Friday, March 14, 2008

Tuntutan Terbesar Pasca PRU12

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Tuntutan Terbesar Pasca PRU12

March 14th, 2008 | by Abu Saif | 154 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |
2006-484-world-oil-demand.jpg
“Kami nak harga minyak diturunkan”, desak ramai pihak.
“Kami mahu pendidikan percuma”, pinta sebahagian yang lain.
“Macam mana kerajaan baru Pulau Pinang nak pastikan Melayu tidak dipinggirkan, seperti Melayu Singapura?” soal ramai pihak dalam sehari dua ini.

Senarai permintaan orang ramai kepada kerajaan baru yang mula dibentuk di peringkat negeri, begitu panjang. Sepanjang manifesto pilihanraya sebagaimana yang dikempenkan.
Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, bertepuk sebelah tangan itu adalah angan-angan. Kita tidak mungkin dapat melihat perubahan jika hanya menyerahkan segalanya kepada kerajaan. Sebahagian daripada belanja besar yang menjadi liabiliti negara, datang daripada habit kita sendri.

Sikap kita yang masih jauh daripada bijaksana mengendalikan sampah sarap hasil rumah masing-masing, mendesak kerajaan dan alam sekitar untuk menanggung beban yang besar.
Sikap kita terhadap pemanduan di jalan raya yang tidak beretika, memandu mabuk atau secara emosional, menghasilkan masalah yang sangat membebankan perkhidmatan kesihatan negara kita.
Dan senarai itu berterusan.

Saya tidak khuatir dengan desakan rakyat kepada kerajaan untuk memperbaiki tahap ekonomi. Dengan integriti dan kemasukan bijak pandai baru ke dalam Parlimen dan DUN di negeri-negeri hari ini, proses itu boleh dijana dari semasa ke semasa.

Tetapi saya ada kebimbangan yang lebih besar.

MENURUNKAN KADAR JENAYAH
Bagi saya, kebimbangan terbesar adalah soal keupayaan kerajaan menurunkan kadar jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan.

Inilah kehilangan terbesar di negara ini yang paling saya rasakan. Kejutan budaya yang saya alami sekembalinya ke tanah air selepas 11 tahun merantau, adalah pada kemerosotan tahap keamanan sosial.

Di kampung-kampung, warga emas tidak lena tidur kerana saban malam sentiasa sahaja ada keresahan tentang kejadian pecah rumah. Kecurian sudah sampai ke tahap orang malas mahu membuat laporan polis. Jika setiap hari ada kes bunuh, sejauh mana polis mahu melayan kes kehilangan basikal, besi pagar dipotong dan sebagainya.

Orang ramai hilang arah.
mohd-nashar.jpg
Kejadian kanak-kanak hilang semakin menjadi-jadi. Terkini, seorang budak lelaki bernama Mawi hilang di kawasan Lembah Pantai. Sharlinie belum ditemui, Nurin tersimpan sebagai kenangan hitam bagi sejarah Malaysia.

Perbuatan membuang anak sudah hilang tempat dari laporan akhbar. Kejadian rogol, sumbang mahram, ragut dan …
Senarai itu amat panjang.

KOTA LONDON
Bukan berniat melebihkan tempat orang, tetapi mana yang baik ingin sekali untuk diteladani.
Sekitar tahun 1998 - 1999, saya tinggal di Kota London. Bekerja dari pagi hingga malam, sering sekali saya pulang ke rumah dalam gelap malam yang pekat. Berjalan kaki di Edgware Road menuju ke stesyen Underground, menaiki keretapi dengan manusia mabuk khususnya di malam Jumaat, turun di stesyen Ladbroke Grove dan berjalan kaki dalam gelap malam di celah-celah townhouse sebelum sampai ke rumah, perasaan takut atau bimbang tidak ada.
i00001mt.jpg
Takut atau berani, bukanlah boleh dibuat-buat. Ia adalah terjemahan reaksi kita kepada persekitaran.

Perasaan saya di sekitar kawasan itu, atau di pelbagai ceruk kota London tersebut, amat berbeza dengan perasaan saya semasa berada di Puduraya, Pasar Seni, Kotaraya dan kawasan di sekitarnya. Ia bukanlah perasaan yang disengajakan, malah saya pernah dirompak semasa berjalan di Benteng berhampiran HSBC berdepan dengan Masjid Jamek.

“Abang, minta duit sikit bang, nak makan!”, kata dua orang anak muda kepada saya.
Saya menyegerakan langkah.
“Jangan lari bang, kita orang minta duit je!”, katanya lagi.
Oleh kerana saya terkepung, saya hilang arah. Tiba-tiba saya terasa ada benda tajam yang dicucukkan ke belakang saya.
Saya menyeluk tangan ke poket kiri dan mengeluarkan semua duit yang ada. Mungkin sekitar RM10.
“Ehh, mana cukup ni bang!”, kata mereka.

Saya melarikan diri dan mereka mengejar. Sampai sahaja di hadapan Stesyen Masjid Jamek, saya terus melompat masuk ke teksi dan menarik nafas lega. Sebenarnya di dalam poket kanan saya terdapat wang tunai lebih RM10K, iaitu wang yang ingin dibawa ke pejabat Tabung Haji bagi urusan jemaah haji.
Biarlah hilang RM10 daripada RM10K di poket sebelah.

Itu salah satu daripada pengalaman saya yang membekaskan trauma.

BELFAST DAN IRELAND
Ia bandar terakhir yang menjadi pilihan orang untuk tinggal. Bandar yang sangat sinonim dengan perang antara Protestant dan Katholik. Stesyen bas bandar ini terletak di tepi Europa Hotel, iaitu hotel 4 bintang yang dikenali sebagai “Hotel Yang Paling Kerap Dibom di Eropah”. Ia telah dibom sebanyak 33 kali daripada tahun 1970 hingga 1994.
europa-hotel-belfast.jpg
Tetapi saya tiada perasaan bimbang yang ketara. Malah jenayah di South Belfast juga amat sederhana. Kejadian pecah rumah amat jarang didengari. Salah satu jenayah yang memeningkan kepada di Belfast hanyalah perbuatan budak nakal mencuri kereta untuk joyriding.

Malaysia tidak ketinggalan apabila sekumpulan pelajar sekolah mencuri sebuah bas baru-baru ini, atas tujuan yang sama.

Semasa tinggal di Galway, Dublin dan Naas, rumah kediaman saya tidak mempunyai pagar, tiada gril besi, tiada pintu besi dan amat jarang (boleh juga dikatakan hampir tiada) kejadian rompakan, pecah rumah, jauh sekali pembunuhan.
Penemuan mayat akan menggemparkan seluruh negara.

Tetapi keadaan itu amat berlainan di Malaysia. Semakin cantik sebuah rumah, semakin mirip kepada penjara. CCTV, gril besi… hingga menyebabkan kejadian kematian ngeri apabila terperangkap di dalam rumah tatkala berlakunya kebakaran.

DI MANAKAH SUDAHNYA?
Inilah yang menjadi kekhuatiran utama saya.

Apakah plan kerajaan yang baru untuk mengatasi masalah ini?

Bagaimanakah perasaan aman dan selamat boleh dipulihkan?

Apa formulanya?

Saya meyakini bahawa segala kebejatan ini adalah simptom. Ia adalah kesan daripada masalah yang lebih besar.

ANALOGI PEN
broken_pen.jpg
Saya ada sebatang pen. Saya gunakan pen itu sebagai ‘paku’ dinding. Apabila saya ketuk ‘paku’ itu ke dinding, akhirnya pen itu akan pecah dan rosak. Apabila pen rosak, ia menjadi sampah!
Bagaimanakah pen berakhir menjadi sampah?

Pen dicipta untuk satu tujuan yang amat spesifik. Fungsinya adalah sebagai bahan tulis. Apabila ia disalah guna, pen tersebut menjadi rosak. Dan apabila rosak ia menjadi SAMPAH.

Allah mencipta manusia atas satu tujuan yang sangat spesifik. Apabila manusia hidup dengan tujuan yang lain, maka manusia menjadi rosak, malah mampu menjadi makhluk perosak. Dan apabila manusia rosak, mereka menjadi sampah. Dari situlah datangnya SAMPAH MASYARAKAT.
SAMPAH MASYARAKAT adalah terjemahan kepada kehidupan tanpa matlamat. Kehidupan yang hidup tanpa makna.
Saya yakin, formula untuk menyelesaikan segala kebejatan sosial hari ini, ialah pada membawa manusia kembali kepada kehidupan yang bermatlamat. Hidup yang ada makna.
Bekerja bukan sekadar cari makan, kerana makan telah membunuh banyak manusia.
Bekerja bukan sekadar untuk keluarga, kerana telah banyak keluarga yang binasa kerana pekerjaan ibu bapa.
Hidup bukan sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat, kahwin… ia harus lebih dari itu semua.

MENGEMBALIKAN KEHIDUPAN BERAGAMA
Kepercayaan Kepada Tuhan…
Rukun pertama negara kita… hidup bertuhan.
Sudahkah Muslim mengambil Allah sebagai Tuhan dalam kehidupan mereka?
Bagaimanakah pula dengan yang bukan Muslim? Sejauh mana agama masih menjadi rujukan moral dan erti hidup mereka?

Atau manusia selesa hidup tanpa Tuhan? Atau bertuhankan sahaja kepada diri sendiri…
Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk kerajaan baru ini mengangkat kembali soal agama.
Caranya, praktikalnya, strateginya… saya serahkan kepada kebijaksanaan pemegang kuasa.
Apa yang saya harapkan hanyalah kehidupan rakyat Malaysia yang tidak lagi pada menjadi hamba kepada diri sendiri. Manusia tanpa Tuhan, sama ada menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil hidupnya, atau seorang demi seorang berlagak seperti tuhan!

Kembalilah kepada agama.

ABU SAIF @ www.saifulislam. com
56000 Kuala Lumpur


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: