Friday, March 7, 2008

Kos RM3 juta dakwat kekal boleh bantu 6,000 orang miskin

"Abdul Nizam" abdulnizam@mmi.com.sg

Kos RM3 juta dakwat kekal boleh bantu 6,000 orang miskin
Nur Ab Rahman
Thu | Mar 06, 08 | 4:19:48 pm MYT

KERAMAT, 6 Mac (Hrkh) – Kos RM3 juta bekalan dakwat kekal yang dianggap `kecil’ oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) boleh dimanfaatkan untuk memberi bantuan kepada 6,000 orang miskin dan setiap orang boleh mendapat RM400, tegas calon PAS Parlimen P1119 Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Haji Datuk Ghazali.

Tegas beliau, jumlah tersebut begitu bermakna bagi rakyat yang memerlukan, sedangkan SPR menyifatkan jumlah itu agak `kecil’ jika dibandingkan dengan kos pengendalian pilihan raya sebanyak RM200 juta.

"Bila penggunaan dakwat kekal ini dimansuhkan, jumlah RM3 juta itu merupakan satu pembaziran yang begitu besar nilainya. Apa yang dilakukan oleh SPR ini telah membangkitkan kemarahan rakyat, rakyat tertipu dan ditipu," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu pembatalan dakwat kekal oleh SPR Selasa lepas.

Tegas beliau lagi, PAS begitu kesal dan marah dengan sikap tidak professional SPR berhubung perkara itu, sedangkan sebelum ini calon-calon dari Barisan Alternatif begitu komited dengan peraturan-peraturan yang dikenakan.

Perkara itu juga katanya, sama seperti yang berlaku semasa hari penamaan calon di mana SPR telah memansuhkan syarat duti setem dalam borang pencalonan.

"Semua yang dilakukan ini benar-benar menyusahkan kita dan rakyat. Tahun lepas PAS sudah diberi taklimat dan demo penggunaan dakwat kekal, tiga hari sebelum penamaan calon, SPR mewajibkan duti setem, tiba-tiba saat-saat akhir, duti setem seolah-olah tidak ada makna lagi.

"Bayangkan betapa besar kebimbangan kami (calon-calon) dalam usaha mematuhi segala arahan SPR. Saya yakin apa yang dilakukan oleh SPR ini untuk 'menyelamatkan' Umno dan Barisan Nasional yang tidak mematuhi segala arahan tersebut. Ini jelas satu pembohongan kepada rakyat yang dilakukan secara terang-terangan, " katanya.

Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar dalam satu kenyataan dalam sebuah laman web berkata, pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk mendapatkan bekalan dakwat kekal ini.

Dari segi nilai kewangan, perbelanjaan mendapatkan bekalan dakwat kekal ini adalah kecil berbanding nilai keseluruhan kos pengurusan pilihan raya iaitu RM200 juta. "Penggunaan RM3 juta ini boleh dijelaskan kepada kerajaan", katanya.

Sementara itu, Dr Lo’Lo menambah, kesan daripada pembatalan dakwat kekal itu juga turut memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu mengundi lebih dari sekali. Ini berdasarkan beberapa aduan yang beliau terima di Titiwangsa mengenai nama pemilih yang mempunyai dua dan tiga tempat mengundi.

"Ada juga bekas tentera yang sudah menukar kad pengenalannya sebagai pengundi awam tetapi namanya masih ada dalam undi pos. Siapa yang mengundi kita pun tak tahu sedangkan mereka sudah menukar kad tentera, ini menunjukkan undi pos satu kepincangan yang masih tidak diperbetulkan oleh SPR.

"Yang kita hairan berani pula SPR beri jaminan tidak ada pengundi hantu. Kalau SPR kata tidak ada pengundi hantu bagaimana boleh ada dua tiga tempat mengundi. Itupun bagi mereka yang prihatin, bagi yang tidak membuat semakan daftar pemilih, siapakah yang akan mengundi bagi pihak pengundi berkenaan?," soal beliau.

Dr Lo’Lo yang juga doktor perubatan meyakini SPR cuba bersekongkol dengan BN untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.

Katanya, SPR sanggup melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan kehendak dan kebimbangan rakyat di samping menafikan hak rakyat untuk memilih kepimpinan negara.

"Banyak sms yang saya terima menyifatkan SPR sebagai 'suruhanjaya pembohonan rakyat', 'suruhanjaya penipu rakyat', saya tidak hairan kalau BN meraih kemenangan kerana cara mereka mencapai kemenangan jauh menyimpang dari faktor-faktor kemanusiaan.

"Bagi PAS yang terpaksa berhadapan dengan seribu satu macam rintangan tetap bersedia dengan apa sahaja keputusan. Saya percaya jika pilihan raya umum dilaksana dengan adil, kemenangan akan menjadi milik kita," katanya. - mns Cetak

Umno gunapakai taktik 2004 di Terengganu dalam misi tawan Kelantan
Wartawan Kita
Thu | Mar 06, 08 | 4:14:03 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) – Umno Kelantan kini difahamkan bakal menggunakan taktik serupa yang pernah dilaksanakan di Terengganu dalam misi menawan Kelantan Sabtu ini.

Kali ini bukan anak Kelantan yang berada di perantauan menjadi target, sebaliknya rakyat dari Thailand dan Indonesia yang diberi kad pengenalan difahamkan sedang dipunggah ke Kelantan.

Menurut sumber pengundi tidak dikenali itu sedang dihimpunkan di lokasi tertentu di Kuala Lumpur sebelum diangkut ke sini.

Sumber lain pula memberitahu kira-kira 30,000 rakyat dari Thailand dan Indonesia baru mendapat kad pengenalan dan dijangka dihantar ke Kelantan untuk mengundi pada 8 Mac ini.

Mereka akan diangkut ke Selangor dan Kuala Lumpur sebelum berkonvoi ke Kelantan.

Selain itu kira-kira 4,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi juga akan bertolak ke Kelantan malam ini.

Pelajar terbabit difahamkan diberi duit poket sebanyak RM250 setiap seorang dan akan diangkut dengan bas bagi mengundi di kawasan yang telah ditetapkan.

“Andaian itu dapat dilihat apabila Ketua Polis Negara sendiri turun ke bawah sekarang dan telah memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak mengganggu mereka yang mahu pulang mengundi,” kata satu sumber.

Menurutnya kenyataan itu dilihat selaras dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan cadangan menggunakan dakwat, biar pun lebih RM1 juta telah dibelanjakan bagi membeli dakwat di luar negara.

Dan lebih melucukan lagi Umno Kelantan difahamkan sedang menyiapkan kabinet bayangan Exco kerajaan negeri untuk mentadbir Kelantan.

Difahamkan satu majlis 'reherseal' atau simulasi bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri akan diadakan.

Bahkan, Umno juga sedang menyiapkan senarai profil anggota Exco baru yang akan mentadbir Kelantan. - mj Cetak

Pembangkang perlu pilihan raya aman untuk ajar BN, SPR
Abdul Halim Mohd Rashid
Thu | Mar 06, 08 | 2:27:44 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menggesa semua rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini supaya memastikan mereka mengundi pembangkang sebagai protes kepada tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dituduh semakin ganas membunuh satu demi satu proses pilihan raya yang demokratik dalam negara ini.

"Pada hari Sabtu ini (8 Mac), itulah cara terbaik yang ada kepada kita untuk mengajar SPR, undi pembangkang. Selepas itu kita akan gunakan pelbagai proses lain pula, selagi tidak berlawanan dengan undang-undang, " kata beliau.

Walaupun enggan menyatakan dengan lebih lanjut beberapa maklumat yang memberi amaran tentang pelbagai rancangan Barisan Nasional (BN) untuk menimbulkan huru-hara sebelum dan pada hari pengundian Sabtu ini, Salahuddin meminta semua pihak memastikan mereka keluar mengundi pembangkang, walau apa pun terjadi.

"Kalau ada sesiapa cetuskan huru-hara, beritahu orang ramai bahawa itu bukan kerja pembangkang kerana pilihan raya yang aman amat diperlukan bagi membolehkan rakyat yang berakal waras mengundi pembangkang, " kata beliau.

Salahuddin yakin, dengan mandat yang lebih besar yang diperolehi oleh pembangkang, perjuangan untuk memastikan SPR tidak menjadi penipu dan pembohong yang jijik dan jahat akan lebih berkesan.

"Luahkan rasa tidak puas dengan memastikan setiap undi, terutama undi keluarga dan rakan-rakan kita, diberikan kepada pembangkang.

"Gunakan setiap masa sebelum dan pada hari Sabtu ini untuk mencetuskan protes raksaksa rakyat Malaysia terhadap SPR dengan memastikan tidak ada satu undi pun diberikan kepada BN oleh keluarga dan rakan-rakan kita.

"Jadikan pilihan raya ini sebagai pilihan raya yang memberikan kata putus rakyat Malaysia kepada BN bahawa tidak ada lagi yang sanggup bersabar dengan kekejaman, kezaliman, penindasan dan penyelewengan BN," tegas beliau.

Salahuddin akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian yang dimenanginya 2004 lalu. Cetak

Slogan makan diri, BN Terengganu makin tertekan
Mat Zain Mat Isa
Thu | Mar 06, 08 | 2:23:20 pm MYT

Segala-galanya bagaikan tidak menjadi buat Barisan Nasional Terengganu dalam pilihan raya kali ini. Setelah isu pembangunan dan projek mega yang menjadi modal utamanya tidak berjaya menambat hati rakyat negeri itu untuk terus memberikan sokongan kepadanya, kini slogan-slogan bagi memperkuatkan propaganda pilihan raya BN satu demi satu kembali menikamnya.

BN Terengganu memulakan kempen pilihan raya kali ini dalam keadaan tempang. Persengketaan dalaman dan sikap berpuak-puak di antara pemimpin Umno Terengganu tidak pernah padam. Ia bagaikan api dalam sekam yang sentiasa membara.

Khalayak awam lebih tahu tentang pergolakan Umno Bahagian Marang. Ia dikesan berlaku sejak percaturan calon-calon untuk pilihan raya 2004 lagi. Perselisihan faham itu bertambah kusut dan membarah apabila BN menjadi parti memerintah Terengganu.

Keseriusan krisis di situ memaksa Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak berkunjung ke bahagian itu tidak kurang tiga kali dalam majlis besar bagi memperdamaikan puak-puak bersengketa.

Itu di Marang. Di Hulu Terengganu juga tidak kurang hebatnya. Seorang bekas Timbalan Menteri dikatakan tidak pernah sebulu dengan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Idris Jusoh.

Walau pun masih berpengaruh di kalangan masyarakat setempat, bekas Exco negeri dan bekas Ahli Parlimen ini akhirnya terpaksa disingkirkan. Idris lebih rela keadaan tidak tenteram bagi BN di situ dalam pilihan raya ini, asalkan pembantu setianya, seorang Exco penggal lalu berada dalam keadaan lebih selamat.

Apa yang berlaku di Dungun bagaimanapun paling mengejutkan. Walau pun rakyat awam sudah tahu tentang perselisihan faham antara Ketua Umno Bahagian itu dengan Idris, orang tidak menyangka beliau sanggp menggugurkan tokoh berpengaruh itu. Idris dianggap berani tetapi tidak bijak apabila mengambil tindakan itu di saat berdepan pilihan raya kini.

Itu suasana batang tubuh BN negeri ketika memulakan kempennya kali ini. Ia ibarat orang berbisul, demam panas dan sakit gigi yang sangat terganggu kecergasannya.

Barangkali itu tidak begitu mencemaskan BN. Kekurangan jentera petugas tidak pernah menjadi masalah besar buatnya. Parti itu boleh menggamit ratusan petugas sekelip mata menggunakan 'ubat' paling mujarab.

Ia juga sudah biasa menggunakan uslub paksaan, memaksa penjawat awam negeri hadir meramaikan majlis kempennya. Ia boleh mengerah para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyambut kedatangan pembesar.

Ia boleh memaksa imam/bilal dan penerima Wang Ehsan bertugas menjaga pos-pos dan markas BN. Amat jarang golongan terbabit berani mengingkari arahan itu kerana akibatnya sangat menakutkan.

BN turut bergantung kepada apa program-program pemerintahannya selama sepenggal lalu. Ia merasakan telah melakukan yang terbaik untuk manfaat rakyat. Sebab itu soal membangun dan memajukan Terengganu dengan perubahan fizikal sangat diulangsebut para pemimpin BN.

Puluhan slogan direkacipta bagi memasyhurkan kejayaan dan pencapaian BN. Ia sangat berharap slogan-slogan itu mampu membantu rakyat Terengganu makin terpaut untuk terus bersama BN sekali lagi kali ini.

Keadaan berlaku kini bagaimanapun adalah sebaliknya. Satu demi satu slogan-slogan diulangsebut BN itu diulas dan diolah semula oleh PAS bagi memalingkan serangan kembali ke arah BN.

BN berbangga dengan program "Menjana Generasi Ulul Albab". Malang sekali di waktu sama pemerintahannya mengabaikan aspek pembentukan keperibadian rakyat, terutama kelompok pelajar. Sektor ini dianggap banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat, terutama tunas generasi muda (kanak-kanak) .

Di mana gahnya program penjanaan generasi hebat itu sekiranya saban hari rakyat dihidangkan dengan laporan media mengenai kebobrokan moral dan keruntuhan akhlak pelajar di Terengganu?

Pelajar bergaduh ala-Samurai (menggunakan pedang) di padang sekolah, pelajar perempuan berkungfu kerana berebut jantan, pelajar terlibat seks bebas, pelajar berjudi tikam ekor, terlibat pil kuda dan ratusan lagi kes seumpamanya tidak menggambarkan kejayaan program Ulul-Albab tajaan BN itu. Itu hanyalah sebahagian contoh.

"BN Menang, Rakyat Senang", satu lagi slogan BN. Bahkan slogan ini antara yang paling dipopularkan BN Terengganu sejak 2004 dulu lagi. Kononnya di bawah pemerintahan BN rakyat negeri itu semakin senang kehidupan mereka. Betulkah begitu?

Rakyat Terengganu sebagai kumpulan paling terkesan dengan program dan corak pemerintahan BN tidak perlu diajar tentang jawabannya. Senangkah rakyat yang di zaman PAS dulu diberikan tanah tapak rumah, tetapi dirampas semula BN?

Rumah-rumah yang sedang mereka dirikan diroboh semahunya oleh BN. Ada yang disekat peluang mendapatkan pekerjaan disebabkan perbezaan politik. Ada juga yang digugurkan dari senarai penerima pelbagai bantuan kerajaan di atas perkiraan sama. Senangkah mereka?

Bagaimana pula dengan statistik mengenai peningkatan kadar kemiskinan di Terengganu? Cuba bandingkan, di zaman pemerintahan PAS, Terengganu di tempat keempat paling tinggi kadar kemiskinan rakyatnya.

Dalam tempoh dua tahun sejak BN mengambilalih, kadar itu melonjak kembali menjadikan Terengganu negeri kedua di seluruh negara paling tinggi jumlah isi rumah miskin tegarnya. Apakah itu petanda rakyat Terengganu semakin senang?

Menyedari slogan itu tidak menguntungkan, BN tampil dengan slogan baru. "BN – Beri Nikmat". Kata para pemimpin BN, pemerintahan parti itu telah membawa pelbagai nikmat kepada rakyat.

"Barang Naik pun Beri Nikmat?", tanya kembali satu pemidang dikeluarkan PAS.

"Hanya Allah berhak beri nikmat, bukan BN yang beri nikmat", jawab satu lagi pemidang PAS, agak sinikal.

Di masa sama, Idris mencipta slogan "Masihkah Kau Ingat?" bagi menyerang PAS atas beberapa peristiwa semasa pemerintahnya selama empat tahun (1999-2004) lalu. BN Terengganu sangat berharap dengan menyenaraikan belasan insiden yang dianggapnya tidak menyenangkan akan membuatkan rakyat serik untuk kembali memilih PAS.

Di dalam senarai "Masihkah Kau Ingat?" itu, BN antara lain mendakwa PAS membakar Tadika, satu fitnah yang tidak pernah dibuktikan. PAS dituduh menghalau kanak-kanak Tadika dari balai raya, juga satu tuduhan yang diputarbelitkan faktanya.

PAS didakwa memberikan tanah kepada kroni dan orang kaya. Apakah BN tidak mengulangi perbuatan itu? Bahkan lebih teruk, kerana di masa sama BN menafikan hak rakyat mendapatkan tanah.

Ada belasan lagi dakwaan terdapat PAS disenaraikan. Bagaimanapun, kalimah keramat "Masihkah Kau Ingat?" dicipta BN itu berjaya ditukar PAS sebagai senjata sangat tajam untuk kembali menikam BN.

Rata-rata di seluruh negeri terentang pemidang yang kembali mengingatkan rakyat kepada kezaliman BN. "Aku Masih Ingat, BN Rampas Tanah & Roboh Rumah Rakyat", "Rakyat Terengganu Masih Ingat, BN Roboh Masjid Bujal", "Ku Masih Ingat BN Pecat Imam/Bilal", "Rakyat Terengganu Tidak Akan Lupa, BN Bazirkan Wang Rakyat". "Kami Masih Ingat BN Tutup Sekolah Agama (Kusza, SRAB, Kostaq)". Itulah antara paku buah keras yang dipulangkan kepada BN.

Di beberapa kampung yang terlibat dengan kezaliman BN, penduduk setempat tampil menjawab dengan sepanduk tersendiri. "Ya, kami penduduk kampung ini masih ingat BN telah rampas tanah kami dan roboh rumah kami", tulis satu pemidang di Merang, Setiu.

Serangan balas PAS bahkan melangkaui isu-isu tempatan. "Masihkah Kau Ingat Ketua Menteri BN Kalah Judi RM16 juta?", tulis satu pemidang.

"Ku Masih Ingat Menteri BN Terlibat Video Seks", sindir satu lagi pemidang.

Kebijaksanaan PAS memanfaatkan slogan BN bagi menyerangnya kembali kini menjadi satu pukulan tidak tertanggung buat BN Terengganu. Meski pun menguasai segala macam kemudahan kerajaan, BN kini bagaikan mati hujah berhadapan PAS.

Mengambil kira kelam-kabut dan tekanan berat dihadapi BN kini, PAS sudah boleh dianggap menang. Sebagai parti pembangkang yang serba kekurangan dan ditohmah siang-malam menerusi segala saluran media serta kesempatan oleh BN, kemampuan PAS memberikan tentangan sengit sehingga mencemaskan BN adalah suatu yang di luar jangkaan BN.

Melihatkan keadaan BN ketika ini, penulis teringat kepada Almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob, bekas Ahli Parlimen Bachok dan penceramah PAS paling oratik itu. Beliau sering membuat satu perumpamaan bagi seseorang yang dalam keadaan tertekan dan dihujani malang bertimpa-timpa.

Katanya, ibarat seorang yang tersembam ke tanah. Acu nak bangun, kilas kain terloroh. Nak betulkan kain, tangan pula terkena tahi ayam. Tak boleh nak buat apa, berjerit (menangis) lah jawabnya.

Segala-galanya serba tidak menjadi buat BN Terengganu mutakhir ini. Doakanlah keadaan ini kekal sehingga 8 Mac nanti. BN tidak syak lagi bakal tersembam sekali lagi. Allahu Akbar! Cetak

Pengumuman SPR hakis keyakinan pelabur pada kerajaan BN
Salmiyah Harun
Thu | Mar 06, 08 | 2:06:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh)- Pasaran saham negara dikejutkan dengan kajatuhan mendadak indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebanyak 33.79 mata atau 2.57 peratus dan dijangakakan akan terus menjunam pada hari ini.

Kejatuhan indeks pasaran saham Malaysia itu membuktikan para pelabur asing telah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan BN, demikian menurut Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Menurutnya, kejatuhan mendadak pasaran saham negara itu adalah berkait rapat dengan ketidakyakinan pelabur asing terhadap senario politik semasa Malaysia.

Dari maklumat yang diterima, kata Roslan, salah satu faktor utama kejatuhan saham BSKL disebabkan pengumuman SPR tentang pembatalan dakwat kekal semasa mengundi.

"Ini membuktikan pengumuman tersebut telah menghakis keyakinan rakyat dan para pelabur asing terhadap ketelusan proses pilihan raya dalam negara, seterusnya mengancam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara," katanya.

Menurut salah seorang penganalisa saham yang dihubungi beliau, sesungguhnya peranan menafikan 2/3 majoriti BN di parlimen penting demi mengembalikan keyakinan itu di kalangan rakyat dan pelabur asing.

Beliau juga juga membidas kenyataan Timbalan Presiden Umno dengan memberikan 2/3 majoriti kepada BN, ia akan menstabilkan ekonomi negara.

"Rupa-rupanya terbukti semalam, indeks BSKL menjunam, tindakan membatalkan dakwat kekal 8 mac ini jelas menghakis keyakinan para pelabur asing terhadap ketelusan sistem pilihan raya negara," katanya.

Justeru tegasnya, tidak ada jalan lain untuk rakyat mengembalikan keyakinan kepada pelabur asing melainkan rakyat sendiri bertindak menafikan 2/3 majoriti BN pada 8 mac nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dato' Mustaffa Ali yang sepatutnya memberi sidang media pada hari ini tidak dapat menghadirkan diri kerana memberi komitmen kepada aktiviti berkempen, bagaimanapun Calon PAS Kuala Terengganu Mohammad Sabu menggantikan beliau. Turut sama, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Sabkhi Yusuf. - mns Cetak

Umno - dulu, kini dan...menyusahkan rakyat
LanH
Thu | Mar 06, 08 | 3:29:29 pm MYT

Dulu, semasa aku kecil Umno dan kapal layar cukup kuat di kampungku. Apa tidaknya, ayahku pun pernah jadi 'ranas' (runners) untuk Umno masa pilihan raya. Dapatlah $10 (dulu belum pakai tanda RM). Tok guru aku pun kuat sokong Umno. Katanya, orang Melayu bukan undi calon (kalau wakilnya bukan Islam), tetapi pemimpin teratas, Tunku atau Tun Razak.

Pengalaman masa kecilku dengan Umno, sedikit saja. Jadi aku tidak mahulah sentuh Umno zaman Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn. Masa itu aku tidak peduli bab politik. Yang aku tahu belajar dan terus belajar, maklumlah nak jadi orang pandai. Disebabkan orang tuaku bantu Umno dan tok guruku pun orang Umno, aku kira Umno masa itu oklah.

Aku nak cerita Umno selepas tahun 1986. Tahun itulah aku mula bekerja sebagai wartawan. Jadi tahulah aku sikit sebanyak pasal cerita Umno ini. Tahun 1986 ini, pemimpin Umno berkelahi besar. Tup-tup Musa Hitam 'resign' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, dia dan Mahathir dikatakan bagus 'kliknya'. Pemimpin 2M. Ini menyebabkan ada dua kumpulan dalam Umno. Ada geng Musa Hitam ada geng Dr Mahathir.

Peletakan jawatan Musa Hitam menyebabkan Umno berkrisis sepanjang tahun. Pemimpin menyalahkan satu sama lain. Sebagai pemberita, aku diheret ke sana, ke sini. Sanusi Junid, kata macam ini, Anwar Ibrahim kata macam itu pula. Ghafar Baba pula lain 'story', Khalid Yunus pula lain pula cakapnya.

Perbalahan pemimpin Umno ini habiskan 'current' saja. Buat aku penat, dan orang lain penat. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah.

Kemudian tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati, dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati. THE END. Apabila Umno sudah mati, aku sebagai wartawan lagi susah. Kena berkejar sana, berlari sana, buat liputan. Bukankah pemimpin Umno ini menyusahkan rakyat saja. Bergaduh sampai parti diisytiharkan sudah mati. Apabila parti mati barulah mereka berpuas hati, agaknya.

Apabila Umno mati, ada geng pulak dalam Umno. Punyalah dia orang menyusahkan wartawan seperti saya dan banyak orang lain. Kejap kena kejar PJ, kejap kena pergi Bangsar. Pada satu majlis di PJ, aku dengar Rais Yatim dan Ku Li (Tengku Razaleigh) lanyak cukup-cukup sama Dr Mahathir. Belasah sana, belasah sini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Yang kena (bagus) dia orang saja. Turut hadir Rahmah Osman, mana agaknya puan ini sekarang?

Apabila Umno sudah mati, Dr Mahathir hidupkan Umno Baru. Masa mula-mula Umno Baru ini hidup, dalam suratkhabar, dituliskan Umno Baru, kemudian Umno (B) kemudian tidak pakai apa-apa lagi, Umno saja. Hakikatnya, parti yang ada sekarang adalah Umno Baru. Umno lama dah mati. Umno baru inilah yang banyak menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...(tak beranilah aku tulis sebab besok siapa tahu).

Sepuluh tahun kemudian (1998), Umno sekali lagi menyusahkan rakyat. Besar juga kesnya. Kali ini Timbalan Presidennya merangkap TPM, Anwar Ibrahim dipecat. Apabila dipecat, Anwar pun buatlah 'tour' jelajah Malaysia, cerita dia dizalimi.

Selain Anwar, turut berceramah satu negara adalah salah seorang Naib Presiden Umno ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Tujuannya untuk menenangkan ahli-ahli Umno. Ketika Anwar dipecat, Abdullah ada di Durban, Afrika Selatan, menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel atas kapasitinya sebagai Menteri Luar, mewakilkan Mahathir.

Apabila balik (atau bergegas pulang?), Abdullah pun memulakan siri 'slow talk'nya kepada ahli-ahli Umno - menerangkan keadaan. Abdullah menjelajah kampung dan bandar, menceritakan keadaan sebenar. Beliau berusaha mengurangkan 'damage' yang sudah berlaku kepada Umno. Apa perkara sebenar yang diceritakan Abdullah itu?

Pada masa Anwar dipecat, saya sudah 'resign' daripada tugas sebagai wartawan. Saya sudah bosan dengan dunia kewartawanan begitu. Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan semasa. Suatu hari saya sempat mengikuti 'talk' Abdullah kepada ahli-ahli Umno di Dewan Masjid Al-Azim yang terletak dalam Kompleks Masjid Al-Azim di tengah-tengah bandar Melaka.

Apa Abdullah cakap mengenai Anwar? Katanya, dia pun sedih dengan pemecatan Anwar. Mereka sama-sama dari Penang. Kongsi banyak perkara. Kongsi banyak rasa. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh ada dalam Umno, katanya. Ini kerana Anwar telah BUAT BENDA ITU. Kerana sudah 'buat benda itu', Umno tidak dapat terima Anwar, katanya.

Demikianlah Umno berpecah lagi. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan...Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya bangsa Melayu ini dapat ditolong.

Kalau betullah Umno dah tolong orang Melayu, baguslah. Tetapi aku percaya jika orang Umno, terutama pemimpinnya tidak bergaduh besar sepanjang masa, macam anjing dan kucing, maka lebih banyaklah orang Melayu sudah tertolong. Apabila pemimpin asyik bergaduh macam mana rakyat nak jadi baik. Kata orang bapa borek, anak rintik.

Sebab apa pemimpin Umno ini asyik bergaduh? Salah satu sebabnya aku ingat, dia orang tidak amal Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Jika terima Islam sepenuh, selamat dunia akhirat. Taklah selalu gaduh-gaduh macam sekarang.

Orang Umno mahu ingat parti sendiri pun pernah mati, nanti Melayu pula akan mati. Kesian Hang Tuah dengan 'Melayu Tak Hilang Dari Dunia'nya. Jadi tolonglah pemimpin Umno, jangan menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...seperti yang awak sudah buat selama ini. Cetak

Rumah Rashid disimbah cat adalah perbuatan Saraf BN!
Posted on Thursday, March 06 @ 17:12:42 MYT by SongkokPutih

Artikel Oleh Abu Mawas

 Berita mengenai rumah Rashit disembah cat merah telah mendapat liputan dalam Buletin Utama 1.30 tengah hari tadi. Ada beberapa kecurigaan tentang kejadian ini memandangkan telah hampir pilihan raya.

Antaranya ada menyebut "Perbuatan menyimbah tiga tin kecil cat merah di depan pagar rumahnya di Lorong Bukit Pantai 7, Lembah Pantai itu dipercayai dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi. Bagaimanapun, Ab. Rashid hanya menyedari perkara itu pada pukul 7.30 pagi ini ketika beliau menunggu pemandunya untuk keluar menuju ke pejabatnya."

1. Ada kekeliruan di perkataan yang dihitamkankan. Bagaimana tahu 3 orang buat pada pukul 12.30 tengah malam? Sedang rashid sedar pada pukul 7.30 pagi?

2. Rashit telah dibekalkan dengan pengawas polis 24 jam sepenjang pilihan raya ini. Apakah polis yang mengawalnya tidur?? atau memantau ceramah? Ini adalah satu yang tak logik.

Awas anda sedang diperdaya oleh pihak Barisan Nasional dan kuncu-kuncunya.

Tujuan dibuat seperti ini adalah:-

1. Untuk menarik semula sokongan orang-orang atas pagar yang pada mulanya cenderung kepada pembangkang. Mereka yang berjiwa lembut akan menganggap bahawa perkara ini biadap dan tidak patut dan sokongan kepada pembangkang luntur.

2. Menukar fokus isu kepada kenaikan harga barang, penyelewengan, rasuah dan ketidakadilan kepada rakyat kepada isu-isu remeh dengan marahi Rahid dan rashid hanyalah satu daripada buah catur pemerintah BN.

JANGAN MUDAH TERTIPU.

Cina Kelantan Penyokong Kuat Tok Guru
Posted on Thursday, March 06 @ 17:02:40 MYT by greenboc

Analisis Isu Oleh Intan Abdullah

aSejumlah 99.9 peratus masyarakat Cina di Wakaf Baru, Kelantan menyokong PAS berdasarkan faktor tokguru. Mereka menganggap usaha BN untuk memerintah Kelantan dengan menggunakan cara yang sama tidak akan mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.

Pendapat tersebut disuarakan Penghulu Tanpa Mukim, Ong Guan Ann ketika ditemui Harakah di Bilik Gerakan PAS Wakaf Bharu. "Kita sayang tok guru, sebab suasana sekarang ini cukup aman dan tenteram. Kerajaan PAS tidak melakukan sebarang masalah malah melayan kita dengan baik sekali, cukup bagus," katanya.

Jelasnya, kemajuan yang dibawa PAS tidak sama dengan BN kerana mereka mementingkan rakyat dan masa depan negeri. "PAS juga membawa kemajuan, tidak semestinya dengan bangunan yang banyak dan projek yang besar. Lagipun, PAS tidak kacau tempat ibadat kita," ujarnya.

Ong yang juga merupakan pemilik bengkel melahirkan rasa tidak puas hati dengan kegagalan pentadbiran kerajaan Umno-BN dalam mengawal kenaikan harga minyak dan barang. "

BN tidak mampu menyelesaikan masalah harga barang naik, dia tidak peduli dengan nasib rakyat. Orang macam ni tak layak jadi pemerintah," tegasnya.

Beliau turut berkongsi masalah dalaman BN iaitu MCA yang disisihkan oleh Umno Kelantan.

"MCA di sini dipinggirkan oleh Umno. Bahkan Ketua MCA Bahagian Wakaf Bharu tidak pernah mempedulikan rakyat Cina sehingga mereka berasa kehilangan tempat bergantung," katanya mengakhiri perbualan tersebut.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Tumpat, Loke Kuan Seone pula berasa bahawa pemerintahan PAS di Kelantan lebih selesa daripada BN.

"Saya tidak yakin dengan BN, dan saya tak boleh terima jika mereka menang. Apa lagi kalau Dr Awang Adek menjadi Menteri Besar sebab dia hanya pandai menabur janji kosong dan banyak amalkan kronisme," katanya dengan nada tegas.

Beliau turut membawakan contoh wakil rakyat Dun Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat yang juga memungkiri janji yang dicanangkan.

"Berbeza dengan kerajaan Tok guru yang bersih, pandai berjimat duit kerajaan, adil kepada semua kaum di Kelantan," ujarnya.

Pemimpin PAS Kelantan ujarnya, sangat adil dan tidak memilih bulu dalam menghulurkan bantuan termasuklah bagi memberikan bantuan kewangan.

"Kami pun dapat skim takaful yang dibuat untuk rakyat beragama Islam yang lain," katanya lagi.

Ditanya mengenai kesan skandal seks mantan Naib Pengerusi MCA, Dato' Dr Chua Soi Lek, beliau menyatakan bahawa hanya segolongan daripada kalangan MCA yang boleh menerima Chua.

Hal tersebut ujarnya adalah disebabkan oleh sebahagian besar daripada mereka tidak boleh mengakui kesilapan tersebut dilakukan oleh seorang pemimpin tinggi dalam MCA.

"Peliknya, pemimpin Umno yang beragama Islam boleh pulak menerima dia lagi. Islam Hadhari kot?" ujarnya dengan nada sindiran.

Seone sangat berharap kepimpinan kerajaan PAS yang ada sekarang ini akan terus kekal bagi memastikan keadaan yang ada sekarang ini akan berterusan.

"Comel dah, semua kaum boleh terima PAS di sini," demikian ujarnya lagi.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: