Monday, March 31, 2008

Institusi Raja Berperlembagaan penting - Presiden PAS

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

Awang Harun
Mon | Mar 31, 08 | 7:16:19 am MYT

TERENGGANU, 31 Mac (Hrkh) - Institusi Raja Berperlembagaan amat penting bagi keseimbangan politik serta dapat memelihara kestabilan sesebuah negara.


ImagePresiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata peranan istana dan institusi raja berpelembagaan adalah penting untuk keseimbangan politik bagi memelihara kestabilan sesebuah negara.


Katanya, peranan tersebut dapat menyelesaikan krisis dalaman parti kerajaan sesebuah negara serta dapat mengurangkan ketegangan apabila berlaku krisis antara pemerintah dengan rakyat seperti yang berlaku di negeri Thailand.


"Saya sangat tertarik dan menghargai peranan yang dimainkan istana dalam menangani krisis yang berlaku di Terengganu pada hari ini dan kita (PAS) tidak senang dengan berlarutan masa yang begitu panjang tidak ditubuhkan kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu di Istana Maziah, semalam.


Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini menghadapi masalah selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu hingga berlarutan selama dua minggu.


Dato' Seri Abdul Hadi turut menghargai peranan pihak istana Terengganu yang berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar dan penubuhan kerajaan negeri setelah dua minggu berlalu.


ImageAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said, 51, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Istiadat tersebut turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.


Wakil rakyat PAS yang hadir pada majlis berkenaan iaitu Adun Manir, Dato' Harun Taib; Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam); Dato' Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang); Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Burok); Ustaz Wan Hasan Mohd Ramli (Sura); Ustaz Mohd Noor Hamzah (Bukit Payung) dan Dr.Alias Razak (Bukit Tunggal).


Manakala, kesemua 22 Adun Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sebelum ini akan memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar itu hadir termasuk mantannya Dato' Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, semalam.


Kini, kemelut perebutan jawatan MB itu selesai buat seketika setelah Idris Jusoh bersama-sama 22 Adun Barisan Nasional (BN) negeri terpaksa akur dengan kehendak pihak Istana dan MPPR Terengganu. - mks.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: