Monday, March 3, 2008

RAYUAN KEPADA PENGUNDI POS / polis dan tentera, tunjukkan kepahlawanan anda

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)
(Cetak dan Sebarkan Berita Kepada Rakyat!)



JasinDaily
RAYUAN KEPADA PENGUNDI POS
Oleh : Abu Abdullah

Saudara-saudari pengundi pos yang dihormati, hari pengundian PRU ke-12 kini semakin hampir. Antara undi yang bakal dikira bagi menentukan keputusan pilihan raya kelak ialah undi anda. Malah banyak kerusi dipengaruhi undi pos. Di sebalik uniform yang dipakai, anda adalah rakyat Malaysia seperti kami orang-orang awam. Keresahan, penderitaan dan jeritan hati rakyat sebenarnya di sekeliling anda di dalam keluarga dan masyarakat. Begitu banyak keluhan kedengaran kini tanpa perlu penjelasan lanjut apakah yang dimasygulkan rakyat.

Namun sebagai pegawai yang diamanah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, anda mengalami satu situasi yang kami orang awam tidak rasai. Sebelum membuat keputusan untuk memberikan undi anda kepada siapa, dengan rendah diri saya merayu anda menimbangkan perkara berikut :

Kedudukan anda sentiasa dieksploitasi BN.

Mereka tidak dapat membezakan antara pegawai kerajaan dan pegawai parti. Anda yang berkhidmat sebagai pegawai polis tentu dapat merasakan situasi diperkudakan semau-maunya oleh ahli politik. Malangnya kerapkali berlaku orang awam akan menganggap anda sebagai pegawai keselamatan negara akan dibenci bila arahan ahli politik anda laksanakan. Kami mengerti anda dalam dilema, jangan biarkan ianya berlarutan.

Orang awam disalahkan bila memperjuangkan hak kita.

Tuntutan BERSIH supaya dimansuhkan undi pos tidak dilayan pemerintah BN. Kami faham ada antara anda mengundi di hadapan tuan-tuan anda malah ada terlalu ramai pesara yang mengakui tidak pernah melihat kertas undi semasa dalam perkhidmatan dan lebih menarik lagi ada yang mengaku memangkah banyak kertas undi bagi pihak orang lain tetapi mengikut kehendak orang tertentu. Undi kita sama nilainya namun hak anda memilih secara demokrasi dinafikan, tentu anda tidak rela.

Kepentingan kami adalah kepentingan anda juga.

Protes kami dalam bentuk tunjuk perasaan aman terhadap kenaikan harga barang, tol, bahanapi dan seumpamanya disuraikan oleh anda dengan arahan pemerintah BN. Kami tahu anda sedar apa yang kami perjuangkan melibatkan kepentingan anda juga. Dan anda tentu jelas tidak pernah terlintas di hati kami membuat rusuhan, mengganggu orang awam lain, menjejaskan aktiviti ekonomi dan pelancongan atau merosakkan harta benda awam. Namun cerita kesudahannya menjadikan kita bermusuhan. Anda perlu tegaskan dan luahkan perasaan yang dipendamkan selama ini melalui undi anda.

Nyawa anda diperjudikan.

Perkara utama yang difikirkan oleh pemimpin BN ialah keuntungan sama ada dalam bentuk komisyen, rasuah dan barang sebagainya. Pembelian dan penggunaan helikopter Nuri dan pesawat Skyhawk yang anda gelarkan The Flying Coffin itu telah membunuh begitu ramai perwira negara yang merupakan ahli keluarga kami. Dan yang terkini kualiti PV dan pembelian kelengkapan ketenteraan turut dipersoalkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu tetapi menterinya masih bebas dan terus berbohong kepada rakyat. Anda sebagai pengguna akhir pembelian curang ini menanggung risiko besar tanpa boleh melanggar arahan patuh kepada perintah. Jangan biarkan ini berlarutan, pilih hanya yang amanah dan berwibawa melalui undi anda.

Persekongkolan yang tidak diredhai.

Dengan tidak meletakkan hukum Allah sebagai pertimbangan memerintah, banyak tindakan penguatkuasaan dan pencegahan yang anda buat jelas sia-sia, tidak akan berjaya menurut matlamatnya, membuang masa, wang ringgit keringat dan tenaga. Anda membuat intipan, merancang tindakan, membuat serbuan dengan merisikokan nyawa akhirnya ada tangan ghaib yang menyuruh penjenayah yang diberkas itu dibebaskan. Nampak lucu, tapi itulah realiti di Malaysia ini. Hentikan babak begini bagi hari-hari yang mendatang selepas 8 Mac, 2008 ini. Anda tahu caranya.

Yakinlah hukum Allah yang terbaik untuk manusia.

Kadangkala seolah-olah tiada kesudahannya usaha pencegahan dan penguatkuasaan yang anda jalankan. Indeks jenayah semakin tinggi dan meruncing hari demihari. Ini berlaku akibat engkarnya pemimpin menjalankan pemerintahan menurut hukum Allah. Cuba anda bayangkan hukuman bagi pencuri ialah potong tangan. Tidak akan ramai yang teringin mencuri, kerja anda menjadi ringan banyak pihak turut menerima faedah seperti pihak kehakiman, pihak penjara dan negara secara amnya lebih aman dan makmur serta wang ringgit dan fikiran boleh digunakan untuk aktiviti yang lebih bermenafaat. Semuanya boleh berlaku dengan adanya cegahan dari Allah.Mari kita sama-sama realisasikan bayangan ini dengan mengundi untuk keadilan Islam.

Menguatkuasakan undang-undang rimba.

Akta ISA yang terkenal zalim itu pun terpaksa anda kuat kuasakan demi kepentingan politik BN. Akal yang sihat dan waras sudah cukup untuk menyatakan orang yang didakwa bersalah mesti dibicarakan dan dijatuhi hukuman sewajarnya jika dakwaan itu terbukti benar. Apatah lagi jika kita menggunakan hujah agama. Apakah rakyat boleh menelan bulat-bulat alasan tidak cukup bukti sedangkan kebanyakan mangsa ISA adalah tahanan politik semata-mata. Atau anda pun setuju jika anda sendiri atau ahli keluarga anda ditahan secara begitu sesuka hati pemerintah ? Tentu tidak dan elakkan membuat kerja yang akan disoal rakyat dihadapan Allah kelak.

Anda dikambing hitamkan sewenang-wenangnya.

Tidak perlu disenaraikan kes-kes ahli politik menyalahkan pasukan anda bila keadaan mereka terkepit seperti kes Memali. Orang awam ramai terbunuh, pegawai keselamatan juga terbunuh, hubungan kita menjadi tegang namun ahli politik mencuci tangan seolah-olah tidak bersalah mengeluarkan arahan demi kepentingan politik mereka. Malah kes Al-Maunah menjadi sandiwara berat melibatkan begitu ramai pegawai keselamatan. Bagaimana kita boleh membela diri ? Proteslah dengan undi keramat anda.

Anda diperbodohkan semau-maunya

Anda membawa stiker kenderaan dan memakai lencana � Jangan Rasuah � . Namun semua kita menyedari siapakah bapa kepada perasuah di Malaysia ini. Tanpa penglibatan rasuah yang menjadi darah daging politik pemerintah, bolehkah mereka berkuasa hari ini ? Anda tahu jawapannya!

Kesimpulannya, kita sama-sama merasai padahnya apabila selama ini diperintah oleh ahli-ahli politik yang membuat pertimbangan tembolok mereka sahaja. Mereka tidak akan kisah kepentingan agama, bangsa dan negara. Cukuplah apa yang kita alami selama ini dan jangan diwariskan keadaan ini kepada generasi kita seterusnya. Masa untuk berubah telah tiba. Anda mampu mengubahnya !

- Abu Abdullah


';Wahai polis dan tentera, tunjukkan kepahlawanan anda sewaktu mengundi'
Azamin Amin
Sun | Mar 02, 08 | 4:59:15 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Anggota tentera dan polis di seluruh negara disaran agar mengundi dengan penuh 'keberanian' dan tidak gentar dengan 'ancaman retorik' kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan memberi kesan langsung terhadap profesionalisme mereka.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata tanpa keberanian daripada sejumlah 221,085 pengundi pos, keputusan yang terbaik dalam mencorakkan masa depan dan melindungi kedaulatan negara tidak akan berjaya diperolehi.

"Tunjukkan kepahlawanan anda sewaktu mengundi dan gunakan hak sebaiknya untuk mempertahankan kedaulatan negara.Anda bukan berkhidmat kepada BN tetapi kerajaan yang memerintah, jadi jangan bimbang untuk mengundi Barisan Alternatif (BA) khususnya PAS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Malah segala hak, kemudahan, pangkat dan gaji anda tidak akan terjejas dan PAS akan memastikan kesinambungannya, " katanya yang memberi kata-kata semangat kepada pengundi pos yang bakal membuang undi beberapa hari sebelum hari pengundian 8 Mac ini.

PAS katanya, sentiasa memperjuangkan dan membela nasib rakyat yang semakin tertekan berikutan salah tadbir dan kepincangan BN menguruskan ekonomi negara yang menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuk anggota tentera dan polis, katanya.

Kata Mahfuz apa yang diperjuangkan PAS adalah untuk memastikan kehidupan anggota tentera dan polis serta seluruh rakyat Malaysia keluar daripada belenggu bebanan hidup yang tinggi dan supaya semua pihak dapat hidup dengan lebih selesa di masa akan datang.

Difahamkan hari ini telah berjalan proses membuang undi pos di Rejimen 6 Askar Melayu di Kedah manakala bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Alor Star akan membuang undi pada 4 Mac ini.

Turut dilaporkan pembuangan undi pos turut dijalankan pada 3 Mac di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk anggota polis yang bertugas sekitar wilayah persekutuan manakala bagi anggota tentera akan membuang undi di Mindef pada 5 Mac nanti.

"Saya nak memberi jaminan, anggota tentera dan polis tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tatatertib jika mengundi PAS atau Barisan Alternatif.

"Yang kena tindakan ialah anggota yang melanggar displin. Apa-apa yang dijanjikan atau 'diugut' oleh Menteri Pertahanan Dato' Seri Najib hanyalah perang psikologi untuk menakutkan anggota tentera," katanya. - mks




HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: