Sunday, March 30, 2008

INGATAN RAKYAT KEPADA BN

"kahar jalil" akbajalil@yahoo.com.my

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengingatkan barisan pembangkang supaya jangan terlalu selesa dengan kemenangan mereka dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Pembangkang, katanya, menang besar kali ini bukan kerana pengundi menolak Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, kata beliau, sebab-sebab semasa yang membuat mereka tidak pengundi BN dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Ulasan:
Memang tidak dapat disangkal lagi betapa sebab-sebab semasa yang membuat pengundi tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Untuk itu rakyat yang prihatin kepada keadaan semasa telah menunjukkan dengan jelas pendirian mereka. Hanya mereka (kebanyakkannya orang Melayu) yang masih terbelenggu dengan pemikiran kuno kekal mengundi BN. Kaum Cina dan Kaum India kebanyakkannya telah ramai yang mengubah haluan dan menyatakan dengan jelas pendirian mereka mengundi Barisan Rakyat (BR).

Persoalan pokok yang harus difahami di sini bukannya kenapa pengundi tidak lagi mengundi BN tetapi apakah yang menyebabkan sebab-sebab semasa itu terjadi? Adakah ianya terjadi dengan sendiri? Pastinya setiap yang berlaku ada sebabnya.

Rakyat semakin bermaklumat. BN pula menyangka rakyat masih boleh diperbodohkan seperti dahulu. Keputusan PRU12 dengan sendirinya telah menjawab persoalan ini. Blogger telah diakui ramai pihak termasuk dari kalangan BN sendiri telah berjaya memainkan peranan penting dalam kejayaan BR dalam PRU12. Di harap Menteri Penerangan yang baru dapat memahami situasi ini.

Jangan berbohong dengan rakyat lagi!!!
Sebagai rakyat Malaysia saya rasa tertipu sebelum ini dengan maklumat yang tidak tepat dan sengaja diselewengkan oleh pihak kerajaan BN melalui media arus perdananya. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang penyelewengan media ini kerana terlalu banyak untuk diperkatakan dalam ruang yang terbatas ini dan kebanyakkan rakyat telah mengetahuinya.

Pembohongan demi pembohongan oleh kerajaan BN dalam menutup segala penyelewengannya selama inilah yang menyebabkan rakyat bangkit dan keluar mengundi BR. Disamping itu suara rakyat langsung tidak diberi perhatian.

Tangan dan kaki rakyat diikat. Mulut rakyat ditutup supaya tidak bersuara. Telinga rakyat disumbat dengan dakyah BN setiap hari. Nah sekarang terimalah BN akan gas busuk yang dihantar oleh rakyat. Bukankah ini satu isyarat?

Persoalan lanjut dalam hal ini, apakah langkah kerajaan BN untuk membersihkan muka yang telah tercalar di mata rakyat kini? Adakah BN mahu terus dengan agenda lama membohongi rakyat dengan maklumat palsu dan mengelirukan?

Para menteri BN harus sedar betapa kemajuan komunikasi kini telah membolehkan rakyat mendapat maklumat tepat dalam masa yang singkat. Sedih sungguh saya bila mendengar kenyataan KM Melaka dalam satu wawancara menyatakan bahawa kemajuan internet telah menyebabkan kerajaan BN telah tidak sempat untuk menafikan hujah pembangkang.

Pada saya bukan BN tidak sempat tetapi tidak dapat menafikan langsung akan kesahihan maklumat yang diutarakan oleh pembangkang. Jangan salahkan lantai tidak rata jika tidak tahu menari. Jangan salahkan blogger jika tidak dapat menangkis serangan pembangkang. Jangan salahkan sesiapa. Salahkan diri sendiri.

PM pula dalam kenyataan awal selepas kekecewaan BN untuk menawan 2/3 majoriti di parlimen menyatakan bahawa beliau sekarang baru menerima isyarat daripada rakyat. Hampir tergelak saya mendengar kenyataan PM yang harus berundur ini. Rupanya PM baru bangun tidur. Lena sungguh no...

Rakyat sebenarnya telah lama menghantar isyarat tetapi PM yang tidak ambil peduli. PM yang tidak prihatin dengan suara penderitaan rakyat. PM yang terlupa betapa kuasa rakyat boleh mengubah senario politik negara ini. PM lupakah kepada bantal yang dihantar tempoh hari? Bukankah itu salah satu isyarat daripada rakyat supaya sedar dan terus sedar dengan senario semasa?

Salahkah rakyat jika tidak mahu lagi mengundi BN? Salahkah rakyat jika ramai menteri yang kecundangan dalam PRU12 yang lalu? Salahkah rakyat jika meminta PM untuk berundur? Salahkah rakyat jika memilih BARISAN RAKYAT sebagai pengganti BN untuk memerintah negara ini? Salahkah?


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: