Sunday, March 30, 2008

INFO : Raja Berperlembagaan

From: pak_kadok azidusop@gmail. com

Semoga Menjadi Iktibar dan Teladan Pada Semua Rakyat Amnya dan Pada Ahli UMNO Khasnya.

MENGHAYATI MAKSUD RAJA BERPERLEMBAGAAN

Oleh ADAM KADIR (Utusan Malaysia 24 Mac 2008)

DALAM tahun 1980, Sultan Azlan Shah, ketika itu Ketua Hakim Negara, telah mengingatkan bahawa 'mahkota' akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar. Seri Paduka Baginda melunaskan pendapat itu dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Baru-baru ini Raja Dr. Nazrin Shah, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, sekali lagi menekankan dalam nada yang seakan-akan sama, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat. Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya. Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka.

Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati. Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.

Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung kepala dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama. Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 orang soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.

Republik.
Kemangkatan Charles I menamatkan institusi raja untuk satu jangka waktu. Sungguhpun Lord Protector Oliver Cromwell pada hakikatnya merupakan seorang presiden yang mengetuai sebuah republik bernama Britain, namun konsep republik ketika itu belum benar-benar timbul dan dihayati, apalagi untuk diamalkan secara menyeluruh. Oleh itu, keberkesanan pemerintahan Cromwell hanya bergantung semata-mata pada kekuatan peribadinya. Justeru pemerintahan baru yang dikemukakannya tidak menjadi satu alternatif teguh dan berkekalan.

Dalam keadaan begitu, ketika fizikalnya menjadi lemah akibat usia, timbul penentangan sehingga akhirnya beliau terbunuh. Maka, tanpa pilihan lain, King Charles II diangkat ke takhta. Dengan itu kembalilah institusi raja di UK. Dunia mengetahui hanya kira-kira 100 tahun kemudian barulah konsep republik dihayati secara mendalam dan menyeluruh apabila anak jajahan UK di Amerika bangkit berperang dengan tentera King George III hingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1776, dengan George Washington menjadi Presiden pertamanya.

Tiga belas tahun kemudian, Perancis mengikut jejak langkah Amerika setelah King Louis XVI dipenggal kepala di bawah gallow. Kini sistem republik menjadi satu alternatif kepada sistem beraja. Jumlah negara republik di dunia adalah lebih banyak daripada jumlah negara beraja. Kemangkatan Charles I dan pulihnya institusi raja di bawah Charles II setelah Cromwell meninggal merupakan satu titik-tolak ke arah wujudnya institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan dengan baik oleh Queen Elizabeth II sekarang ini.

Menurut pakar undang-undang perlembagaan, institusi raja dan Parlimen UK (yang dirujuk sebagai induk kepada segala Parlimen dunia) merupakan sistem Raja Berperlembagaan yang 'ideal' dan 'realistik' yang harus diikuti sebagai contoh oleh dunia. Institusi raja di Jepun, Belanda, Sweden, Sepanyol, Norway dan Belgium adalah di kalangan yang mengamalkan sistem institusi raja UK. Dalam undang-undang perlembagaan European Union, apa yang dipentingkan dalam peruntukannya ialah 'teleological' atau maksud asal di sebalik sebarang peruntukan. Apabila timbul keraguan dalam interpretasi sesuatu peruntukan, maka interpretasi akan dibuat menurut apa yang sebenarnya menjadi sebab mengapa peruntukan itu dibuat pada asalnya. Di UK, peruntukan mengatakan raja berhak melantik Perdana Menteri, sebagai contoh. Namun hak itu bergantung ('subjected to') kepada parti politik yang menang dalam pilihan raya.

Di sinilah letaknya 'semantics' (atau 'pemerian') bahawa Perdana Menteri hendaklah terdiri daripada ahli (Parlimen atau badan perundangan yang serupa) yang mendapat keyakinan 'majoriti' ahli-ahli Parlimen atau badan demikian. Di peringkat negeri di Malaysia, istilah 'Perdana Menteri' dalam ungkapan di atas boleh digantikan dengan 'Menteri Besar' atau 'Ketua Menteri'. Pada realiti amalan politik, ketua parti relevan yang menang dalam pilihan raya berhak menamakan siapa menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Menghayati dan menghormati segalanya itu membuatkan 'constitutional monarchies' di Jepun dan beberapa buah negara di Eropah itu menjadi begitu stabil dan amat tinggi estemnya. Raja Berperlembagaan di Malaysia tentunya mampu selaras kalaupun tidak melebihi daripada itu.



Hormat keputusan istana (Utusan Malaysia 24 Mac 2008)

KUALA LUMPUR 23 Mac � Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dan tidak seharusnya menolak pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar secara terbuka. Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al- Habshee berkata, tindakan UMNO Terengganu yang menentang secara terang-terangan pilihan MPPR itu secara tidak langsung mencerminkan sikap biadap mereka yang tidak menghormati kedaulatan kesultanan Melayu.

''Kalau kita ada masalah kita kena duduk berbincang, sultan adalah kedaulatan orang Melayu, saya khuatir rakyat hilang kepercayaan. ''Bukan dengan cara macam ini (bantah), kurang ajar dengan Sultan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, MPPR mengeluarkan kenyataan yang menamakan Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Pelantikan tersebut mengenepikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Idris Jusoh yang mendapat watikah pelantikan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Ekoran kenyataan daripada Pejabat Sultan Terengganu itu, 23 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak pelantikan itu dan berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Idris. Syed Ali memberitahu, tindakan UMNO Terengganu itu sendiri tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan oleh parti tersebut selama ini terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu. Malah katanya, perbuatan menentang keputusan yang dibuat oleh MPPR oleh UMNO Terengganu seperti 'meludah ke langit, terkena muka sendiri'.

''Kita marah apabila DAP memulaukan keputusan Istana Perak, malah, kita memaki-hamun DAP kerana menderhaka kepada Sultan tetapi di Terengganu keadaan terbalik pula, UMNO Terengganu sanggup menentang Sultan yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong secara terbuka,'' tegasnya. Beliau memberitahu, UMNO Terengganu perlu mengambil iktibar dengan situasi yang berlaku pada ketika ini dan bukannya memalukan orang Melayu sebegini rupa.

''Saya minta mereka hentikan perkara mengarut ini, jangan sampai rakyat hilang keyakinan,'' ujarnya. Syed Ali turut menggesa UMNO Terengganu agar menyelesaikan perbalahan mengenai jawatan Menteri Besar Terengganu mengikut saluran yang betul dan menanganinya dengan cara yang berhemah.




MB baru: Ketua UMNO bahagian sokong istana (Utusan Malaysia 24 Mac 2008)

KUALA TERENGGANU 23 Mac � Semua ketua UMNO bahagian di Terengganu kecuali Besut menyokong pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, ketua-ketua UMNO bahagian di Terengganu sebulat suara menyokong pemilihan Ahmad kerana percaya beliau mampu menggalas tugas menerajui kepimpinan negeri itu.

Katanya, UMNO Terengganu mempunyai lapan bahagian iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut. Jelasnya, selain beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan ADUN Kijal itu yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kemaman ialah Datuk Dr. Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd. Jidin Shafee (Setiu)."Cuma, saya tidak dapat menghubungi Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu (Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh), tetapi saya percaya beliau juga menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar," katanya di sini hari ini. Ketua UMNO Bahagian Besut yang tidak menyokong pelantikan Ahmad adalah Idris.

Menurut Tengku Putera, selaku ketua bahagian, mereka memberi jaminan akan memastikan Ahmad mendapat sokongan daripada ahli-ahli UMNO Terengganu serta rakyat. Ini kerana beliau berpendapat, pemilihan Ahmad merupakan penyelesaian yang bijak oleh pihak Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam menyelesaikan kemelut pemilihan Menteri Besar Terengganu yang sudah berlarutan selama dua minggu. Beliau percaya ADUN BN juga akan menyokong pelantikan Ahmad jika mereka mendapat gambaran sebenar berhubung pemilihan wakil rakyat Kijal itu.

"Ada ADUN BN yang tidak mendapat maklumat sebenar berhubung pelantikan Menteri Besar. Kami berharap semua ADUN BN mengutamakan kepentingan parti bukannya kepimpinan individu. Kepimpinan boleh datang silih berganti," katanya. Beliau berharap pemimpin UMNO di luar Terengganu memahami situasi serta menghormati kehendak rakyat negeri ini.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: