Wednesday, March 19, 2008

Ke mana hala tuju krisis dalaman Umno/BN?

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Ke mana hala tuju krisis dalaman Umno/BN?
Posted on Wednesday, March 19 @ 16:49:42 MYT by greenboc
Analisis Isu Oleh kelantankini



"a
PENGUNDURAN Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad, - kalau dikira dari segi hierarki kepimpinan Umno/BN adalah orang nombor tiga - mengundang banyak lagi persoalan menarik dalam kemelut yang boleh dianggap terburuk dalam sejarah pentadbiran negara selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998.



Krisis dalaman Umno bermula sejak memilih calon-calon berkelayakan untuk bertanding pada pilihan raya umum, 8 Mac lepas lagi. Sebagai contoh di Kelantan dua calon BN, Prof Madya Dr Abdullah Sudin dan Dato' Abdul Halim Ahmad yang dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dan Pasir Mas telah mengejutkan tokoh-tokoh Umno negeri apabila membuat pengumuman menarik diri.

Lebih mengejutkan kedua-duanya membuka pekung kelemahan BN apabila menyatakan mereka berdua tidak tahu menahu pun mengenai pelantikan tersebut. Maknanya Umno isytihar calon dulu, selepas itu barulah hendak berunding dan berkira bicara dengan tuan hak sama ada setuju atau tidak (Kalau buat begitu kepada Shahidan Kassim tentu beliau setuju, lantik dia jadi MB Perlis lepas itu tanya dia setuju atau tidak!!).

Bagaimana sebenarnya Umno memilih calon mereka? Tak berunding dengan tuan punya badan, tahu-tahu isytihar si polan-si polan ini calon Umno mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, gemilang dan temberang!

Begitu juga di beberapa negeri lain sehingga berlaku kes di mana beberapa Pengerusi Perhubungan Umno negeri terpaksa berulang alik menemui Presiden parti, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat pengesahan (sampaikan empunya diri sebagai ketua Umno negeri sendiri pun terpaksa merayu untuk menjadi calon).

Padahnya bila tiba hari penamaan calon berlakulah apa yang telah berlaku. Seorang calon BN (sepatutnya ramai) ditolak pencalonannya kerana disahkan berstatus 'muflis' menyebankan calon PAS diisytihar menang 'percuma'. Kalau tidak kerana peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentu calon-calon Barisan Rakyat boleh memenangi lebih banyak kerusi sama ada peringkat DUN atau Parlimen (barangkali jika itu berlaku tentu krisis dalam BN lebih teruk berbanding hari ini).

Sepanjang kempen pilihan raya selama 13 hari bermacam cerita tidak enak didengar sama ada tentang calon-calon BN, atau krisis peringkat jentera pilihan rayanya. Cerita itu ada setengahnya secara tidak sengaja (atau disengajakan) terpapar juga dalam media-media arus perdana.

Pada hari yang ditunggu-tunggu, iaitu malam keputusan pilihan raya sudah menampakkan rasa gelabah pemimpin Umno/BN bila tidak wujud keceriaan di riak wajah masing-masing.

Lebih-lebih lagi dengan arus ledakan maklumat yang lebih pantas menerusi internet majoriti rakyat @ penyokong BA/BR mengetahui keputusan pilihan raya lebih awal berbanding jika menanti di depan kaca televisyen, bahkan ada sesetengahnya mendahului pihak SPR sendiri!!

Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi yang dimanfaatkan ke tahap maksimum oleh pakatan BA berbanding Umno/BN yang masih setia dengan medium usangnya (akhbar dan tv).

Bila mengetahui keputusan penuh pilihan raya jatuh terjelepuk pemimpin Umno dibuatnya apabila mengetahui mereka tidak dapat menguasai 2/3 kerusi di Dewan Rakyat. Tambah meng'gabra'kan degupan jantung pucuk pimpinan parti itu bila mendapat tahu Kelantan bukan sekadar tidak dapat dirampas malah hanya tinggal batu nisan saja (dua kerusi parlimen selain enam DUN).

Dan degupan jantung pemimpin Umno/BN nyaris terhenti bila SPR secara rasminya mengumumkan empat negeri jatuh ke tangan pakatan BA/BR (tak tahulah apa reaksi Pak Lah waktu itu).

Dari sinilah keretakan, kelemahan dan krisis dalam Umno/BN mula ketara. Ingatkan bila dah menang mudah nak tubuh kerajaan negeri, rupa-rupanya tidak berlaku pada zaman kepimpinan 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang' Pak Lah.

Usahkan nak bentuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), majlis angkat sumpah menteri besarnya pun bukan main lamanya. Pada peringkat ini menampakkan betapa bimbangnya pihak media untuk menyerang kerajaan negeri pimpinan BA/BR apatah kerajaan PAS di Kelantan.

Hanya sesekali mereka berkokok bila Lim Kit Siang tersalah melatah tidak merestui pemilihan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Bila Lim Kit Siang memohon maaf terbuka kepada Sultan Perak dan menarik balik kenyataannya habis terpaku pihak editor media kerana tidak ada bahan menarik untuk ditulis (yang ada hanya cerita keretakan dalaman BN yang perlu disembunyi).

Dan, semalam pukulan maha hebat diterima Pak Lah umpama 'tertimpa ludah ke muka sendiri' apabila timbalan menteri yang beliau lantik kemudian dipersembah kepada Yang di-Pertuan dan diumumkan di depan pelbagai agensi media tempatan dan antarabangsa menolak mentah-mentah pelantikan itu.

Lebih menarik ialah Timbalan Menteri Luar, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang telah 'bosan' menjadi timbalan menteri. "Saya telah menjadi timbalan menteri selama dua penggal, sampai masanya saya diberi jawatan lebih tinggi (tentulah beliau bermaksud inginkan jawatan menteri penuh).

Bahkan agensi berita tanah air, Bernama menyifatkan "peristiwa tidak pernah berlaku di mana timbalan menteri dilantik Perdana Menteri memulang balik jawatan berkenaan selepas diumum secara rasmi".

Keaiban Pak Lah itu disusuli pula dengan peletakan jawatan orang kuat parti merangkap Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Radzi Syeikh Ahmad. Walaupun cuba berkias tetapi tidak mudah untuk dibaca bahawa beliau terlalu kecewa tidak dilantik menganggotai kabinet untuk penggal ini.

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja. Pertamanya saya tidak lagi berada alam kabinet jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai setiausaha agung ... saya tak boleh kerja," demikian alasan Radzi membayangkan rasa pilu dan terguris hati tergamak Pak Lah meminggirkan beliau begitu juga.

Manakala perkhabaran terbaru pula Ketua Wanita Umno (yang turut tak terpilih dalam kabinet baru) tidak jadi untuk melepaskan jawatannya (mungkin ada 'buah tangan' yang dijanjikan Pak Lah kot!).

Dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (yang tewas di kerusi Lembah Pantai) tiba-tiba diberi jawatan Penasihat Khas Perdana Menteri bagi hal-ehwal sosial dan wanita (kononnya bertaraf Menteri), itu pun khabarnya setelah desakan kuat dibuat, bagaimana agaknya nasib Rafidah selepas ini.

Difahamkan ini adalah rekod terburuk kepimpinan Rafidah bila pergerakan itu tidak mempunyai wakil dalam kabinet Pak Lah.

Dengan pucuk pimpinan BA/BR semakin erat perpaduan dan semangat kerja samanya, kemelut mutakhir dalam Umno/BN sangat menarik untuk dinantikan kesudahannya!


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: