Thursday, March 6, 2008

Projek pusat di Kelantan banyak terbengkalai - MB

"Joe Ibrahim" hotbiz2all@gmail.com

KOTA BHARU, 4 Mac (Hrkh) - Sambil mengulangi bahawa tidak ada sebab bagi rakyat Kelantan memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan banyak projek kerajaan pusat di negeri itu yang terbengkalai.

ImageAntara lain, katanya, ialah projek menaik taraf longkang di Pengkalan Pasir yang dijanjikan dalam pilihan raya kecil di situ 2005 lalu.

Walaupun hampir tiga tahun pilihan raya kecil itu telah berlalu, Tuan Guru memberitau sidang media harian di sini bahawa projek yang dijanjikan itu "sampai sekarang terbengkalai".

"Tak ada sebab nak undi Umno (BN). Projek (kerajaan) pusat di Kelantan (banyak yang) terbengkalai," katanya.

Mengenai sambutan anak-anak Kelantan di perantauan dalam pertemuan dengan mereka di Lembah Kelang baru-baru ini, Tuan Guru menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana sambutan yang begitu hebat.

"Ada duit, balik mengundi. Tak ada duit, naik bas yang disediakan oleh parti lawan. Naik bas, takbir (menunjukkan sokongan kepada PAS)," secara berjenaka beliau mengulangi ingatan kepada mereka.

Beliau juga menyatakan harapan agar pilihan raya umum 8 Mac ini dijalankan dengan bersih.

"Kalau jatuh Kelantan kerana tipu ... Akhirat esok saya akan dakwa (di mahkamah Tuhan)," tegas beliau.

Ketika ditanya mengenai konsep negara berkebajikan yang dikemukakan oleh PAS, Tuan Guru menjelaskan: "Bila dikontrol oleh parti Islam, tentulah kebajikan cara Islam. Kalau setakat kebajikan, komunis pun kata dia buat kebajikan".

Kebajikan dalam Islam, katanya, mempunyai kaitan dan berpanjangan hingga ke Akhirat.

Islam, katanya, menekankan supaya umatnya melaksanakan ihsan atau berbudi.

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: