Monday, March 17, 2008

Rakyat Kelantan solat sunat, syukuri nikmat kemenangan

"Ummu Waheedah" assakynah@yahoo.com

Rakyat Kelantan solat sunat, syukuri nikmat kemenangan
Posted on Saturday, March 15 @ 18:38:13 MYT by greenboc
Berita Oleh kelantankini

"a
SEMPENA meraikan kemenangan besar PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lepas, ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat sunat tanda kesyukuran di Dataran Ilmu berhampiran Pejabat Perhubungan PAS negeri, semalam.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat berkenaan sejurus selepas kuliah mingguannya yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, wakil rakyat, pucuk pimpinan PAS serta para penyokong yang bertungkus lumus memastikan kemenangan besar PAS.

Bagi memberi keselesaan kepada orang ramai pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menyediakan beberapa khemah khas di jalan Dato' Pati iaitu tempat solat sunat itu didirikan.

Kehadiran luar biasa para penyokong PAS telah menyebabkan orang ramai bersesak-sesak di bawah khemah untuk menunaikan solat sunat tersebut, manakala selebihnya mendirikan solat di atas jalan tar sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah Taala.

Kuliah semalam merupakan yang pertama selepas kerajaan baru bagi penggal ke-12 dibentuk setelah PAS memenangi 38 kerusi DUN dan sembilan Parlimen.

Manakala KeADILan pula menang di sebuah kerusi DUN iaitu di Guchil dan tiga parlimen (Machang, Tanah Merah dan Ketereh).

Sebelum ini PAS pernah mencatat sejarah gemilang apabila gabungannya bersama Parti Semangat 46 (PMS46) yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) memenangi kesemua 39 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kelantan pada PRU 1990.

Sejak itu PAS tetap utuh sekalipun menghadapi ranjau besar apabila PMS46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bertindak menikam PAS dari belakang apabila bertindak keluar daripada pakatan APU dengan menyertai semula BN.

Bagaimanapun BN terus buntu mencari formula terbaik untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS. Pada PRU 2004 PAS sekali lagi melalui saat-saat genting yang sukar dilupakan.
Ketika negeri lain menyaksikan Menteri Besar masing-masing telah mengangkat sumpah, Kelantan masih terumbang ambing apabila kedudukan kerusi DUN PAS dan BN terikat pada 19-19, ekoran baki tujuh lagi kerusi terpaksa dibuat pengiraan semula.

Situasi pada waktu itu ternyata sangat sukar. Selepas tamat pengundian dan pengumuman dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tinggal Kelantan satu-satunya negeri yang tidak dapat diputuskan pemenang mutlak untuk menerajui kerajaan negeri.

Hanya dua hari selepas pengundian, baru kerajaan negeri Kelantan dapat dibentuk dengan keputusan akhir PAS menang tipis di 24 kerusi dengan kelebihan dua kerusi bagi membentuk kerajaan negeri manakala BN menguasai 21 kerusi.

Kedudukan PAS selepas itu kian genting apabila hilang satu lagi kerusi kepada BN pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Bagaimanapun berkat sokongan dan doa rakyat Kelantan yang tidak putus-putus, PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan pada PRU-12 dengan kemenangan yang tidak disangka-sangka.

Bahkan Kelantan muncul negeri pertama dapat membentuk kerajaan negeri sebaik Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengangkat sumpah bersama 10 anggota Exconya di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, Selasa lalu.

Ketika ini beberapa negeri dikuasai BN masih lagi belum membentuk kerajaan negeri masing-masing. Usahkan Exco, bahkan menteri besarnya pun belum lagi mengangkat sumpah. Itulah nikmat besar dianugerah Allah kepada rakyat Kelantan.

kelantankini. com


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: