Sunday, March 30, 2008

Hanya pilihan raya baru pulih maruah Ahmad

"Nawawi Mustafa" lot3137@yahoo.com

Abdul Halim Mohd Rashid
Sat | Mar 29, 08 | 12:46:17 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) - Walaupun Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said boleh membentuk Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas ini, beliau hakikatnya membentuk kerajaan penderhaka, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.


"Adakah Ahmad hendak membentuk kerajaan bersama-sama penderhaka?


"Di mana kewibawaan dirinya jika membentuk pemerintahan bersama 23 orang yang sebelum ini begitu biadab dan angkuh menolak tindakan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik beliau sebagai Menteri Besar?" tanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu.


Ahmad, katanya, hanya mempunyai satu pilihan sahaja untuk membentuk kerajaan yang berwibawa dan dihormati iaitu dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru.


"Untuk memulihkan harga dirinya, Ahmad hendaklah menemui Sultan Terengganu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan mencalonkan muka-muka baru yang boleh berkerja dengannya, beradab dengan Sultan serta tidak mementingkan diri sendiri dan bukan 23 orang yang sebelum ini dengan angkuh mengaibkan beliau dan membisingkan ketidakyakinan kepadanya.


"Selepas itu, serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan. Jika tidak, harga diri Ahmad akan terus dipersoalkan" katanya lagi.


Ahmad, kata Mahfuz, tidak boleh terus-menerus memerintah negeri bersama-sama golongan yang menjilat kembali ludah mereka sendiri malah mungkin memanggilnya binatang.


"Sebelum ini 23 orang itu beria-ia menolak Ahmad sehingga mengerahkan penyokong-penyokong menunjuk perasaan termasuk membawa sepanduk 'Kami nak Idris, natang'.


"Ada orang melihat perkataan 'natang' itu ditujukan kepada Sultan Mizan Zainal Abidin. Tetapi, ada juga yang melihat perkataan itu ditujukan kepada Ahmad sendiri.


"Jika perkataan 'natang' itu ditujukan kepada Ahmad, walaupun kumpulan itu telah menjilat ludah sendiri, adakah beliau akan melantik golongan yang menyifatkannya sebagai binatang menjadi Exco di dalam kerajaannya? " beliau mempersoalkan.


Memburukkan lagi keadaan, katanya, hubungan kumpulan itu dengan istana selepas ini pasti terjejas.


"Adakah Ahmad boleh membentuk kerajaan yang stabil dengan penderhaka-penderha ka yang memijak-mijak maruah Sultan? Perkara itu pasti akan menjejaskan kelicinan pentadbirannya, " kata Mahfuz.


Lebih dari itu, apa jaminan orang-orang yang bersifat seperti lalang itu tidak akan berpaling tadah darinya?


"Sebelum ini, suruh tanda tangan mereka tanda tangan, suruh ludah mereka ludah, suruh jilat balik mereka jilat balik. Apa jaminan lalang-lalang seperti itu tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak yang mahu mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar?" tanya beliau lagi.


Sebab itulah, kata Mahfuz, satu-satunya jalan bagi Ahmad untuk membentuk kerajaan berwibawa di bawah pimpinannya ialah dengan membubarkan DUN Terengganu, mengemukakan calon-calon baru yang boleh berkerja dengannya, beradab dengan Sultan serta tidak mementingkan diri sendiri dan selepas itu menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.


Source: Harakahdaily.net
*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: