Thursday, March 13, 2008

Kerajaan masih kuat

"Caring Mommy" caring.mommy@gmail.com

Kerajaan masih kuat -- Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 baik � Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 10 Mac � Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Barisan Nasional (BN) masih mencatat keputusan yang baik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan mampu membentuk kerajaan yang kuat walaupun tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan BN hanya kekurangan lapan kerusi untuk memperoleh majoriti tersebut.

Menurut beliau, kejayaan menguasai 140 daripada 222 kerusi Parlimen akan membolehkan BN menubuhkan kerajaan bagi melaksanakan janji dalam manifesto dan program yang ditetapkan seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan koridor-koridor pembangunan ekonomi.

''Tidak mendapat dua pertiga majoriti bukan sesuatu yang kita bimbangkan sangat. Kita boleh menjadi kerajaan yang baik, memberikan apa yang dijanjikan dan mencapai prestasi yang baik.

''Saya ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara berjaya di bawah BN walaupun tidak memperoleh majoriti dua pertiga," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah yang juga Pengerusi BN, sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam dua sesi berasingan secara berturut-turut, bermula pukul 1.30 tengah hari dan berakhir kira-kira 6.30 petang.

Katanya, keputusan pilihan raya berkenaan menjadi pengajaran kepada UMNO dan BN.

Abdullah mengakui keputusan itu adalah satu isyarat yang perlu diberi perhatian dan mesti diterjemahkan dalam tindakan yang bakal diambil kelak.

''Saya sendiri belajar daripada peristiwa itu kerana percaya setiap kejadian ada pengajaran. Saya bukanlah seorang yang degil dan tidak mahu belajar daripada kehidupan walaupun ia mempunyai hubungan dengan karier dan tugas saya,'' katanya.

Ditanya sama ada 'isyarat' daripada rakyat itu bermaksud mereka berasa marah kepada beliau, Abdullah berkata: ''Mungkin, saya tak tahu, mereka hanya melakukannya. "

Abdullah menegaskan, setiap orang di dalam parti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada BN kerana keputusan sentiasa dibuat berdasarkan kata sepakat.

''Datuk (Seri) Najib (Tun Razak) ada menyebut bahawa kita semua secara bersama bertanggungjawab terhadap segala yang kita lakukan. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa membuat keputusan berasaskan konsensus, keputusan bersama dan tanggungjawab bersama.

''Ada keputusan yang baik dan ada yang mungkin tidak diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kita boleh perbaiki," katanya.

Ditanya apa yang beliau maksudkan dengan ''isyarat oleh pengundi yang perlu diberi perhatian oleh BN'', Abdullah menjelaskan, rakyat mahu supaya kerajaan melaksanakan janjinya dengan cara yang lebih baik.

''Ada beberapa perkara yang saya tahu menjadi isu-isu penting semasa kempen pilihan raya seperti kenaikan harga barang, jenayah dan rasuah. Itulah perkara-perkara mustahak yang timbul pada masa itu,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa bebas akan dilantik bagi mendapatkan satu analisis yang objektif berhubung pencapaian BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Sumber: Utusan Malaysia 11/03/08

Ulasan:


Dalam nada yang bersahaja dalam menyembunyikan perasaan cemas, PM masih cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa BN masih lagi kuat. Ya, memang kerajaan masih kuat � masih kuat berpegang kepada sekular dan masih kuat dalam menyembunyikan kelemahan yang ada. Dalam pada beberapa pemimpin tertinggi BN sendiri mengalami kekalahan dalam PRU-12, namun pemimpin tertinggi UMNO ini masih sempat mendabik dada. Dalam pada pemimpin tertinggi BN seperti Koh Tsu Koon dan Ong Ka Ting sudah sanggup melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan kerana merasa bertanggungjawab di atas kekalahan teruk ini, namun pemimpin tertinggi UMNO ini masih kuat ingin bertaut dengan jawatannya. Tak apalah, tak ada salahnya mengikut Perlembagaan UMNO bagi seseorang presiden memegang jawatan sampai mati pun.

Pak Lah yang baru dilantik semula sebagai Perdana Menteri ini, walaupun masih kuat menyembunyikan kelemahan BN/UMNO, tetapi tetap mengakui bahawa keputusan pilihan raya ini menjadi pengajaran kepada UMNO dan BN. Malangnya 'pengajaran' yang dimaksudkan Pak Lah adalah pengajaran dari segi "beberapa perkara yang menjadi isu-isu penting semasa kempen pilihan raya seperti kenaikan harga barang, jenayah dan rasuah" yang perlu diberi perhatian, bukannya 'pengajaran' berupa kesedaran bahawa sekuat mana sekalipun sesebuah kerajaan itu, akan dengan mudah ditumbangkan oleh Allah swt, jika mereka tidak menerapkan hukum Allah. 'Pengajaran' ini tidak dilihat oleh Pak Lah, walhal inilah yang sepatutnya dia utamakan.

Allah swt hanya menghantar sedikit 'signal' kepada UMNO/BN bahawa kerajaan yang mereka bangga-banggakan selama 50 tahun ini tidak dapat bertahan selamanya dan Allah berkuasa mencabutnya dengan amat mudah sekali, pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Kenapakah UMNO masih tidak mahu mengambil pengajaran dariNya?

Bagi pembangkang yang menang pula, mereka pun patut ambil pengajaran awal bahawa 'kuasa' yang sedikit yang Allah beri kepada mereka adalah untuk Allah melihat sama ada mereka akan menerapkan hukum Allah atau tidak. Jadi, tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengannya, malah mereka wajib takut kepada Allah dengan lebih lagi kerana sekarang ini, amanah pemerintahan telah berpindah ke bahu mereka pula. Dan amanah ini tentunya untuk Allah menambahkan pahala kepada mereka atau pun untuk Allah menambahkan lagi dosa, jika mereka gagal/cuai dalam memikulnya. Jika UMNO patut mengambil pengajaran dengan kembali bertakwa kepada Allah dan melihat serta bertaubat dari dosa-dosa mereka selama ini, maka pembangkang patut mengambil pengajaran agar tidak mengulangi dosa-dosa UMNO yang menerapkan sistem demokrasi-sekular dengan menggubal serta meluluskan undang-undang buatan sendiri dalam pemerintahan mereka.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: