Monday, March 24, 2008

Impian penyatuan Umno-PAS sukar direalisasikan

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Mat Zain Mat Isa
Sat | Mar 22, 08 | 9:49:49 am MYT


Inisiatif 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) bagi menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik adalah satu usaha yang amat dialu-alukan.

Apa saja usaha ke arah membincang atau menemukan beberapa pihak, terutama di kalangan pihak-pihak berseteru, bagi menyelesaikan sebarang masalah atau berbaik semula, adalah sesuatu yang sangat suci dan wajar diberikan pujian. Apatah lagi kesediaan BBPM itu bertitik tolak daripada hasrat murninya menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Akhbar harian semalam (21 Mac) melaporkan, Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, bagi merealisasikan hasrat penubuhan badan bertindak itu, pihaknya akan mengadakan satu perhimpunan orang Melayu dan Islam di ibu negara dalam masa terdekat.

�Sempena perhimpunan itu, kami akan mengadakan satu forum perpaduan Melayu bagi menyatupadukan semua kepimpinan Melayu dan Islam tanpa mengira pegangan politik mereka,� katanya.

BBPM disertai antara lain Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Diakui semua pihak elemen terpenting dalam penyatuan Melayu di negara kita ialah mempertemukan para pemimpin politik dari parti-parti berbeza, terutama PAS dan Umno. Tidak akan lengkap sebarang perbincangan atau usaha penyelesaian tentang perpecahan bangsa Melayu sekiranya kedua-dua pihak ini tidak dilibatkan.

�Sebagai orang tengah, kami akan jemput wakil dua parti terbesar yang menaungi orang Melayu dan Islam di negara ini iaitu Umno dan PAS,� kata Osman, seakan mengakui peri pentingnya kedua-dua parti tersebut dalam konteks perpaduan Melayu.

Meski pun hasrat diluahkan BBPM itu suatu yang dialu-alukan, pelaksanaannya nanti dijangka tidak semudah dirancangkan. Usaha menemu dan memperdamaikan dua parti yang bermusuhan sejak sekian lama itu bukan tidak pernah diatur sebelum ini. Namun ia sehingga kini tidak dapat direalisasikan.

Bukan pesimis, tetapi perkara sepenting ini akan dibauri banyak pertimbangan dan kepentingan. Pengalaman lalu mengajar kita betapa halangannya terlalu banyak.

Untuk tujuan perbincangan, beberapa pemerhatian berikut dirasakan wajar dihalusi. Pertama, usaha menyatupadu dan memperdamaikan Umno dan PAS tidak dilakukan secara yang cukup bersungguh dan menyeluruh. Puncanya ialah kerana usaha dibuat pihak ketiga itu terbatas sekadar mengatur pertemuan atau perbincangan saja. Ia tidak disusuli usaha penyatuan lebih mantap.

Selalunya apabila ada pihak mencetuskan perkara itu, isu itu akan dihangat diperbincangkan seketika. Bagaimana pun ia tidak berakhir dengan satu langkah atau kaedah penyelesaian yang konkrit.

Mungkin ada pertemuan dibuat, ada kelihatan para pemimpin kedua-dua parti duduk semeja atau berkongsi pentas atas sesuatu aturcara demi kepentingan bersama.

Semua pihak bagaimana pun seakan berpuas hati sekadar itu saja. Usaha penyatupaduan itu selalunya tidak bertahan lama. Ia pudar dan kemudiannya lenyap begitu saja.

Apakah kali ini juga, usaha itu akan terhenti sekadar menerusi forum saja? Dalam hal ini, jika BBPM ada kesungguhan menyatupadukan PAS dan Umno, ia perlu tampil dengan kerangka atau perancangan lebih menyeluruh, bukan sekadar berakhir dengan mempertemukan kedua-dua pihak di pentas.

Kedua, sejauh manakah kesediaan Umno berkompromi dan memberi ruang kepada PAS untuk lebih selesa dengan �perdamaian� (atau apa jua istilah lebih tepat bagi menggambarkan keadaan) ini? PAS sudah ada banyak pengalaman dalam hal ini.

Apabila Umno dilanda keadaan terdesak dan tersepit ekoran rusuhan kaum terburuk negara pada 1969 dulu, PAS telah mengenepikan sebarang sentimen permusuhan antara kedua-dua parti. PAS menyambut baik pelawaan Allahyarham Tun Abdul Razak Husin untuk menyertai Barisan Nasional.

Tahu apa akibat yang diterima PAS? Ia kehilangan sebilangan pemimpin utamanya di seluruh negara yang tidak dapat menerima keputusan dibuat pemimpin tertinggi parti. Sebahagian pemimpin ini malah membentuk kumpulan Bebas Bersatu dan menentang calon-calon BN dalam pilihan raya umum selepas itu. Ada juga yang menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Tindakan itu dituruti sebilangan ahli dan penyokong PAS.

Apakah pengorbanan PAS itu berbayar atau berbaloi? Ampun Tuhan, Umno yang bangkit dari kedurjanaan pada 1969 itu rupa-rupanya bukan jenis manusia yang tahu mengenang budi dan pengorbanan rakan. Sebaik ia merasa kuat dan kembali mendapat sokongan rakyat, PAS ditendang keluar BN begitu saja. Pengalaman itu sangat pahit bagi PAS.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999 lalu, suasana hampir sama berulang lagi. Dalam pilihan raya itu, Umno didapati kehilangan sokongan orang-orang Melayu. Maka seruan dan desakan agar Umno dan PAS kembali bersatu demi kepentingan bangsa kedengaran semula.

Bagi menguji sejauh mana Umno ikhlas menghulurkan tangan perpaduan, PAS mengemukakan tiga tuntutan. Tiga prasyarat pertemuan Umno-PAS itu ialah agar Umno meminta kerajaan Pusat memulangkan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu pimpinan PAS, sekaligus menghapuskan tindakan menyogokkan wang ehsan kepada Umno Terengganu.

Kedua, mengembalikan kelulusan penerbitan akhbar rasmi PAS, Harakah kepada dua kali seminggu dan bukannya dua minggu sekali sebagaimana yang dikekalkan hingga sekarang.

Ketiga, Umno hendaklah menentang sebarang usaha menghapuskan perkataan Islam pada nama Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Ketiga-tiga tuntutan itu sebenarnya lebih bersifat simbolik untuk menguji tahap penilaian Umno terhadap amalan demokrasi dalam negara. Ia juga sebagai menguji kerelaan Umno menggunakan kuasa yang ada padanya bagi mempertimbangkan permintaan pihak yang diajaknya untuk bersatu.

Apa yang berlaku membuktikan bahawa, meski pun dalam keadaan terdesak dan didesak pelbagai pihak itu pun, Umno masih tidak bersedia berkompromi. Wang royalti untuk kerajaan Terengganu tidak dikembalikan sehingga jatuh kerajaan PAS.

Permit penerbitan Harakah kekal dengan dua minggu sekali, beserta segala kongkongan lain diterimanya masa ke masa.

Ada pun pengekalan perkataan Islam pada nama PAS itu bukan kerana Umno yang mempertahankannya. Jangan silap faham, ia sebenarnya antara perkara diputuskan pihak Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan atas restu Umno.

Ertinya, Umno gagal menunjukkan ia sedia berkompromi demi mencapai perpaduan dengan PAS. Apa bezanya dengan Umno yang ada kini?

Mengapa Umno begitu angkuh dan sombong? Itu adalah pemerhatian ketiga kita, iaitu Umno sentiasa merasa dia kuat. Sebab itu di saat berbagai pihak meminta dan mendesaknya membuka pintu rundingan dengan PAS, ia masih menunjukkan keegoan dna kesombongan sebagai tuan politik yang tidak akan dapat dicabar sesiapa.

Umno sering berlagak seolah-olah tidak memerlukan sesiapa untuk terus berdiri menjadi tuan politik. Apatah lagi mereka diyakinkan dengan usaha memulihkan kekuatan selepas dikatakan terhakis sokongan Melayu pada 1999.

Kemenangan besar BN ditunjangi Umno pada 2004 dinilai pelbagai pihak, terutama para pemimpin Umno sendiri sebagai kejayaan parti itu memulihkan sokongan Melayu terhadapnya. Hakikat itu menambahkan kesombongan Umno untuk meraikan parti-parti saingannya yang lain, terutama PAS.

Akhbar semalam (21 Mac) memetik kata-kata Setiausaha Agung Umno yang baru, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kekuatan partinya.

�Kita (BN) dapat 4.1 undi (dalam pilihanraya umum baru-baru ini), PAS dan DAP masing-masing dapat 1.1 juta undi, manakala Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) memperolehi 1.4 juta undi. Ini menunjukkan BN dan Umno masih relevan, mengapa mereka (pembangkang) mahu cuba beli kita?�, katanya.

Dua hari sebelumnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mendakwa BN masih kuat dan tidak mungkin tumbang. Akhbar memetik katanya bahawa tidak ada sebab untuk kerajaan yang diterajuinya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Beliau mengulas dakwaan ada pemimpin pembangkang sedang berusaha membeli beberapa Ahli Parlimen BN, terutama di Sabah dan Sarawak, dalam usaha menubuhkan kerajaan baru di peringkat Pusat.

Dalam keadaan Umno tidak langsung menampakkan kesediaan mendekati PAS, bahkan sentiasa meletakkan dirinya kuat, mana mungkin parti itu boleh diharapkan bagi menjayakan apa jua usaha menyatupadukan dua parti bermusuhan itu?

Sebab itu, meski pun usaha menyatukan Umno-PAS sesuatu yang murni dan dialu-alukan, ia amat sukar direalisasikan. /wann


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: