Monday, March 24, 2008

Siapa pecat Ahmad Said?

(Pimpinan BA, PAStikan Rakyat DAPat KeAdilan!)
(Rakyat, Teruskan Lonjakkan Minda!)


Kuda Ranggi

Siapa pecat Ahmad Said?

Tertarik saya mendengar berita yang dipancarkan oleh media elektronik bahawa bakal MB Terengganu yang dipilih oleh Istana Terengganu, Ahmad Said, dipecat kerana menerima perlantikan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid, yang juga penyokong kuat mantan MB Idris Jusoh, calon yang menjadi pilihan Presiden UMNO Abdullah Ahmad (Pak Lah).

Saya pernah mengulas mengenai kuasa pemecatan yang ada dalam UMNO dan untuk kes ini, elok juga diulangi.

Buat permulaan, Presiden UMNO, Setiausaha Agung UMNO mahupun pengerusi dan setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri tiada kuasa untuk memecat mana-mana ahli UMNO.

Presiden UMNO hanya diberi kuasa oleh Perlembagaan UMNO seperti berikut:-

1. menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.
2. melantik setiausaha agung, bendahari dan pengerusi dan timbalan pengerusi Perhubungan Negeri dan Wilayah Persekutuan.
3. memanggil dan mempengerusikan sidang Majlis Tertinggi
4. melantik tidak lebih daripada dua belas (12) Ahli Majlis Tertinggi.

Itu saja kuasa dan tugas yang diberikan oleh Perlembagaan UMNO kepada presiden UMNO. Saya tidak jumpa dimana-manapun dalam Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa kepada presiden parti untuk memecat mana-mana ahli parti. Tidak ada.

Mari kita lihat kuasa atau tugas yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO kepada setiausaha agung.

1. bertanggungjawab kepada presiden
2. bertanggungjawab atas kesempurnaan sidang-sidang Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung.
3. menyediakan Penyata Tahunan yang menerangkan pekerjaan dan kemajuan parti dalam masa setahun kepada Majlis Tertinggi.

Itu saja.

Bagaimana pula dengan pengerusi dan setiausaha Badan Perhubungan Negeri, apa tugas yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO.

Pengerusi ditugaskan untuk melantik setiausaha, ketua penerangan dan bendahari; memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan; bertanggungjawab atas semua pegawai dan anggota pejabat Badan Perhubungan.

Setiasuaha Badan Perhubungan pula bertanggungjawab secara langsung kepada pengerusi; bertanggungjawab atas kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat dan pejabat perhubungan; dan memanggil mesyuarat.

Jadi, atas peruntukan mana dan perkara mana dalam Perlembagaan UMNO yang digunapakai oleh Rosol Wahid apabila dia menyatakan bahawa Ahmad Said dipecat daripada parti? Dia tiada kuasa, Idris Jusoh selaku pengerusi pun tiada kuasa, Pak Lah selaku presiden pun tiada kuasa apatah lagi Teuku Adnan Teuku Mansor yang begitu ghairah memegang jawatan setiausaha agung.

Kalau barisan kepimpinan UMNO sendiri tidak mengikut dan berpandukan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO, siapa yang nak ikut? Jangan salahkan anak apabila dia kencing berlari apabila si bapa kencing berdiri.

Seperti yang pernah saya utarakan sebelum ini, hanya Lembaga Disiplin yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan ke atas anggota yang melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan kesalahan lain yang disenaraikan dalam Tataetika Ahli UMNO.

Majlis Tertinggi diberi kuasa untuk menubuhkan Lembaga Disiplin dan ahli-ahli Lembaga Disiplin yang dilantik oleh Majlis Tertinggi mesti terdiri dari ahli-ahli yang tidak berjawatan dalam parti dan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilihan.

Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian. Mungkin peruntukan ini yang digunapakai oleh Rosol Wahid tetapi persoalnnya, bilakah Majlis Tertinggi bersidang untuk berbuat demikian?

Selain daripada itu, Lembaga Disiplin di peringkat Badan Perhubungan Negeri atau Bahagian, setelah mendengar dan berpuas hati terhadap pelanggaran peruntukan Perlembagaan UMNO atau Tataetika Ahli UMNO, boleh mengenakan mana-mana hukuman setakat yang diperturunkan kuasa oleh Majlis Tertinggi.

Persoalannya, bilakah Badan Perhubungan UMNO Terengganu menubuhkan Lembaga Disiplin dan bila pula ia diarahkan oleh Majlis Tertinggi untuk berbuat demikian?

Oleh itu, tindakan Rosol Wahid mengumumkan pemecatan atau apa-apa tindakan lain ke atas Ahmad Said adalah tidak mengikut semangat Perlembagaan UMNO atau Tataetika Ahli UMNO.
Dalam erti kata lain, tidak sah.

Yang jelas dan nyata dalam Perlembagaan UMNO ialah Perkara 20.10 yang menyentuh tentang pemecatan seseorang ahli yang bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya dan ahli yang dipecat itu tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

Dalam kes Ahmad Said, dia bertanding atas tiket Barisan Nasional bukan sebagai calon bebas atau atas tiket parti lawan. Jadi, dia tidak boleh dikenakan tindakan berasaskan Perkara 20.10 Perlembagaan UMNO.

Nampaknya, isu atau krisis perlembagaan membabitkan perlantikan MB Terengganu menjadi semakin kusut dan jalan penyelesaian mungkin tidak dapat dicapai oleh pihak-pihak yang terbabit.

Jalan terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan dan untuk mengelak kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah diberi mandat untuk mengadakan semula pilhan raya peringkat negeri Terengganu.

Kita bimbang sekiranya krisis ini tidak dapat diselesaikan secara baik dan aman, Kerajaan Persekutuan berkemungkinan akan menggunakan kuasanya untuk mengisytihar darurat dan meggantung Perlembagaan Negeri dan mengambil alih kuasa pemerintahan sehinggalah darurat ditarik balik.


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: