Tuesday, March 18, 2008

Umno terus berbohong walaupun tewas di Kedah

(Pimpinan BA, PAStikan Rakyat DAPat KeAdilan!)
(Rakyat, Teruskan Lonjakkan Minda!)

Umno terus berbohong walaupun tewas di Kedah
Helmi Khalid
Sun | Mar 16, 08 | 11:48:22 am MYT
Apa sebenarnya yang dikejar oleh pemimpin Umno dalam berpolitik amat sukar untuk ditafsirkan. Jika mahu dilabelkan sebagai pembela rakyat, slogan ini hanya akan menjadi bahan ketawa rakyat.

Di Kedah, mereka terus berbohong, terus meledakkan beberapa insiden berunsur hasutan hingga sanggup memecahbelahkan masyarakat.

Dua hari selepas Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar; Adun Kuah, Dato' Nawawi Ahmad yang juga bekas Exco kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan BA Kedah yang baru dua hari mentadbir, sudah menaikkan tambang feri Langkawi-Kuala Kedah dari RM15.00 ke RM20.00 dan Langkawi-Kuala Perlis dari RM12.00 ke RM15.00.

Ustaz Azizan ketika disoal wartawan berhubung kenaikan harga tambang itu secara ringkas memberi respon:

"Harga itu sudah diluluskan oleh kerajaan dulu, lepas pilihan raya baru dilaksanakan. "

Nawawi yang juga bekas Exco Kerjaraya, Tenaga dan Alam Sekitar nampaknya secara sengaja mahu mengaburi mata rakyat dan memfitnah kerajaan baru pimpinan Azizan.

Mustahil sebagai ahli Exco, Nawawi langsung tidak tahu atau tidak dimaklumkan sebelum ini bahawa kerajaan Kedah ketika di bawah naungan BN telah bersetuju membebankan rakyat dengan menyokong kenaikan tambang feri untuk penduduk Langkawi.

Sebagai makluman, bermula Disember 2007, tambang feri ke Langkawi untuk dewasa telah dinaikkan sebanyak RM5.00 iaitu dari RM18.00 menjadi RM23.00, bagaimanapun kerajaan negeri ketika itu mengeluarkan kenyataan bahawa kadar baru untuk rakyat Langkawi masih ditangguhkan.

Ditangguhkan bukan bermakna tidak akan dinaikkan, rupanya penangguhan itu dilaksanakan selepas dua hari dari tarikh BN kecundang di Kedah.

Untuk menaruh sangkaan baik kepada Nawawi, saya kira dia tidak hadir dalam mesyuarat Exco yang meluluskan kenaikan tambang feri ini.

Atas dasar baik sangka juga, saya beranggapan Nawawi juga tidak membaca atau tidak dimaklumkan bahawa Jabatan Laut Semenanjung Malaysia yang beribu pejabat di Pelabuhan Klang, Selangor telah menghantar surat bertarikh 22 November 2007 (No. rujukan: (33) dlm IPL 2141-G Jld.2) memaklumkan kepada semua pengusaha feri di Langkawi bahawa satu kadar tambang baru telah dipersetujui oleh Kerajaan BN Kedah ketika itu.

Saya memetik antara isi kandungan surat dari Jabatan Laut kepada semua pengusaha feri bertajuk 'Kenaikan Tambang Perkhidmatan Feri ke Langkawi' itu:

Adalah dimaklumkan, Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan kenaikan tambang feri ke Langkawi berkuatkuasa 1 Disember 2007 setelah mengambil kira kenaikan kos operasi perkhidmatan feri.

Kadar kenaikan dipersetujui ialah RM5.00 sehala (Kuala Kedah ke Langkawi dan sebaliknya) dan RM3.00 sehala (Kuala Perlis ke Langkawi dan sebaliknya). Ini bermakna kadar tambang (dewasa) dari Kuala Kedah ke Langkawi adalah RM23.00, manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi sehala RM18.00.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan tambang istimewa dengan pengurangan RM3.00 kepada penduduk tempatan Langkawi. Ini bermakna penduduk tempatan (dewasa) hanya dikenakan RM20.00 sehala bagi Kuala Kedah ke Langkawi manakala RM15.00 sehala bagi Kuala Perlis ke Langkawi.

Kadar kenaikan yang berlaku dua hari selepas pilihan raya baru-baru ini adalah sama seperti yang disebut oleh Zawawi dengan surat dari Jabatan Laut. Jadi untuk berbaik sangka lagi, saya menganggap kemungkinan besar Nawawi baru mendapat tahu adanya surat itu dan dia membaca kadar kenaikan itu berpandukan apa yang terkandung dengan surat tersebut.

Surat tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Laut, Semenanjung Malaysia, Baharin Dato' Abdul Hamid.

Kepada Nawawi, cukuplah sekali untuk menabur fitnah, kalau berminat juga untuk meneruskan kerja yang terkutuk di sisi agama ini hentikan saja. Jangan dekati amalan hina itu dan jangan campakkan diri ke arah itu.

Fitnah kedua adalah mengenai penutupan kelas-kelas Tadika Kemas, modus operandi yang hampir sama dibuat oleh Umno di Terengganu ketika Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar.

Di beberapa tempat, bukan hanya PAS difitnah kononnya mengarahkan kelas tadika Kemas ditutup, malah pemimpin PAS di cawangan-cawangan dihamburkan fitnah mahu merampas kunci surau dan masjid.

Ustaz Azizan dengan lapang dada memberikan kenyataan bahawa sebagai Menteri Besar, beliau mahu semua kelas tadika diteruskan, dibuka seperti biasa, jangan pindah barang yang ada dan jika telah memunggah, kemaskan kembali barang untuk keperluan mengajar anak-anak di kelas-kelas tadika Kemas.

"Kita berterima kasih kepada semua guru Kemas yang telah berjasa mendidik anak-anak prasekolah sejak sekian lama, bukan sahaja kita minta teruskan, malah kita akan mencari jalan untuk meningkatkan lagi mutu pengajian di kelas tadika Kemas," tegas Ustaz Azizan.

Kenyataan beliau ini ternyata mematahkan segala niat jahat pemimpin Umno yang cuba memburukkan imej PAS di mata masyarakat. Sekarang, rakyat lebih mempercayai kenyataan Menteri Besar dari apa yang dikatakan pemimpin Umno termasuk JKKK.

Tergamak sungguh mereka bertindak demikian sekalipun barangan dan material kelas tadika, surau dan beberapa buah masjid bersepah, suasana menjadi kelam kabut dan menimbulkan prasangka rakyat terhadap kerajaan yang baru mereka pilih.

Dua insiden di awal sesi pentadbiran PAS ini sehingga sekarang tidak menggugat malah memberikan impak yang lebih baik kepada Ustaz Azizan dan barisan Exconya. Umno semestinya sedar bahawa rakyat hari ini tidak mudah diperdayakan lagi. Rakyat sudah pandai menilai mana baik dan mana buruk, sebab itu rakyat Kedah memilih untuk menjauhkan diri dari Umno dan BN dalam pilihan raya kali ini.- tajdid


Harakahdaily. net


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: