Monday, March 17, 2008

PAS akan terus mempertahankan prinsipnya

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

PAS akan terus mempertahankan prinsipnya
Roslam SMS
Sun | Mar 16, 08 | 4:32:16 pm MYT


Sdr Zulkiflee Bakar dalam runagan rencananya dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini membawa satu tajuk yang menarik iaitu: Apa pendirian PAS?

Saya boleh menghidu agenda beliau, maklumlah kita tahu ke mana condong anutan politiknya tetapi marilah, dalam hal ini kita bicarakannya secara objektif. Bersandarkan fakta yang jitu dan tepat serta hakikat semasa. Sebenarnya awal-awal lagi Sdr Zul telah memutarbelitkan fakta dan cuba menegakkan hujahnya dengan maklumat palsu, apabila kata beliau:

Malahan pada sidang akhbar sebelum pilihan raya umum lalu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan tegas menyatakan "PAS dan DAP tidak akan mempunyai kerjasama sampai bila-bila."

Saya tidak tahu sidang akhbar yang mana satu yang beliau maksudkan itu, tetapi setahu saya sebagai individu yang bertanggungjawab atas urusan media Presiden PAS, Tuan Guru tidak pernah dalam tempoh itu sekali-kali berkata sedemikian. Memang ungkapan bahawa PAS tiada kerjasama dengan DAP itu selalu diucapkan, tetapi menyatakan yang PAS tidak akan mempunyai kerjasama dengan DAP sampai bila-bila itu adalah fitnah dan satu penipuan.

Berbalik kepada artikel beliau itu, Sdr Zul mengakui kecermerlangan prestasi PAS dalam PRU ke-12 ini dengan menyentuh pencapaian PAS di Kelantan dan Kedah dan di negeri-negeri lain. Lalu beliau mengemukakan persoalan:

Namun persoalannya kini dengan DAP semakin berkuasa di beberapa negeri yang ditawan oleh pembangkang, apakah pendirian PAS dalam perjuangan Islamnya?

Tanpa memberikan jawapannya sendiri, Sdr Zul menghuraikan pula status PAS dalam kerajaan-kerajaan campuran khasnya di Perak dan Selangor. Betapa kedudukan PAS begitu kritikal kata beliau kerana kehadiran PAS lah (walaupun cuma 6 di Perak dan 8 di Selangor) menjadi penentu "survival" kerajaan baru di negeri-negeri berkenaan. Sdr Zul cuba menyarankan agar PAS menjadi "pengawal" kepada DAP. Sdr Zul cuba menggambarkan DAP sebagai satu makhluk cauvinis, ekstrim, anti Melayu dan Islam (sekurang-kurangnya itulah bacaan saya), lalu yang hanya boleh mengawal DAP adalah PAS.

Dalam erti kata lain Sdr Zul cuba menggambarkan senario PAS kini dalam kerajaan-kerajaan campuran yang dimaksdukan. Seolah PAS cuma pandangan pada kuasa, PAS sanggup menggadaikan perjuangan kerana kuasa, sanggup bersekongkol dengan DAP atas dasar kuasa. Itulah agenda tulisan beliau kerana beliau akhirinya dengan menyebut:

Persoalannya dalam situasi sekarang, apakah warna sebenar politik PAS? Adakah pemimpin Pas akan membiarkan mereka dipermainkan oleh DAP? Atau mungkin kerana kuasa segala prinsip perjuangan dikorbankan? Hanya masa akan menentukan.

Saya ingin menasihati Sdr Zul bahawa rakyat telah pun bersuara melalui PRU ke-12 lalu, suka atau tidak, selesa atau sakit, suara rakyat perlu dihormati. Demi mempertahankan keputusan rakyat itu PAS memutuskan untuk membentuk kerajaan campuran walaupun sedar DAP hadir di dalamnya. Kalau Sdr Zul tidak memutarkan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS semasa pelancaran Manifesto PAS: "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan" , beliau akan dapati bahawa dalam majlis itu Presiden PAS berkata (apabila diajukan tentang persoalan darihal kerjasam PAS dan DAP) , kta tunggu bila tiba masanya. Bermakna bila tiba suasana itu PAS akan membuat keputusan dan kini PAS telah pun memutuskannya.

Soalnya adakah akan tergadai maruah perjuangan PAS apabila berkerjasama dengan DAP ini? Sdr Zul dengan kecenderungan politiknya sudah pastilah akan menjawab: Ya!

Tetapi hakikatnya dalam kemelut politik hari ini, semua mengakui bahawa PAS lah yang paling kelihatan matang dan mempamerkan kedewasaan. PAS saya yakin akan terus mempertahankan agenda Islam dalam apa keadaan sekalipun, kerana ia Parti Islam, kekalahan atau kemenangan tidak akan merobah hakikat itu. Sama ada PAS pembangkang, PAS membentuk kerajaan negeri, PAS bersama BN (tahun 70an) atau kini PAS bersama PKR dan DAP, tidak sesiapa pun yang bekuasa mengikis atau mematikan matlamat perjuagan PAS itu.

Kini PAS sudah membentuk kerajaan (selain di Kedah dan di Kelantan) bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Asas pembentukkan kerajaan itu sudah pastilah berdasarkan muafakat hormat-menghormati dan saling faham-memahami. PAS sudah pasti akan berusaha melaksanakan agendanya dalam ruang-lingkup dan keterbatasan yang ada baginya. Mana yang mudah dan boleh diterima semua, diberikan keutamaan manakala yang rumit dan perlukan kefahaman dikemudiankan, bermakna prinsip bukan dikorbankan tetapi dipelihara dan dimantapkan.

Bagaimana kalau berlaku pertembungan, bagaimana kalau perlu pilih antara menerima atau menolak Islam? Di sinilah kedudukan kritikal PAS dalam kerajaan tadi akan diambil-kira oleh semua. PKR dan DAP sedar akan hakikat ini, begitu juga PAS. Kita mengharapkan kerajaan ini tidak akan menghimpit PAS sampai ke peringkat itu, tetapi sekurang-kurangnya dalam hal Perak dan Selangor ini, PAS sudah ada ruang untuk bekerja, tidak seperti Perak dan Selangor di zaman Umno/BN yang menyisih dan mempersetankan peranan PAS sama-sekali!

Berbalik kepada persoalan Sdr Zul tadi, insyallah warna PAS tetap hijau, pemimpin PAS tidak akan mengorbankan prinsip dan membiarkan mereka dipermainkan bukan hanya oleh DAP dan PKR malah oleh BN dan Umno sekalipun. Insyallah masa akan menentukan yang PAS adalah rakan kongsi yang terbaik buat PKR dan DAP, dan dalam kerjasama "win-win" ini. Dan yang akan paling banyak mengaut keuntungan dan manfaat dari kerjasama politik baru ini adalah rakyat jelata sendiri termasuklah kawan-kawan Sdr Zul dari Umno dan BN jika mereka insaf.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
S/U Akhbar Presiden PAS


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: