Sunday, March 30, 2008

Pilihanraya datuk bandar KL

Topeng Perak@


Muda Mohd Noor | Mar 26, 08 6:33pm

Penduduk bandar raya Kuala Lumpur berpeluang memilih sendiri calon Datuk Bandar kegemaran mereka jika kerajaan meminda satu akta untuk membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan.

Cadangan ahli parlimen pembangkang untuk mewujudkan pilihanraya itu, termasuk memilih ahli-ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini.

Katanya, Akta Ibukota Persekutuan 1960 (Akta 190) perlu dipinda kerana, buat masa ini, jawatan itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN memenangi satu kerusi sahaja, manakala pembangkang merampas 10 kerusi - rekod pertama dalam sejarah pilihanraya umum - dengan pecahan lima DAP, empat PKR dan satu PAS .

Sementara Labuan dan Putrajaya, dua lagi kawasan Wilayah Persekutuan, kekal di tangan BN.

Awal minggu ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chua, dilaporkan akan mendapat pandangan orang ramai berhubung pilihanraya bagi memilih anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasil rumusan tinjauan orang ramai itu akan diserahkan kepada kabinet untuk keputusan akhir.

Pilihanraya kerajaan tempatan pernah dijalankan 40 tahun lepas tetapi kemudiannya dimansuhkan.

Mengulas isu ini, Zulhasnan berkata perkara ini sedang diperhalusi oleh kementerian Ong dan ia akan dapat memberi jawapan yang lebih jelas.

Ahli parlimen Setiawangsa juga berkata, satu sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan, termasuk 10 wakil pembangkang, akan diadakan 4 April ini.

"Kita akan menjemput semua ahli parlimen termasuk pembangkang bagi membolehkan mereka mendengar segala rintihan, pandangan dan cadangan yang ingin dibangkitkan oleh wakil rakyat," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Lanjutan daripada itu, kementerian berkenaan akan mengadakan "Retreat Merakyatkan Wilayah Persekutuan" yang dijadualkan pada 17 hingga 19 April depan.

Zulhasnan berkata, selain wakil rakyat, perbincangan ini turut membabitkan ketua-ketua jabatan dan agensi Wilayah Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk bagi membuka peluang mereka membahaskan masalah, isu dan pandangan terhadap dasar-dasar sedia ada.

"Menerusi cara ini, saya yakin kerajaan menerusi kementerian dan DBKL berupaya untuk memahami aspirasi rakyat dan membolehkan kami memperhalusi, menambah baik dan merangka dasar dan strategi yang berkesan untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur.

"Ia sebahagian daripada pelan strategik kementerian ini. Ia merupakan langkah proaktif Kementerian Wilayah Persekutuan dalam memperkasa sumbangan kami kepada rakyat terutama di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Katanya, hasil pertemuan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri bagi membentuk hala tuju baru dan usaha penambahbaikan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: