Tuesday, March 25, 2008

Gelora dalam UMNO belum reda malah kian getir...

"umar faruqi" faruqi03@yahoo.com

Gelora dalam UMNO belum reda malah kian getir... Cetak E-mail
Oleh Darwis Said
Selasa, 25 Mac 2008


TSUNAMI politik yang mengejutkan parti memerintah semasa pilihan raya umum pada 8 Mac lalu masih berupaya 'mengocakkan' masa depan perpaduan parti komponennya.

Sekarang, lebih dua minggu selepas 'kegagalan teruk' Barisan Nasional (BN) - khususnya parti komponen terbesarnya, Umno - parti yang membentuk kerajaan Malaysia itu dilihat semakin menghadapi cabaran getir dalam beberapa bulan mendatang.

Ini sedang kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atau 'Pak Lah', menghadapi tentangan hebat, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, malah daripada pergolakan dalaman Umno dan sidang raja-raja negara itu.



Suara rakyat Malaysia
Rakyat Malaysia, walaupun 'berbelah bahagi' terhadap keputusan pilihan raya itu, semakin lantang menyuarakan pandangan mereka terhadap pemimpin BN dan Umno.

'Memang kami kesiankan nasib Pak Lah. Tapi, kalau dia nak selamatkan BN dan Umno, harus meletakkan jawatan dan menyerahkan pucuk pimpinannya kepada timbalannya.

'Pandangan peribadi saya ialah, BN atau Umno tidak boleh bertahan dengan apa yang ada sekarang, dan keyakinan rakyat terhadap Pak Lah semakin terhakis, walaupun dengan deretan pemimpin barunya,' kata seorang setiausaha sebuah syarikat milik kerajaan di Kuala Lumpur.

'Ini satu era baru. Mungkin rakyat mahukan satu perubahan dalam pucuk pimpinan,' kata Haji Mohd Rosli Hussein, dari Puchong, Selangor.

Di Pulau Pinang, sebatang lebuh raya menuju ke lapangan terbang antarabangsa di Bayan Lepas di penuhi graffiti yang menggesa Perdana Menteri Malaysia serta Presiden BN dan Umno itu supaya meletakkan jawatan. Pihak berkuasa Pulau Pinang Khamis lalu terpaksa mengecat semula papan tanda dan tiang-tiang yang dicemari itu.

Mungkin pandangan Datuk Professor Syed Arabi Idid, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), kepada agensi berita Bernama semalam menyimpulkan motivasi tindakan rakyat Malaysia itu.

'Mereka tidak mengundi untuk pembangkang, mereka hanya mengundi menentang BN,' katanya.



Pergolakan Dalaman Umno
Tanggapan terhadap punca BN kehilangan lima negeri di Malaysia dan barisan kabinet baru yang dilantik Pak Lah, sudah mula membuahkan perpecahan dalam Umno.

Selain surat Datuk Mukhriz Mahathir yang menggesa Pak Lah meletakkan jawatannya demi masa depan Umno, terdapat suara-suara lantang daripada anggota Umno lain yang mahu Pak Lah mengundurkan diri. Ini walaupun ditepis keras pemimpin itu dan timbalannya akhir-akhir ini.

Mustahil Ahli Parlimen (AP) Jerlun, Kedah, itu tiada penyokongnya.

Bahkan, sumber-sumber berkata saranan Datuk Mukhriz dalam surat peribadinya kepada Pak Lah itu mendapat sokongan Pemuda Umno Johor dan di kawasan undinya sendiri.

AP Gua Musang di Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, atau 'Ku Li', baru-baru ini pula menawarkan dirinya untuk bertanding menentang Pak Lah bagi jawatan Presiden Umno untuk 'merawat' parti itu.

Anggota veteran Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno kerana berpendapat sukar melakasanakan tugasnya itu selepas digugurkan daripada kabinet baru.

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz, pula kelihatan terluka setelah turut dipinggirkan daripada kabinet baru Pak Lah itu.

Sumber dalam Umno berkata Pak Lah kurang senang dengan surat setebal 16 halaman yang dikirimkan Datuk Rafidah kepada beliau, yang antaranya menyentuh pelibatan anak menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam urusan pemilihan calon pilihan raya dan penyebab kekalahan BN.

Pak Lah juga difahamkan kurang senang terhadap langkah Datuk Rafidah mahu mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno, yang sekali gus membolehkannya hadir dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Datuk Rafidah pula dikatakan akan mengukuhkan sokongannya terhadap Ku Li.

Para pemerhati menyifatkan beberapa pergeseran dalaman Umno itu sebagai 'duri dalam daging' yang akan 'mencederakan' perpaduan Umno, dan ia mungkin 'meletup' dalam perhimpunan agung Umno akan datang.

Melebarnya Jurang Pemahaman Antara Pak Lah dengan Raja
Tengkarah pemilihan Menteri Besar di Perlis dan Terengganu - dua negeri yang dikuasai BN - juga menampakkan jurang pandangan berbeza antara Pak Lah dengan raja-raja negeri itu.

Malah, pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Menteri Besar, yang memang bukan pilihan Pak Lah - Datuk Mohd Isa Sabtu, di Perlis, dan Datuk Ahmad Said di Terengganu - menunjukkan jurang itu semakin melebar.

Akibatnya, ini boleh menimbulkan krisis perlembagaan di Malaysia.



Kesimpulannya

BN, khususnya Umno, berada diambang pergolakan yang belum pernah dilihat sejak hampir 40 tahun lalu.

Kini penting bagi para pemimpinnya menanganinya secara objektif tanpa dipandu sentimen melulu yang boleh merosakkan kewibawaannya.

Rencana ini kali pertama disiarkan oleh Berita Harian Singapura pada 24 Mac - Pengarang

Probable Source: KLPos
*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: