik ASJ dan DJ, sedangkan
kedua-duanya ditawarkan kepada pelabur pada harga RM 1.00 sebelum ia merudum. ASJ asalnya
diperuntukan untuk pelabur bumiputera dan Dana Johor pula dibuka kepada semua termasuk
bukan bumiputera. Sebagai perbandingan, Kerajaan Selangor muncul sebagai negeri pertama
yang bersedia untuk membeli balik saham amanahnya Amanah Saham Selangor (ASAS) pada
kadar harga asal iaitu RM1 seunit yang dilakukan pada 2003.

Pada 21 Febuari 2008 lalu, Amanah Saham Kedah yang juga pernah mengalami kejatuhan harga
mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit kepada pelabur yang layak,
membabitkan bayaran sejumlah RM7.57 juta. Kemusykilan saya, mengapa ASJ dan DJ tidak dapat
membayar dividen sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Antara contoh lain, pada 1 November
2006, Amanah Saham Darul Iman (ASDI) telah mengumumkan pengagihan pendapatan pada kadar
4 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Oktober 2006.

Pada 6 April 2006, ASDI juga menawarkan skim tawaran belian balik sebanyak RM 1.00 berbanding
harga pasaran semasa itu sekitar 46 sen. Sebagai pelabur yang turut merasai keperitannya,
saya mengharapkan wakil pembangkang memberi perhatian kepada masalah ini kerana ramai juga
pelabur yang meminjam wang dengan bank untuk membeli unit amanah ini. Antara peminjam ini
ialah orang kampung yang yang begitu tertarik dengan dakwaan oleh Ketua Eksekutif Jcorp sendiri
bahawa saham ASJ boleh mencecah RM 5.00 dalam masa lima tahun selepas dilancarkan. Isu ini
sentiasa hangat di warung kopi setiap kali saya balik ke kampung kelahiran saya di Batu Pahat,
Johor.

Sekian, terimakasih.


Contoh ketidakpuashatian rakyat di internet:


Kegagalan Amanah Saham Johor
Oleh Hassan Karim Naib Presiden PRM
Pada suatu ketika sebelum kegawatan ekonomi, Kerajaan BN negeri Johor begitu bangga dengan
skim pelaburannya Amanah Saham Johor (ASJ). Seramai 125,000 orang telah melabur di dalam
ASJ. Saham ASJ telah dijual pada harga RM1 seunit. ASJ telah mendapat sambutan hebat terutama
apabila pihak pengurusan ASJ iaitu Perbadanan Johor mengumumkan bahawa nilai saham ASJ akan
naik menjadi RM5 seunit. Suara Johor, sebuah buletin rasmi Kerajaan Negeri Johor, terbitan bulan
Jun 1996 (muka surat 10) melaporkan kenyataan Ketua Eksekutif Perbadanan Johor, Datuk
Mohammad Ali Hashim bahawa harga jualan ASJ dapat ditingkatkan kepada RM5 pada tahun 1997.
Pengumuman itu telah menyebabkan ramai rakyat Johor berebut-rebut membeli saham ASJ. Mereka
melihat skim ASJ semacam suatu skim “cepat kaya” sama seperti skim “labu peram” atau skim
“Pak Man Telo”. Bezanya skim ASJ ini sah mengikut undang-undang dan dijamin oleh kerajaan.

Mana orang yang tidak ada wang sendiri, ramailah yang meminjam dari bank-bank. Sesetengahnya
meminjam sehingga RM10,000. Malah ramai pelabur yang berhutang dengan bank lebih daripada itu.
Siapa yang tidak mahu kaya dengan cepat? Beli saham RM1 seunit kemudian dalam tempoh terdekat
nilainya menjadi RM 5 seunit. Tetapi matahari pun tidak selamanya menyinar. Ada kalanya ia naik
dan kemudian sampai waktunya ia akan turun dan tenggelam. Tanpa diduga oleh Perbadanan Johor,
krisis ekonomi kemudian datang melanda Malaysia mulai pertengahan tahun 1997. ASJ terjejas teruk.
Harga saham ASJ menjunam seperti payung terjun yang gagal dikembangkan. Punca utamanya kerana Perbadanan Johor itu sendiri goyang dan kemudian runtuh. Dari sebuah perbadanan pelaburan kerajaan negeri yang berjaya, Perbadanan Johor kini berhutang melebihi setengah bilion ringgit. Pada 1 Ogos tahun ini, di Dewan Undangan Negeri Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengaku bahawa Perbadanan Johor mengalami kerugian sebanyak RM561.88 juta kesan kegawatan ekonomi yang
melanda negara. Kerugian Perbadanan Johor yang kemudiannya menjejaskan prestasi ASJ tidak
boleh disalahkan hanya ke atas faktor kegawatan ekonomi. Menteri Besar Johor, Ghani Othman yang
juga menjadi Pengerusi Perbadanan Johor dan Muhammad Ali Hashim, Ketua Eksekutif Perbadanan
Johor sama-sama patut bertanggungjawab terhadap kegagalan strategi pelaburan perbadanan
tersebut. Di Dewan Undangan Negeri Johor, Ghani Othman telah mengaku bahawa banyak
syarikat-syarikat milik Perbadanan Johor mengalami kerugian. Saiz operasi Perbadanan Johor terlalu
besar. Perbadanan Johor telah melibatkan diri di dalam pelbagai bidang perniagaan seperti pertanian,
kesihatan, perkayuan, pembangunan perindustrian, hartanah dan usahawan, perkhidmatan modal,
industri berat, kertas dan penerbitan, pengangkutan, pelancongan, makanan, perhotelan, bisnes
sukan, franchise dan lain-lain pelaburan. Kadang-kadang syarikat milik Perbadanan Johor bersaing
dengan syarikat-syarikat kecil milik bumiputera. Perbadanan Johor terlalu mengejar keuntungan
wang ringgit. Sebagai contoh, ia telah telibat dengan pembangunan perindustrian seperti di
Tanjong Langsat berdekatan Pasir Gudang. Untuk membangunkan kawasan itu Perbadanan Johor
sehingga tergamak mengusir secara paksa (dengan pampasan tidak seberapa) beratus keluarga
Melayu miskin di kampung-kampung tradisi di kawasan berkenaan. Kezaliman yang dilakukan atas
nama pembangunan. Selain yang disebutkan itu, banyak lagi tempat dan perkampungan rakyat
miskin di dalam kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang berlaku perobohan rumah rakyat miskin oleh
perbadanan Johor. Misalnya di Rumah Rakyat SEDC di Tampoi.

Pada satu ketika, Perbadanan Johor begitu angkuh kerana dalam tempoh 27 tahun ia beroperasi, ia
sentiasa untung dan tidak rugi. Perbadanan Johor tidak peduli akan protes rakyat miskin kerana
berasa dirinya cukup berpengaruh. Sebab Perbadanan Johor menyumbang berjuta-juta ringgit
setahun hasil untungnya kepada kerajaan negeri. Lalu pihak pengurusan Perbadanan Johor bertindak
bebas tanpa kawalan kerajaan negeri, hatta oleh Menteri Besar yang merangkap jawatan Pengerusi
Perbadanan Johor itu. Tetapi kesan kegawatan ekonomi dan kelemahan strategi pelaburan telah
menyebabkan akhirnya pihak pengurusan Perbadanan Johor tersedar akan kesilapan dan
keangkuhannya. Malangnya, kesedaran itu berlaku hanya setelah ia mengalami kerugian lebih RM500
juta. Sudah terantuk baru terngadah! Salah satu pihak yang menjadi mangsa akan prestasi buruk
Perbadanan Johor ialah 125,000 pelabur ASJ. Kebanyakan mereka yang melabur itu berhutang
dengan bank. Kesemua pelabur ASJ ini Melayu. Sebab skim ASJ hanya untuk bumiputera. Dengan
harga ASJ yang begitu rendah (27 sen seunit ketika rencana ini ditulis) bermakna ramai pelabur
kecil Melayu yang bukan orang kaya, kini terpaksa menanggung beban membayar hutang
bersama-sama faedah kepada pihak bank. Dividen ASJ mereka tidak dapat tetapi hutang berserta
bunga faedah, mereka kena bayar setiap tahun. Ramailah pelabur yang bernasib malang kerana
“tidak ada beban batu digalas”. Ketua Eksekutif Perbadanan Johor Datuk Mohammad Ali Hashim,
tidak lama dahulu telah membuat pengumuman terbuka meminta maaf kepada para pelabur ASJ
akan kemerosotan saham ASJ itu. Tetapi maaf itu tidak dapat mengurangkan kesengsaraan ke atas
125,000 pelabur ASJ. Pihak bank yang memberi hutang tidak kenal maaf. Hutang tetap hutang.
Pernyataan maaf tidak boleh melunaskan hutang pelabur. Para pelabur yang meminjam dari bank
mesti membayar. Jadi, isu kegagalan ASJ telah menjejaskan imej kerajaan BN Johor. Ramai pelabur
yang marah kepada pemimpin kerajaan negeri kerana isu tersebut. Prestasi buruk ASJ sekarang
semacam duri dalam daging BN Johor.

Ramai rakyat Johor, termasuk ahli-ahli UMNO sendiri marah kepada pihak pengurusan ASJ, iaitu
Perbadanan Johor. Datuk Mohammad Ali Hashim selaku Ketua Eksekutif Perbadanan Johor telah
meminta maaf. Tetapi Datuk Ghani Othman selaku Pengerusi Perbadanan Johor masih belum meminta
maaf kepada para pelabur ASJ. Ramai pelabur rasa tertipu. Walaupun BN telah menang di semua
kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Johor dalam pilihanraya umum 29 November tahun
lalu tetapi prestasi BN merosot di semua kawasan undi. Jumlah undi majoriti yang diperolehi BN telah
banyak berkurang. Sokongan pengundi Melayu terutamanya jelas merosot. Ini mungkin terjadi akibat
beberapa sebab, termasuk isu Anwar Ibrahim. Tetapi ada kemungkinan juga disebabkan kemarahan
para pelabur ASJ yang berasa tertipu dan rugi. Jadi, prestasi lembab ASJ ini amat merisaukan
Kerajaan BN Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman. Pada 4 Ogos lalu, di Dewan
Undangan Negeri Johor juga satu soalan berhubung dengan prestasi ASJ telah dibangkitkan. Ghani
Othman telah menjawab. Kata Menteri Besar Johor itu, Kementerian Kewangan Malaysia dan
Suruhanjaya Sekuriti (SC) memandang serius akan prestasi tidak memberangsangkan ASJ dan Dana
Johor (DJ), iaitu satu lagi amanah saham yang diuruskan oleh Pelaburan Johor Berhad (PJB), anak
syarikat Perbadanan Johor. Suruhanjaya Sekuriti telah memantau syarikat pengurusan iaitu syarikat
Pelaburan Johor Berhad sejak tahun 1997. Pemantauan SC itu dibuat menerusi dua badan bebas iaitu
Juruaudit Tetuan Price Waterhouse Coopers dan perunding pengurusan dana, Tetuan Watson Wyatt.

Kemudian, sekali lagi iaitu pada 11 September lalu ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen
Umno Johor 2000 di Batu Pahat, Ghani Othman membangkitkan isu ASJ. Kerajaan negeri katanya
telah mengarahkan Perbadanan Johor supaya segera mengambil langkah sewajarnya untuk
mengukuhkan harga Amanah Saham Johor (ASJ) dan Dana Johor. Ghani Othman kena bertanya
dirinya sendiri: Siapa sebenarnya Pengerusi Perbadanan Johor? Presatsi ASJ jika tidak dikembalikan
pulih, sekurang-kurangnya ke paras RM1 seunit dalam tempoh dua tahun akan datang ia akan menjadi
satu isu yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat terutama para pelabur. Ini akan membahayakan
kedudukan BN Johor dalam pilihanraya umum akan datang, mungkin pada tahun 2004. Sejak awal
tahun ini harga ASJ pada paras di bawah 30 sen seunit. Tidak ada tanda-tanda ia akan pulih. Ini
yang menjadikan pemimpin BN di Johor terutamanya Ghani Othman risau. Semenjak Ghani Othman
menjadi Menteri Besar Johor, bukan ASJ sahaja yang merosot. Banyak lagi syarikat-syarikat milik
kerajaan negeri yang rugi berjuta-juta ringgit. Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), sebuah
syarikat milik kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh Ghani Othman juga telah merekodkan hutang
dengan bank sebanyak RM429.4 juta pada bulan Disember tahun lalu. Justeru itu, kita berasa
masanya sudah sampai untuk mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya segera membuat
penyiasatan apa sebab sebenarnya Perbadanan Johor, ASJ dan KPRJ mengalami kerugian
beratus-ratus juta ringgit masing-masing.

Daripada : ali jganteng@gmail. com

Sumber : Jundullah


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: