Tuesday, March 25, 2008

Undang-undang sekat lompat parti: BN umpama menjilat ludah?

"Tegak Iman" tegakiman@yahoo.com

Undang-undang sekat lompat parti: BN umpama menjilat ludah?
Intan Abdullah
Mon | Mar 24, 08 | 6:31:02 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim untuk menggubal undang-undang bagi mengelakkan mana-mana pihak melompat parti adalah seumpama menjilat kembali ludah.

Demikian kata Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanipa Maidin ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

"Apa yang berlaku sekarang ini memperlihatkan kejujuran dan niat sebenar pihak Umno-BN yang mahu menjadikan undang-undang sebagai benteng pertahanan diri mereka setelah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya lalu," ujarnya.

Tegasnya, apa yang cuba dilakukan adalah untuk kepentingan politik parti tersebut.

"Dari satu sudut, ia adalah usaha yang baik memandangkan individu tersebut telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat kepada mereka.

"Yang menghairankan sekarang ini ialah sebelum ini BN mencabar isu yang sama apabila PAS mengemukakan cadangan untuk melaksanakannya, tetapi sekarang ini dia pula yang beria-ia mahukannya," katanya.

Hanipa tidak menolak kemungkinan bahawa motif utama Umno-BN adalah disebabkan kerisauan mereka terhadap kedudukan politik parti tersebut pada penggal kepimpinan kabinet kerajaan akan datang.

Menurutnya, pada pilihan raya umum 1990 lalu, PAS Kelantan telah menggubal Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menghalang mana-mana individu agar tidak melompat parti setelah memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Ia adalah ekoran daripada tindakan dua orang calon Semangat 46 yang menukar parti selepas memenangi kerusi Limbongan dan Sungai Pinang.

Namun, undang-undang tersebut telah dicabar oleh pihak BN dengan bersandarkan kepada hujah ia bercanggah dengan perkara 10 Perlembagaan persekutuan mengenai hak berpersatuan.

Ini menyebabkan undang-undang yang digubal kerajaan Kelantan itu terbatal dengan sendirinya dan tidak sah.

Sementara itu, pensyarah Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sham Rahayu Abdul Aziz berpendapat adalah lebih bermanfaat bagi para pemimpin politik atau menteri-menteri memikirkan untuk memulihkan imej parti, daripada memikirkan bagaimana untuk menyekat para ahli yang secara sukarela ingin meninggalkan parti politik mereka atas apa alasan jua, asalkan mereka tidak dibeli oleh parti politik yang lain.

"Mungkin undang-undang menyekat jual beli kerusi dewan perwakilan, parlimen atau Dewan Undangan Negeri boleh dibincangkan lagi, tetapi bukan undang-undang menyekat lompat parti," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Persoalan utama yang ingin diketengahkan sekarang ialah, adakah BN ingin menyekat hak wakil-wakil rakyat, parlimen atau DUN dari menikmati hak kebebasan memilih parti politik setelah sekian lama BN mengecap kenikmatan "lompat parti" ini.

"Walau apapun, undang-undang bukanlah jalan terbaik yang boleh menyekat pertukaran parti," demikian katanya. - mns


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: