Sunday, March 23, 2008

Perantau Minta Utamakan Kepentingan Rakyat Terengganu

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com


Posted on Saturday, March 22 @ 09:13:57 MYT by SongkokPutih
Kenyataan Media Oleh Perantau



 K.Lumpur : Anak-anak Terengganu diPerantauan kesal dengan pergolakan politik yang berlaku di Terengganu sekarang ini menyebabkan kerajaan yang baru tidak dapat dibentuk sebagaimana di negeri-negeri lain yang telah selesai membentuk kerajaan pilihan rakyat sama ada yang di tadbir oleh kerajaan Barisan Nasional ataupun kerajaan Barisan Rakyat @Alternatif.


Ikatan Anak-Anak Terengganu diPerantauan (PERANTAU) kesal dengan kenyataan Peguam Negara, Dato’ Abdul Gani Patail yang mencampuri urusan negeri Terengganu dengan mengatakan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak berhak campor tangan dalam urusan perlantikan Menteri Besar.


PERANTAU yakin kesultanan Terengganu telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang tubuh negeri Terengganu. Menurut Setiausahanya, Sdr Suhaimie Embong, semua parti-parti politik hendaklah akur dengan perlembagaan negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Menteri Besar adalah kepada Sultan yang memerintah.


Pengalaman pergolakan politik yang berlaku di Perlis dan Perak selepas pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini hendaklah menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa institusi kesultanan kekal relevan menjadi payung kepada penyelesaian kekalutan politik yang berlaku di negeri masing-masing.


Jika kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru tidak berjaya diselesaikan, PERANTAU mencadangkan satu pilihanraya baru yang bersih, adil dan telus dapat diadakan segera selepas tempoh 60 hari dari tarikh keputusan pilihanraya yang lepas supaya sebuah kerajaan baru yang diterima oleh semua pihak dapat dibentuk demi kepentingan rakyat.


PERANTAU menaruh harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional agar mengutamakan kepentingan rakyat negeri Terengganu dengan menamakan calon Menteri Besar yang baru yang dapat diterima oleh kesultanan Terengganu demi memelihara martabat dan kedaulatan kesultanan Negeri Terengganu yang menjadi payung kepada rakyat bernaung.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: